Powered By Blogger

Friday 7 November 2014

HAI,ADIK MANIS (BAB 8)

BAB 8





SETELAH TIGA BULAN BERLALU
Berdengkot-dengkot Milah berjalan balik ke rumah setelah membeli ikan dari lori yang datang berjual di hadapan rumah. Kakinya sudah seminggu bengkak-bengkak dan tidak mahu surut. Pergi ke kelinik, doktor hanya berikan ubat surut bengkak. Teman-teman sarankan agar dia pergi ke hospital, tapi masalahnya dia risau dia akan kena tahan di sana. Tak naklah bangun tidur di hospital. Rimas! Lemas! Tak boleh pergi ke mana-mana. Asyik pandang semua putih. Dia sesak nafas!
Bukan dia tidak pernah ditahan di hospital. Semasa melahirkan anaknya dahulu, seminggu dia tinggal di sana gara-gara system imun anaknya lemah dan dia sendiri kekurangan darah. Entah kenapa jadi begitu tak tahulah. Semasa doktor bagi tahu, dia tak ambil peduli sangat. Apa yang pasti, semasa mengandung dia banyak memakan makanan ringan. Nasi tak boleh telan, hanya itu sahaja yang dia suka. Siang malam pagi malam, hanya itu santapan perutnya hinggakan suami sering marah-marah kerana dia tidak pandai menjaga kandungannya.
Satu tabiatnya lagi ketika mengandung, dia suka menghidu apa-apa sahaja barang plastik yang baru  dibeli. Keluar sahaja dari bungkus plastik, dia akan hidu hingga hilang bau. Mujurlah tabiat itu tidak berlarutan hingga selepas kelahiran. Kata orang, tak elok bau barang-barang plastik macam tu. Ada bahan kimia yang masih melekat padanya yang membuatkan kita mendapat sakit dalam jangka panjang.
Sewaktu mengandungkan anaknya, dia pergi balik dengan menaiki bas kilang. Suami kerja di tempat lain. Jadi, terpaksalah dia pergi kerja sendiri. Asap-asap kenderaan dan debu jalan usah dikira, berterbangan di persekitaran dan mencemarkan ruang nafas. Mungkin disebab itu agaknya anaknya mempunyai sistem imun rendah.
“Aarrrr!!!” kaki Milah terpelecok dan dia jatuh terduduk di hadapan pintu rumah. “Aduh…” Milah mengurut-ngurut pergelangan kakinya yang sakit dan terasa sengal-sengal.
“Kenapa dengan kau, Milah! Ya ALLAH… apa kena ni?” Tom, jiran sebelah rumah Milah menjenguk dari perenggan dinding sebelah apabila tiba-tiba dia terdengar jeritan kuat dari Milah.
Kaki aku ni, Tom… terpelecok pulak. Aduh… sakitnya.”Sambil mengurut sendi kakinya yang sudah berdenyut-denyut sakit, sambil Milah mengaduh. Berkerut-kerut mukanya manahan sakit. Hingga terpelanting habis ikan, sayur yang dibeli tadi ke lantai ketika dia terjatuh tadi. Langsung dia tidak hiraukan.
Tom terkoncoh-koncoh datang ke rumah sebelah. Dia ampu tubuh Milah lalu bersusah payah dia membawa masuk ke dalam rumah. Milah didudukkan di kusyen. Hempas sahaja punggun di situ, Tom keluar mengutip barang-barang Milah yang berselerak tadi. Takut kucing datang dan kerkah ikan-ikan itu bawak lari.
Ini, aku simpan dalam peti sejuk ye, Milah. Kata Tom dan terus berlalu ke dapur tanpa menunggu Milah menjawab. Datang smula ke ruang tamu, dia duduk di lantai selepas mengambil minyak hangat. Kaki Milah diurut-urut lembut. Tidak berani dia hendak berkasar kerana bengkak di kaki Milah masih belum surut.
“Panggil la Isma balik, Milah… boleh jugak dia tolong-tolong tenggokkan kau. Apa nak jadi ni kalau tinggal sorang-sorang macam ni. Kalau jadi apa-apa nanti, macam mana?” pujuk Tom untuk sekian kalinya apabila Milah masih berkeras hati.
Milah sandar di kusyen. Fikirannya jauh menerawang mengingatkan perkara lalu. Sebak hatinya kenangkan perkara itu. Dia tarik nafas dengan begitu payah dan lepaskannya dengan tersekat-sekat,
“mahu ke dia balik, Tom? Aku dah sakitkan hati dia.” Suaranya begitu luruh sekali.
Tom berhenti mengurut. Tudung minyak angin ditutupnya dan diletakkan di sebelah. Dia bangun dan duduk di sebelah Milah. Tangan teman merangkap jirannya yang berada di atas riba disentuhnya,
“Dia anak kau, Milah. Darah daging kau sampai bila-bila. Kau tak boleh nafikan hakikat tu. Walau merajuk semacam mana sekali pun, aku tahu dia tak sampai hati nak buang kau sebagai emak dia. Aku tahu baik buruk dia. Isma tu budak baik.”
Bergenang air mata Milah apabila Tom berkata begitu.
“Sebaik-baik anak angkat, akhirnya dia  tinggalkan jugak kau sorang-sorang. Sekarang ni apa yang kau dapat? Anak kau pun dah merajuk tinggalkan kau.” Kali ini Tom paku buah keras. Kalau dulu, setiap kali dia menasihat, Milah selalu menangkan anak angkatnya. Zira baiklah, Zira begitulah, Zira beginilah. Akhirnya bila duit tanah sudah dapat pada dia, sorang-sorang dia tinggal Milah di sini tidak berjaga. Dek kerana berjauh hati hasil jualan tanah Milah bagi pada Zira, terus Isma merajuk hati. Terus dia tinggalkan rumah kerana dia merasakan diri tersingkir.
Ketika Isma berusia lima tahun, keluarga Milah mengambil Zira sebagai anak angkat setelah ibu kepada anak itu tidak mahu menjaganya. Ibu kandung Zira begitu muda usianya. Entah siapa bapanya, tidak tahulah. Wanita yang berusia muda itu datang dan merayu  supaya memelihara anaknya kerana dia tidak ada tempat bergantung.
Beberapa kali Tom menegah, tetapi Milah tetap berkeras hendakkan anak itu juga kerana katanya, kasihan. Melihat wajah comel budak itu, Milah dan suaminya terus jatuh kasih. Sebab itu anak itu diangkat menjadi anak mereka. Selepas suami Milah, Jusuh meninggal dunia, Milah Milah mengambil keputusan untuk menjual tanah. Tidak mampu dia hendak membayar cukai tanah yang langsung tiada hasil itu pada tiap-tiap tahun. Sebab itu dia mengambil keputusan untuk menjualnya.
Waktu itu usia anak-anaknya sudah besar. Tidak silapnya, Isma sudah berumur dua puluh dua tahun. Manakala Zira pula sudah di tangga sekolah menengah. Tidak tahulah apa yang merasuk fikiran Milah, selepas Zira memulakan kerja, dikeluarkan duit hasil jual tanah dan diserahkan kepada Zira. Sedikit demi sedikit, wang yang banyak pun menjadi susut. Ketika itulah Tom lihat wajah Isma sudah tidak seperti dahulu lagi. Menungnya makin panjang. Dia sudah jarang-jarang mahu berbual seperti  dahulu. Kalau ditegur pun, dijawab sepatah-sepatah.
“Aku malu, Tom. Aku dah buat dia kecik hati.” Milah mengelap bibir matanya dengan lengan baju kurung Kedah.
“Dah, tak usah rasa malu. Memang tanggungjawab dia sebagai anak untuk jaga kau. Panggil je dia balik. Aku tahu dia mesti akan balik bila dia tahu keadaan mak dia macam ni. Dia anak yang baik, Milah… apa yang kau suruh tak pernah dia bantah. Kalau kau tak bagi tahu dia kau ni sakit, lagilah dia rasa bersalah.” Nasihat Tom.
Milah angguk perlahan-lahan. Memang semenjak dua menjak ini dia benar-benar rindukan Isma. Berkali-kali dia pandang nombor telefon bimbit Isma untuk membuat panggilan dan mendengar suara anaknya itu. Tetapi hatinya menegah dia berbuat begitu. Apa dia nak cakap dengan Isma? Apa dia nak beritahu? Sejak Isma berpindah keluar dari rumah dan tinggal jauh di Selangor, tidak pernah sekali pun anak itu menelefon ke rumah. Dia pun tidak pernah menelefon ke sana. Entah kenapa tiba-tiba dia jadi keras hati.
Sudah setahun Isma pergi. Mampukah dia beritahu bahawa dia sedang sakit? Malunya dirinya sebagai emak kerana tidak tahu menjaga perasaan seorang anak.
“Dah, kau rehat je hari ni. Tak payah nak masak bagai. Nanti aku Mimi hantar nasi dan lauk untuk kau. Aku nak balik masak ni. Nanti aku datang balik.” Tom membetulkan urat sebelum bangun berdiri. Dia belum masak makan tengahari lagi. Nanti anak-anak dah nak balik sekolah. Usai zohor, dia akan jengah lagi ke sini.
“Buat susahkan kau, je Tom.” Tidak sampai hati pula dia hendak menyusahkan jirannya. Kerana dia, Tom terpaksa masak lebih.
“Tak ada susahnya… bukan banyak sangat kau makan. Nanti aku kirimkan panas-panas untuk kau. Kau tu, jangan berjalan sana sini buat kerja rumah pulak. Bentan kaki kau tu nanti. Aku suruh kau pergi hospital kau tak nak.”  Nasihat Tom sudah merebak jadi meleter pulak.
“Tak apalah Tom… sikit hari lagi legalah kaki ni.” Milah memicit-micit lututnya yang turut berasa mencucuk sengal akibat terseliuh urat. Sakit di bahagian kaki sudah merebak dengan cepat sekali.
“Nanti aku telefon Kak Jah suruh dia datang urut. Aku balik dulu ye? Kau duduk elok-elok.” Pesan Tom dan dia terus berlalu pulang selepas menutup pintu rumah Milah.

TOM menjengah ikut perenggan rumahnya melihat kalau-kalau Milah keluar menyidai kain. Namun langsung tidak nampak bayang. Pintu masih tertutup. Tingkap pun serupa. ‘Macam tak ada orang, je.’ Desis hati kecilnya. Namun perasaannya tidak sedap. Entahkan jadi apa-apa pada Milah. Telefon tidak, apa pun tidak. Kemarin sudah dipanggil Kak Jah datang berurut. Baru sahaja dua tiga kali urut, dia sudah tak nak. Katanya tak sanggup sebab sakit. Mahunya tak sakit, dah bengkak biru pun kaki tu.
Tom keluar dari pintu pagar. Dia melangkah ke rumah sebelah. Buka sahaja pintu pagar rumah itu, dia terus melaung kuat.
“Milah! Oooo Milah…” tiada jawapan.
“Milah! Assalammualaikum… ada kat rumah ke?” dia mengetuk pintu pula. Tetap tidak ada jawapan dari dalam.
Manakala ketika itu Milah yang sudah lama terjaga dari tidur, cuba bangun untuk berjalan. Tetapi dia tidak boleh letakkan kaki. Sakit berdenyut-denyut membuatkan dia jatuh terduduk di lantai.
“Aduh…” dia mengurut-ngurut betis hingga ke kaki. Sakitnya berbisa sangat rasanya.
Seperti terdengar-dengar suara orang mengaduh, Tom cepat-cepat pulas tombol pintu. Tak berkunci rupanya. Dia terus terjah masuk ke dalam selepas membuka pintu rumah. Melihat-lihat di ruang tamu, tidak ada kelibat Milah di situ. Dia menjengah bilik depan pula. Tidak ada juga. Dia tolak pintu bilik kedua, terlihat Milah sedang berusaha untuk bangun.
“La… ni pasal apa ni Milah? Tak boleh jalan langsung? Ingatkan dah surut sikit dah. Tom terus menerpa untuk mengangkat tubuh Milah yang agak berisi itu untuk dibaringkan ke katil.
“Sakit kaki aku ni, Tom. Berbisa sangat rasanya.” Adu Milah dengan muka yang terkerut-kerut. Dia sudah tidak mampu menampung air mata. Kesakitan kali ini amat terasa sekali.
“Jomlah aku hantarkan ke hospital. Lama-lama nanti aku taku dengan  kaki kau pun kena potong.” Kali ini Tom cuba menakut-nakutkan Milah. Tidak boleh jadi kalau Milah sentiasa mengelak dan berdegil. Jadi apa-apa nanti, siapa yang susah? Diri sendiri jugak.
“Aku takut la, Tom…” kali itu  sudah lebat air mata Milah. Menahan sakit lagi, menahan rindu terhadap anaknya lagi. Sebak rasanya dada.
Mendengar kesayuan suara Milah, Tom juga turut berasa sebak. Suaranya yang berombak menyatakan kesakitannya, membuatkan hati Tom juga tidak sanggup melihat kesengsaraan kawannya secara berterus-terusan. Lalu dia duduk di birai katil, di sisi Milah  yang sedang terbaring,
“kau dah telefon Isma?” lembut suaranya memujuk. Milah menggeleng.
“Telefon la… bagi tahu dia kau sedang sakit. Tentu dia akan balik jenguk kau di sini.”
“Aku malu, Tom. Aku malu! Aku mak yang tak berguna. Tak pandai jaga perasaan dia.” Menangis bersungguh-sungguh Milah menyatakan penyesalannya.
“Tak ada seorang emak pun yang tak berguna, Milah. Kau dah didik dia jadi anak yang baik. Itu semua kerana didikan kau. Kau ingat tu! Ilmu agama yang kau  bagi pada dia, nasihat-nasihat kau, itulah yang buatkan dia jadi anak yang bertanggungjawab. Aku tahu dia anak yang bertanggungjawab. Rajuk dia kejap je tu aku rasa. Beralih hari, sejuklah hati dia.”
“Entahlah Tom.” Esakannya ditahan apabila Tom sebut nama Isma. Mereka tidak  tahu, betapa rindunya dia sebagai seorang emak terhadap anak itu. Dia rindukan Isma. Tetapi kerana kesilapannya, dia malu untuk panggil anaknya pulang. Dia rela sakit sorang-sorang dari meratus nasib kepada anak yang telah teraniaya kerana sikapnya.
“Ni kau nak ke bilik air ke? Boleh aku papah kau ke bilik air sementara aku ada.” Tom berganjak dan memberi ruang kepada Milah kalau-kalau Milah ingin bangun untuk melunaskan hajat.
Milah bangun dengan payah, dibantu oleh Tom untuk duduk sebelum mengangkat tubuhnya untuk bangun berdiri. Dengan menopang sebelah lengan ke bahu Tom, Milah dipimpin ke bilik air. Selesai urusannya, tubuhnya dipapah pula masuk ke dalam bilik.
Bersiap-siaplah dulu. Aku panggilkan Abang Bidin suruh hantarkan kau ke hospital. Tom lalu meletakkan pakaian untuk Milah bersalin yang diambil dari almari. Dengan keadaannya yang boleh menyusahkan temannya, Milah terpaksa beralah. Kalau dia tidak ke hospital, takkan dia hendak menyusahkan Tom kut hari-hari. Dia pun ada suami, anak-anak dan tanggungjawab rumahtangga juga.
Tom beralah dari situ. Dia pulang ke rumah dan memberitahu suaminya tentang keadaan jiran mereka. Mujurlah suaminya shif malam pada hari ini. Kalau harapkan dia seorang ada di rumah, mana dia tahu memandu kereta untuk membawa Milah ke hospital. Selepas bersiap ala kadar, Tom kembali semula ke rumah Milah. Tubuh Milah dipimpin masuk ke perut kereta.
Termengah-mengah juga dia berjalan hingga ke kereta. Dalam keadaan kakinya yang begitu, langkahnya juga terbatas. Kalau  ada tongkat, mungkin dia boleh ampu sedikit tubuhnya yang agak berisi itu.
Milah dimasukkan ke wad selepas membuat pemeriksaan. Pemeriksaan lanjut akan dijalankan ke atasnya dan akan diambil ujian darah.
“Kau jangan susah-susah hati ye, Milah. Nanti aku datang jenguk kau di sini. Kau di sini untuk berubat. Tahan la sikit rasa jemu kau tu buat sementara. Bila sembuh nanti, bolehlah kau cepat keluar.” Nasihat Tom sebelum berlalu untuk pulang. Suaminya perlu tidur untuk kerja malam pulak. Dia nak balik masak nasi untuk anak-anak yang akan pulang dari sekolah nanti.
“Terima kasih Tom, Bidin. Tak tahulah aku kalau kau tak ada. Entahkan aku mati sorang-sorang dalam rumah.”
“Jangan cakap macam tu, Milah. Kita ni sebagai Jiran, itu dah jadi tanggungjawab kita. Sebagai seorang Islam pula, kita ni dah jadi saudara.” Jawab Bidin pula. Lelaki berusia lima puluh tahun yang bermisai lebat dan masih sihat tubuh badan itu mudah untuk diminta pertolongan. Sama sahaja mereka suami isteri. Baik hati.

PULANG ke rumah, Tom terus mencari nombor telefon bimbit Isma di dalam senarai simpanan di telegon bimbitnya. Jumpa sahaja nombor itu, dia terus mendail. Talian terus bersambung,
“assalamualaikum, Isma. Ni Cik Tom ni.”
“Waalaikumsalamwarahmatullah… Cik Tom! Lama tak dengar suara Cik Tom. Rindu betul, Isma.”
“Isma sihat ke kat sana?”
“Alhamdulillah, sihat Cik Tom. Cik Tom macam mana? Sihat?” mahu sahaja dia bertanyakan tentang emaknya, tetapi dia tidak sanggup. Bukan benci, tetapi takut pertanyaan Cik Tom jadi merebak.
“Kami semua di sini alhamdulillah… tapi tulah… emak Isma tu.”
“Mak? Apa jadi dengan mak?” nada yang sampai ke telinga Tom kali itu berupa terkejut.
“Mak Isma tak sihat. Dia jatuh. Kakinya bengkak tak surut-surut. Dah jenuh Cik Tom suruh dia pergi hospital, tapi degil! Hari ni dia jatuh dari katil pulak. Cik Tom paksa dia ke hospital. Apa lagi, kena tahan la…”
Isma yang sedang berada di tempat kerja ketika itu rasa macam nak terjelepuk jatuh dari kerusi apabila mendengar berita tentang emaknya. Terus dadanya berasa sebak.
“Zira mana? Dia tak jaga emak ke?” suara sebaknya jelas kedengaran. Dia pekup mulutnya agar terhambur tangisan tanpa perasan.
“Dia mana ada lagi dah… lepas je Isma keluar dari rumah, beberapa bulan lepas tu, terus dia lesap. Langsung dia tak bagi tahu mak Isma dia nak ke mana. Sejak tu mak Isma tinggal sorang-sorang diri di rumah.”
“ALLAH…” kali ini air mata Isma pula bergenang. Dia kejip-kejip mata beberapa kali agar air matanya tidak luruh ke muka.
“Baliklah Isma… sementara dia masih ada. Kalau dia dah tak ada nanti, Cik Tom takut Isma menyesal tak sudah. Dah lama dia sakit kaki tu. Rasa Cik Tom dah dekat sebulan. Cik Tom nasihatkan dia suruh telefon Isma, dia tak nak. Dia malu, Isma dengan apa yang dah jadi.”
Kali itu Isma sudah tidak menahan tangis lagi. Bersungguh-sungguh air matanya luruh. Jenuh dia lap dengan telapak tangan untuk menghapus air mata agar tidak disedari oleh pandangan rakan-rakan.
“Balik ye, sayang. Dahlah, jangan merajuk lagi. Semua wang ringgit tu daki dunia je. Ini, emak Isma ni yang menentukan akhirat Isma. Ingat tu.” Pesan Tom buat sekian kali.
Isma tidak mampu bercakap terus!. Tangisannya begitu hiba. Hinggalah Cik Tom memutuskan talian, dia masih di kerusinya menghapus air mata yang tidak mahu kering-kering.
‘Is akan balik, mak. Is akan balik untuk jaga mak.’ Itu bisikan dalam hatinya. Sementara itu dia perlu buat pertukaran tempat kerja. Bukan memakan masa yang sekejap untuk bertukar tempat kerja kalau tidak ada kekosongan. Nasib-nasib saja kalau dapat.


No comments:

Post a Comment