Powered By Blogger

Tuesday 13 March 2012

WARNA-WARNA KEHIDUPAN

Pedih, kecewa, derita, merana
Adalah asam garam hidup manusia
Yang mampu menyedarkan kita
Seraya tabah meniti hari muka

Bahagia, gembira dan juga bangga
Itu semua warna-warna kehidupan
Membentuk pengalaman yang berharga
Memudahkan kita di masa hadapan

Kita jatuh dan rebah
Bangun berdiri dengan megah
Itulah semangat yang tabah
Membentuk bangsa yang berjaya

Tersungkur hingga menyembah tanah
Merangkak kembali dengan usaha
Tingkatkan pendirian ikatkan mawaddah
Meniti persatu hingga berjaya

MUJAHADDAH

Diberikan kita iman dan takwa
Bagi memilih baik dan buruknya
Untuk dihisab di akhirat sana
Seraya menentukan syurga dan neraka.

Diberikan akal dengan sempurna
Diberikan juga setiap anggota.
Agar kita memperguna
Dengan sesuatu yang berfaedah.

Ingatlah wahai manusia
Yang berada di atas muka dunia
Hidup ini hanyalah sementara
Di akhirat sana itulah tempatnya

Buangkan keangkuhan dan juga juah
Kerna itu tambahan dosa
Cubalah kita bermujahaddah
Serta saling membentuk ukhuwah

MENSYUKURI NIKMATNYA

Yang Berkuasa,
Maha Agung, Maha Pencipta.
Menjadikan siang penyuluh cahaya
Memperlihatkan ruang yang tercipta.
Agar memudahkan kita bekerja

DIA juga,
Menjadikan malam dengan gelapnya
Lalu dibekalkan samar-samar cahaya
Bekalan dari sang purnama
Dipagari bintang mengindahkan suasana
 Untuk kita merehatkan minda.

Alangkah bertuahnya dikurniakan pancaindera,
Dapat menilai betapa indah alam maya,
Dapat menyukuri setiap yang tercipta,
Supaya dipanjatkan kesyukuran di atas nikmatNYA

Berdoa dan bersyukurlah sentiasa
Di atas nikmat yang diberikanNYA
Kerana ada yang tidak punya
sesuatu yang istimewa seperti kita…

BUMI PALESTINE

Kasihan dia,
Dirinya tidak berdosa,
Menjadi mangsa negara bersengketa.
Memporak peranda kehidupan mereka.

Bala yang telah tercipta,
Mematahkan semangat dan cita-cita,
Manghalang niat untuk gembira,
Meruntuhkan kepercayaan terhadap jiran tetangga.

Itu semua bukan dipinta.
Mereka diusir tanpa disangka.
Tanah diduduki dengan angkuhnya,
Menzalimi mereka hingga tak sudah
Mengekang kebebasan di setiap masa.

Dipertaruhkan keimanan pada Tuhan,
Agar mereka ditunjukkan jalan,
Serta bebas dari penyiksaan,
Hingga menjangkau ke akhir zaman.

Bumi Palestin pasti akan gah kembali
Itulah janji Yang Berhak,Yang Azali,
Tatkala tibanya di penghujung nanti….


BAKTIMU GURU

Hidupnya umpama dian
Membakar diri tanpa sempadan
menerangi alam dengan pengajian     
serta martabatkan pendirian
bagi melaksana setiap impian
yang telah dicita-citakan.

Baktimu guru,
Yang mendidik tanpa jemu,
Membimbing kami setiap waktu,
Menaikkan semangat ke hala tuju,
Agar kami terus maju,
Bersama sisipan segulung ilmu.

Terima kasih tidak terhingga,
Buat guru yang berjasa,
Membentuk kami sebagai anak berguna,
Serta memartabatkan anak bangsa,
Dengan jalinan ikatan kepelbagaian agama,
Untuk kehidupan yang lebih sempurna,
Di bumi bertuah, bumi Malaysia…


SELAGI TERMAMPU

Selagi termampu,
Patuhilah mereka dengan sesungguhnya
Kerana mereka adalah ibu bapa kita.
Selagi termampu,
Tunaikanlah permintaan mereka
Kerana kita telah terhutang dengan kedua-duanya
Selagi termampu,
Turutilah kehendak mereka
Selagi mereka masih bernyawa
Selagi termampu,
Bahagiakanlah mereka,
Kerana itu yang mereka perlukan di usia tua.
Selagi termampu,
Berbaik sangkalah,
Meskipun kita pernah terasa
sewaktu membesar di bawah payung pemerintahan mereka…
kerana ini semua adalah suruhan Allah taala.
Yang menyediakan tempat di akhirat sana,
Bagi hamba yang soleh dan solehah…

BERTUAHNYA KITA

Alangkah bertuahnya kita,
Hidup bagai kelopak di rimba,
Menyerlah walau di celah benua.
Sentiasa aman dan sentosa.
Mereka,
Megah dengan permodenan dunia,
Sana sini dan rata-rata asyik memperkata,
Akan kehebatan yang tidak terhingga,
Namun di sebaliknya berlainan corak,
Dengan perkelahian dan sengketa.
Negara Malaysia makmur sentosa,
Jadi, janganlah digadaikannya,
Dengan sesuatu yang memporak peranda,
Serta memecah belahkan pelbagai bangsa, 
Dalam ikatan SATU MALAYSIA.

PEKERTI

Ada ketikanya,
Diri terasa megah dengan kelebihan yang tidak seberapa.
Tetapi itu adalah lumrah
Bagi mereka yang angkuh di atas muka dunia.
Tuhan jadikan mulut untuk berbicara,
fikiran untuk mempertimbang logika,
hati untuk bermuhasabah....
tetapi sebaliknya kita pergunakan ketiga-tiganya untuk jalan yang salah.
Berhimpunnya angkuh di dalam diri,
Berasa megah dengan kelebihan sendiri,
Anggap diri berdarjat tinggi.
Dengan lagak bak puteri
Berbahasa tidak terperi.
Namun di dalam isi hati...?
Hanya TUHAN yang mengetahui.

BAHASA

Bahasa itu indah
Berbahasa itu lagi indah
Martabatkan bahasa juga sesuatu yang terindah.
Bahasa.
Kenapa kita sering mengagungkan bahasa luar negara?
Malukah kita untuk berbahasa Malaysia?
Jatuhkah air muka andai kata bahasa Malaysia diperguna?
Rupanya kita masih alpa...
Bahawa itulah bahasa pertuturan nenek moyang kita
Yang telah memartabatkan negara ini di suatu ketika.
Tak kiralah, sama ada ianya bahasa singkatan, campuran, atau bagaimana sekali pun cara...
Yang penting ianya indah pada pendengaran sesiapa.
Melayu....
Hanya kita sekelompok kecil bangsa Melayu yang mampu memertabatkannya.
Bukan sebanyak mana golongan kita,
Selain Brunai dan Indonesia, hanya kita yang menggunakannya.
Singapura pula cuma sejemput saja.
Susah sangatkah untuk memartabatkan bahasa kita?
Benarlah kata Tun Dr. Mahadhir bahawa,
‘MELAYU MUDAH LUPA....

KILAS WAKTU YANG TERLUANG

SURAM MALAM
Menghembus bahana sengsara,
Memarak duka nestapa,
Menyala derita di jiwa.
DINGIN PAGI
Membeku ruang perasaan,
Meluruhkan harapan,
Menyisih satu impian.
MENYINSING MENTARI
Meragut ketenangan nurani,
Membawa jiwaku pergi,
Merana diri seakan mati.          
DETIK WAKTU YANG BERLALU
Telah merubah rentak hatiku
Mengiktiraf derita di kalbu
Membuatku merana setiap waktu
NAMUN KU TETAP REDHA
Semua yang berlaku adalah penentu
Bagi setiap yang direstu
Hingga menyusul ke akhir waktu....

ANDAI KU MAMPU

ANDAI BEBUIH CAHAYA
mampu merawati sarang derita
Akan ku tiup bebuih nan indah meliputi awanan sana
ANDAI SURIA
mampu merubah apa yang tercipta
Akan ku olahnya bagi membasuh selautan jiwa yang terasa
ANDAI SUARA
mampu memujuk ruang rasa
Akan ku dendangkan lagu seindah alunan tercipta
ANDAI MUSIM
mampu merubah gelora
Akan ku raup setiap musim lalu ku himpun di ruangan yang nyata
ANDAI ONAK RASA
mampu ku kuis dari ruangan jiwa
Akan ku rentap segalanya agar merubah apa yang terasa
SEMOGA BEBAS DARI DUKA NESTAPA….

PESANAN BUAT SEMUA

JIKALAU KITA...
Terlalu asyik menyonsong awan di langit sana
Kadang kala terlupa
mendung yang menyusul tiba
Itulah resam umat manusia
Leka, terlupa dan alpa,
pada kehidupan yang sementara
Hingga membawa suatu perubahan ketara....
ALANGKAH INDAHNYA....
Andai kita di atas muka dunia,
cuba merubah resam yang tercipta....
Beringat sebelum kena,
berjaga sebelum terluka.
Maka ia mampu memupuk rasa bahagia
hingga ke penghujung usia.
Itu adalah sebaik-baiknya
dari menadah sesuatu yang belum nyata........

JUNJUNGAN SETIA

Ku hampar serapah kasih,
Di lembaran jiwa terhiris.
Ku raup helaian rindu,
seiringan lagu-lagu syahdu
Ku titip ayat pasrah
Dengan redha dan berserah
Lalu ku susun kalungan doa.
Setiap detik yang tergadai,
selama jasad ini bernyawa,
agar dapat Kau basuh lingkungan badai
walau seluasnya lautan di dunia.
Semoga jasad dan roh yang bersatu, imannya tidak terlerai
Bagi menanam kesucian abadi terhadap yang Berkuasa.
Kan ku sisip momen indah di lipatan hati
Bersama kuntuman restu dan pengharapan
Agar ku bajai kasih di relung nurani
Dengan siraman bahagia di batas ikatan
Semoga mekarnya harum sepanjang destinasi.
Andainya kasih kembali menyapa
Akan ku sujud di junjungan setia
Agarku lewati bersama
Rona bahagia ke usia senja
Kepada Mu ku susunkan
Kesepuluh jari penuh keinsafan
Sebelum alam ini ditinggalkan,
Kepada Yang Esa yang menjadikan langit, bumi, bulan dan matahari
agar merestui jasad dan roh ku ini
dan memberkati hingga ke alam abadi....

KETENANGAN YANG HAKIKI

Kadangkala...
Pabila pandangan terhala ke langit,
Hati yang resah turut dibelai
Melahirkan ketenangan
seluas nurani
Namun...
Damai yang menyapa cuma seketika
Pabila senja ...
langit kembali merona
menghimpun senjakala yang kian sesak,
resah, pilu, derita dan segala rasa....
Bagaimanakah layar
damai.... tenang...dan bebas akan dirasa
 andai rona derita kian bergelodak di dada?
 langit membiru tidak pernah berjanji
pada ruang di pelosok nurani.
Mungkinkah kebiruan lautan yang membias
menjanjikan damai di ruang kosmos?
Tetapi...
Bagaimana dengan ombak dan badai
teman sepermainan yang berhempas pulas?
Bukankah ombak memutih dan badai bergulung
turut mengganggu rona lautan
hingga merenyuk kedamaian di ruangan perasaan?
Tiga sekawan terhempas mengganas...
bukankah detik-detik begitu meragut setiap titik rasa di ruangan dada?
 langit membiru dan lautan meluas
bukan janji pada resah dan gelisah.           
Mungkinkah bumi menghijau
 mampu memujuk rasa,
menggenggam damai seluas angkasa?
Bagaimana dengan unggas-unggas yang mengganggu pancaindera?
Tidakkah ia bakal merobek sisa damai di ruang gelisah?
Sebagai insan berpegangan....
miliki roh dan juga jasad,
aku pusatkan di pemikiran
bahawa rona-rona alam bukan janji untuk redakan kekusutan
Apa yang pasti.....
 MENADAH TANGAN KE LANGIT
SESUDAH MENUNDUK SUJUD PADA YANG ESA
Itulah ketenangan yang hakiki
Yang patut kita miliki…

SUARA DERITA

Kubisikkan pada rasa
yang menghimpun onak derita
dan meramas luka lara
supaya terhindar duka nestapa
Kupujuk irama gelora
yang melagu di ruangan jiwa
agar membasuh alunan rasa
menghadirkan rona ceria
Awanan hitam…
injakkanlah kesuraman
agar ku mampu bertahan
bagi menampung ruangan perasaan
serta menghadirkan ketenangan.
Resah…
bawalah daku pergi
mengadap khatifah Illahi
meninggalkan yang hakiki
agar reda amarah di hati…..

FITNAH


Fitnah.
Aku tidak pernah takut pada virus itu.
Kerana ia tidak pernah mengganggu gugat pahalaku.
Aku pernah laluinya,
namun ku anggap ianya seperti daki ditubuh
yang akan lerai bila dibasuh.
Manusia, kenapa begitu muda menabur fitnah?
Adakah ianya begitu indah bagi memuaskan nafsu serakah?
Umpat dan keji,
Virus itu juga pernah ku terima.
Tapi aku peduli apa?
Bukan aku yang menambah dosa.
Aku cuma berfikiran mudah.
Mungkin yang terjadi punyaI hikmah.
Bagi membuka rezeki Allah.
Itu adalah yang sebaik-baiknya
Dari memuaskan nafsu serakah,
 Hingga  mampu merosakkan maruah….

LEMBAYUNG SENJA

HARI terakhir Renggana di Maktab, mereka bertemu di bawah pohon ceri bersaksikan ruang balapan seluas pandangan.  Selama dua tahun pemuda itu mengejar Jasmin tanpa merasa jemu hingga akhirnya dia kalah dengan titisan air mata sendu di suatu petang yang terik itu. Untuk kesekian kali, Renggana masih menagih jawapan tentang rentak yang berlagu di hati. Betapa lidahnya terasa kelu untuk bercerita. Hati pula beku untuk meluahkan kata walaupun sebak kian meronta-ronta. Namun, titisan jernih yang mengalir dari ruangan derita telah menyingkap cerita di sebalik kedinginan sikap Jasmin yang sekian lama. Bukan untuk meraih simpati, bukan niatnya untuk menyebarkan berita, apa yang berlaku bagaikan janji bagi meluahkan resah di dada. Hati yang beku kian berlalu ketika pandangan mula bersatu, saat bertemu masing-masing merintih pilu. Betapa hati Jasmin tidak mampu menampung sendu. Suasana yang syahdu turut menyatu segala rintihan yang pernah berbuku.
Bila melihat linangan air mata kian lebat menakung di kelopak, hati Jasmin turut terasa sebak. Lebih-lebih lagi apabila melihat pemuda itu cuba melarikan pandangan, membuatkan hati Jasmin semakin rabak. Jasmin tahu hati Renggana terluka. Malah rasa kecewa dan sengsara sudah pasti bersatu. Harapannya terlalu tinggi, angannya tidak tergapai, itulah kepedihan yang menujah pelosok dadanya. Hinggakan Jasmin tidak tergamak untuk terus membisu. Lalu... pemuda itu disapa walau rasa kian bergelora. Begitu lama tidak bersuara akhirnya mereka duduk bersemuka, bertentang mata, dan meluahkan rasa. Untuk julung-julung kalinya, Jasmin meluahkan kata dan bercerita tentang apa yang telah diharungi sepanjang perjalanan hidupnya. ‘Renggana,’ pemuda itu bukan dibenci, bukan juga untuk dimusuhi tetapi semuanya kerana hati yang terlalu rindukan kekasih setengah mati.
Berakhirnya pertemuan mereka membawa suatu cerita agar pemuda itu tidak tersalah sangka. Di dalam hati Jasmin mengharapkan agar Renggana meneruskan perjuangannya. Soal jodoh biarlah Tuhan yang menentukan, bagaimanakah corak dan masa depan. Jasmin tidak pernah memilih pasangan, lebih-lebih lagi hendak berangan-angan. Renggana adalah seorang pemuda yang budiman dan mempunyai banyak kelebihan, jika kini harapannya tidak kesampaian pasti suatu hari nanti dia akan mengecapi kebahagiaan. Hanya itu yang mampu Jasmin tiupkan di ruang perasaan agar Renggana mempertahankan masa depan. Ikatan janji telah diikat agar mereka teruskan ikatan persahabatan dan juga mendapat berkat di hari-hari kemudian....amin....

Saturday 10 March 2012

KAKAK MEINSYA DAN ABANG KUCING

MEINSYA menangis teresak-esak. Namun ibu langsung tidak ada hati untuk memujuknya. Manakan tidak, bermain hingga tidak kenal tengahari ataupun malam. Tentu ibunya mengamuk hingga sesungguh nyawa.
“Nak main dengan Abang Kucing pun tak boleh. Selalu marah-marah pada akak Meinsya. Akak Meinsya bukan buat apa-apa pun. Cuma main saja.” Aryati terdengar ratusan di sebalik tangisan anaknya secara sembunyi-sembunyi. Hendak ketawa pun ada, tetapi rentetan rasa marah yang masih bersisa, dibiarkan anaknya meratus sendiri bagi menginsafi dirinya di kemudian hari.
“Perg mandi salin baju. Badan busuk hapak mengalahkan apa.” Marah Aryati bagi menyempurnakan leterannya.
“Tak nak, Meinsya nak ibu jirus jugak.”
“Tadi waktu orang mandi, bukan nak datang mandi sekali. Sekarang ibu banyak kerja nak suruh jiruslah apalah. Pergi mandi sendiri, bukan kecil lagi. Dah masuk empat tahun dah.” Marah Aryati lagi.
“Tak nak.... Meinsya nak ibu jirus juga, ibu jirus juga.” Teriak anak perempuannya. Geram benar hati Aryati. Waktu-waktu beginilah dia hendak memerintah itu ini. Sudahlah dia terlambat masuk ke dapur hari ini. Sejam lagi abahnya pulang untuk makan tengahari pula.
“Pergi ambil kain tuala. Ibu jirus adik mandi, lepas tu adik gosok gigi dan sabun badan sendiri.”
“Baik bu... Meinsya faham. Sayang... ibu.” Cepat sungguh reda tangisan anak itu. Bila kemahuannya dituruti, terus dia menghampiri dan memeluk Aryati sambil menyatakan rasa sayangnya. Aryati tersenyum melihat keletah anak bogsunya. Sejuk kembali panas di hati Aryati.
“Nanti gosok gigi, gosok lidah sekali. Masam sangat. Pening kepala ibu.” Pesan Aryati ketika jirusan pertama menyasar ke kepala anaknya.
“Baik bu.” Penuh sopan anak itu menjawab.
“Hah, sudah. Adik sabun dulu. Nanti ibu pasang paip. Lepas sabun adik mandi sendiri.” Arah Aryati.
“Ok... Meinsya fahamlah... ibu ni cakap banyak betullah.” Ucap bibir mongel itu. Aryati mengerling pada anaknya. Kalau berlawan cakap dengan anak ini, sampai ke pagi besok pun belum tentu siap kerja. Aryati lalu meninggalkan anaknya mandi sendiri di samping diawasi olehnya dari bahagian dapur.
“Mandi bersih-bersih. Budak perempuan mesti cantik, bersih, baru orang suka.” Laung Aryati ketika tangannya sibuk menyelenggarakan persiapan untuk memasak.
“Baru cantik kan ibu kan?” tambah Meinsya pula. Aryati cuma tersenyum.
“Nanti Meinsya nak tengok Abang Kucing ada tak kat depan sana. Meinsya nak main dengan dia.” Sambil menyabun, sambil mulutnya bercerita membuatkan Aryati terus menambah,
“Hah, tak payah. Dah tengahari rembang ni. Nak main apa lagi? Petang nanti baru keluar main. Faham tak?” marah Aryati.
“Sekejap saja ibu...” rayu anak itu.
“Sekejapkah, lamakah, tak payah. Ibu cakap jangan, jangan. Faham?”
“Ibu ni kedekut.” Balasnya. Namun Aryati langsung tidak terasa hendak marah memandangkan anak itu memang begitu mulutnya, tidak berhenti-henti bercakap dari pagi santak ke malam hari.
Sepanjang pagi itu mulut Aryati bising hingga tak sudah. Semua ini gara-gara anaknya yang suka memunggah segala barang-barang mainan ke serata rumah. Namun setiap apa yang diseuruh hanya satu jawapannya,
“Kejap, kejap, nanti Meinsya simpanlah...” namun, sekejap hanya tinggal sekejap. Rumah tunggang langgang juga, simpannya tidak. Mengeluh Aryati melihat perangai anaknya Meinsya.

*********************************************************************

“MASUK!!!!!” jerit Aryati buat kesekian kalinya. Tetapi kali ini jeritannya begitu nyaring hingga memekakkan lubang telinga.
Akibat jeritannya yang bergema hingga terdengar ke luar sana, membuatkan Meinsya mengalirkan air mata. Aryati langsung tidak terasa hendak memujuknya. Namun di sebalik tangisan itu terselit ratusannya yang berjea-jela.
“Nak main dengan Abang Kucing pun tak boleh. Nak main kat luar pun tak boleh. Ibu suka marah Meinsya. Meinsya tak mau kawan dengan ibu.”
 “Tak nampak hujan kat luar tu? Nak bagi demam? Yang seronok sangat duduk kat luar kenapa? Tak boleh duduk dalam rumah? Boleh pengsan agaknya.” Kala itu leteran Aryati semakin berjela-jela. Geramnya tidak terkira. Sudahlah letih seharian menyalenggarakan rumahtangga, anak pula payah hendak mendengar kata. Siapa yang tidak marah?
“Duduk dalam rumah saja, jangan keluar. Degil sangat. Cakap orang pun tak nak dengar.” Aryati menyambung kemarahannya lagi.
“Nak keluar...” rayu Meinsya. Tangisannya masih berjela-jela.
“Tak payah. Ibu kata tak payah, tak payah.” Tegas Aryati.
Ketegasannya pada hari itu telah membuatkan Meinsya menangis dengan begitu lama. Namun Aryati langsung buat tidak kisah. Biarlah anak itu belajar berfikir akan kesalahannya. Nanti pasti dia akan serik untuk mengulanginya lagi.
Selepas puas menangis, akhirnya Meinsya mendekati Aryati dengan keadaan seperti tidak ada apa yang berlaku. Kemudian tubuh ibunya dipeluk dan dicium ke serata muka. Hati Aryati kembali sejuk.
“Sayang ibu.” Ucapnya.
“Ibu pun sayang adik.” Balas Aryati. Meinsya tersenyum lawa. Giginya yang tersusun telah membuatkan wajahnya nampak manis. Sejurus selepas itu Meinsya masuk ke dalam bilik kembali. Kemudian dia keluar dengan mengheret bantal dan selimutnya sekali.
“Ibu...nak susu..” rayunya. Aryati tahu, kalau anak itu mengusung bantal dan selimut tentu dia hendak minum susu botol.
“Minum susu dalam gelas sajalah ya? Ibu letakkan barli sekali.” Pujuk Aryati agar anaknya meninggalkan tabiat meminum susu botol kerana umur anak itu sudah pun menjengah ke usia empat tahun.
“Tak nak...nak susu botol juga.”
“Ish, budak ni. Sampai bila nak minum susu botol? nanti rongak gigi tu baru tahu. Biar tak cantik lagi.”
“Tak nak, Meinsya nak susu botol juga. Ibu faham tak Meinsya cakap ni?” geram betul Aryati dengan ketehan anak itu bercakap. Kita kata ini dia balas itu. Kita pusing ikut sini dia konar ikut situ. Mahu ataupun tidak, terpaksalah dia menuruti kehendak anaknya.
Setelah susu dibancuh, Aryati menyerahkan botol susu itu kepada anaknya dengan harapan anaknya akan terlena. Tetapi selepas Meinsya menyedut habis susu di dalam botol, dia bingkas bangun dan membuka pintu.
“Abang Kucing. Abang Kucing cari kakak Meinsya ka?” dia menghulurkan tangan melalui celah pagar besi. Aryati cuma memerhati tingkah laku anak perempuannya nan seorang.
“Abang Kucing teringat kat kakak Meinsya? Sayang...abang kucing.” Meinsya mengurut-urut kepala kucing jiran yang selalu bertandang ke rumah mereka. Kucing rona gelap berbelang-belang itu selalu datang tidur di halaman rumah sejak kecil. Malah kasih Meinsya yang tumpah terhadapnya hingga tidak boleh berenggang walau seminit.
Leka sahaja ibunya, Meinsya lalu membuka pintu gerigi besi. Aryati sedar, namun dia berpura-pura tidak menyedari akan tingkah anaknya. Hujan pun sudah berhenti, biarlah kalau anak itu hendak bermain-main. Dia bukan seorang ibu yang begitu kejam, hingga tidak membenarkan anaknya bermain di luar.
Dilihat Meinsya duduk bersimpuh di sebelah kucing  yang dipanggil ‘Abang Kucing’ itu. Muka kucing itu diraup dan dikucup dengan bibirnya yang mongel. Kemudian tubuh kucing tersebut dibelai penuh kasih. Tidak puas dengan itu, Meinsya mengambil kain tuala buruk yang tersidai di ampaian lalu menyelimuti tubuh Abang Kucing. Puas sungguh dia memanjai Abang Kucing. Hinggakan tidak sempat kucing itu hendak bernyawa.
Sejurus selepasnya, belum pun sempat Abang Kucing hendak memejamkan mata, Meinsya mengangkat dan mendukung kucing itu ke merata-rata. Aryati cuma menggelengkan kepala melihat keterujaan anaknya terhadap kucing itu. Hingga luruh bulu-bulu kucing ke bajunya, dan berbau kucing anaknya itu dek kerana terlalu bergelumang dengan kucing kesayangannya. Namun Aryati cuma membiarkan saja. Cuma sesekali dia perhatikan juga kalau-kalau keterujaan Meinsya terhadap Abang Kucing membuatkan dia berasa geram hingga mengasari kucing tersebut.
Azan berkumandang dari corong speaker masjid berdekatan. Hari pun sudah samar-samar cahaya. Kanak-kanak yang bermain di padang sudah beransur pulang. Tidak ketinggalan dengan Aryati yang sudah mempersiapkan diri untuk bersolat.
“Meinsya... sudah, dah Maghrib. Besok pula main dengan kucing.” Laungnya.
“Sekejap saja lagi. Sekejap...je.” jawab anaknya.
“Ibu kata sudah, tak fahamkah? Kalau tak nak dengar kata besok ibu tak benarkan adik main dengan kucing lagi.” Kata Aryati.
“Iyalah, iyalah, Meinsya masuklah ni... bye-bye Abang Kucing, jangan pergi mana-mana tau... akak Meinsya nak masuk mandi. Nanti kita main lagi.” Pesan anaknya yang begitu keletah berkata-kata.
“Tutup pintu. Tekan punat. Ibu nak sembahyang, baca quran. Adik pergi mandi dulu.”
“Ibu jiruslah.” kata Meinsya pula.
“La... ibu nak sembahyang ni... nanti terlewat pula waktu.”
“Meinsya tak mau mandi sendiri. Nak ibu jirus juga.” Anaknya masih berdegil. Geramnya Aryati dengan perangai anaknya itu. Namun dikutkan juga kehendak Meinsya memandangkan dia berada di dalam wudhuk.
“Itulah, awal-awal tak nak masuk. Asyik sangat bermain dengan kucing. Ini, kita kalut nak sembahyang waktu itulah dia kalut nak suruh jiruslah, apalah.” Leter Aryati dengan tak sudah.
“Biasalah... Meinsya kan suka Abang Kucing... Kanak-kanak, memang suka main.’ Ada saja jawapannya membuatkan Aryati terpaksa mengalah dari terus berdebat dengannya.
“Terima kasih ibu..” selesai dimandikan, Meinsya mengucapkan terima kasih pada ibunya, membuatkan hati Aryati tersiram kembali. Dia tersenyum pada Meinsya, namun sebelum menunaikan kawajipannya terhadap Tuhan, sempat dia singgah membancuh susu untuk anaknya. Dia tahu Meinsya pasti akan menagih susu botol ketika dia sedang mengaji nanti. Untuk tidak mengganggu perjalanan mengajinya, Aryati dahulukan apa yang perlu.
Selesai bersolat dan mengaji, Aryati keluar ke ruang tamu. Sudah terlena anak itu di hadapan televisyen yang terpasang sambil botol susu yang masih melekat di mulut. Aryati mendekatai anaknya lalu ditarik botol susu lalu diletakkan di atas meja. Sudah tentu anakna keletihan setelah seharian bermain.
Aryati memandang ke sekeliling ruang tamu. Permainan anaknya berselerak hingga ke serata ruang. Di lantai usah dikiralah, segala permainan kecil dan besar ada di situ. Di atas meja penuh pula dengan beg-beg tangan serta beg sekolah yang sudah tidak digunakan. Dilihat di atas kusyen, terhimpun buku-buku mewarna berserta warna penselnya sekali. Pening Aryati dibuatnya. Anak yang sulung, walaupun lelaki rajin juga menyimpan dan meyelenggarakan rumahtangga jika melihat rumah mereka berselerak tarak, dialah yang mengambil tugas menyimpan itu ini. Tapi yang seorang ini, asyik sepahkan rumah sahaja. Perangai siapa yang diikutnya tidak tahulah.

KEESOKAN hari, sepertimana biasa, awal-awal lagi Meinsya bangun dan menerpa ke arah pintu. Ditinjau ke luar sambil memerhati kalau-kalau Abang Kucingnya ada di sana. Namun langsung tiada bayang Abang Kucing menunjukkan ia datang ke rumah mereka. Meinsya berasa hampa. Tetapi dia pandai memujuk hatinya.
“Abang Kucing balik makan kut. Emaknya panggil.” Sambil berjalan menuju ke dapur, sambil dia berkata-kata.
“Abang Kucing pun dah tak terlarat nak pandang muka Meinsya. Dia pergi cari kawan lainlah tu.” Pagi itu hati Aryati teringin hendak mengusik anaknya. Namun anak itu padai mematahkan usikannya.
“Nanti dia datanglah. Dia balik makan sekejap. Dia tidur dulu, nanti tengahari sikit baru dia cari kakak Meinsya.”
“Nanti dia datang sini adik jangan ganggu dia pula. Dia mengantuk, nak tidur.”
“Kenapa dia mengantuk ibu?” tanya Meinsya kembali.
“Dia mengantuklah, sebab malam-malam dia sibuk tulis novel.” Entah dari mana suaminya datang, tiba-tiba muncul saja di situ bagi menyambung usikan terhadap anak mereka.
“Tak... kucing mana reti buat novel. Dia tak ada tangan.” Jerit Meinsya seraya memarahi abahnya. Aryati dan suaminya tergelak melihat gelagat anak kecil itu.
“Dah malam-malam dia berjaga sakan mengasuh adik dia, sebab tu siang dia mengantuk sakan.” Kata Aryati bagi menjawab pertanyaan dari anaknya.
“Mak dia pergi mana? Kenapa emak dia tak jaga anaknya?” tanya Meinsya lagi.
“Mak dia tak larat. Mak dia kan baru lepas bersalin.” Ulas Aryati.
“Bersalin tu beranakkah ibu?”
“Yalah.”
“Dia beranak macam mana?”
“Haaah, dia merapu dah... pergi ke depan sana. Ibu nak masak. Nanti mercik minyak lauk ke muka baru tahu.” Anak-anak kecil memang begitu, semua perkara hendak ambil tahu. Hingga rimas hati perut Aryati dibuatnya.
Meinsya akur. Dia kembali ke pintu sambil terhendap-hendap Abang Kucingnya. Namun bayang pun tidak kelihatan pada pagi ini. Meinsya kembali ke kotak mainannya. Segala apa yang berada di dalam sana dipunggah dan dibawa ke ribanya. Satu persatu diperisi hingga habis satu kotak dikerjakannya.
“Hah, punggah, punggah. Nanti tak simpan balik, jaga.” Sedang dia asyik bermain, abang Mirzanya pula datang menyergah dengan tidak semena-mena membuatkan anaknya yang seorang itu menangis tidak terhingga.
“Ibu!!! Tengok abang Mirza ni.” Jerit anak itu.
“Kenapa pula????” jerkah Aryati dari dapur.
“Abang Mirza usik Meinsya.” Acumnya.
“Tak sakit pun...” usik Mirza lagi.
“Ibu!!! Tengok ni. Pergi sana. Pergilah...” Meinsya seboleh-bolehnya ingin abangnya beredar dari situ tetapi anak lelakinya yang sudah menjangkau umur lima belas tahun itu masih seronok mengusik. Sambil tertonggek-tonggek dia menari seraya menyakiti hati Meinsya. Maka lagi kuatlah Meinsya menangis.
“Ish, kamu berdua ni. Kalau sehari tak buat bising tak bolehkah? Rimas tahu tak?” jerkah Aryati pula.
“Allah... biarkanlah... baru meriah bunyi bising-bising begini.” Selit suaminya pula.
“Meriah sekali pun... fikirlah sikit jiran sebelah menyebelah hendak tidurkah atau apa.” bidas Aryati pula. Memandangkan mereka tinggal di kawasan perumahan, memang patut dia berpesan-pesan agar kebisingan itu tidak melarat hingga mengganggu keteraman jiran tetangga.
“Sudah, sudah. kamu tak ada kerjakah Mirza? Pergi mandi.” Barulah suaminya mula menegur perbuatan anak sulung mereka. Walaupun mereka cuma mempunyai dua orang anak, tetapi kebisingan sehari-harian membuatkan Aryati berasa pening tidak terhingga. Nasib baiklah anak mereka tidak ramai seperti orang lain. Kalau tidak tentu botak satu kepala.

**********************************************************************

SUDAH dua hari Meinsya menunggu kehadiran Abang Kucing, tetapi langsung tidak kelihatan. Hatinya sudah resah. Makan minum pun sudah tidak berselera. Dia ke hulu ke hilir sambil bertanya ibunya mengenai Abang Kucing yang sudah tidak nampak muka.
“Pak cik, Abang Kucing ada tak?” Meinsya bertanya pada jiran sebelah rumah mereka sebaik sahaja dia keluar bermain pada petang itu.
“Abang Kucing dah tak ada. Dah meninggal.” Jawab jiran itu secara berterus terang tanpa menilai hati kecil yang mudah terasa.
“Abang Kucing mati? Bila Abang Kucing mati pak cik?” dia bertanya lagi.
“Kemarin. Pak cik sudah tanam dekat sana.” Jawab jiran mereka. Meinsya terdiam. Dia terus masuk ke dalam rumah. Aryati memerhati ke wajah anaknya. Dia dengar perbualan di antara anaknya dengan jiran sebelah rumah sebentar tadi. Namun dia tidak terasa hendak mencelah.
Muka Meinsya sudah tidak seindah sebelumnya. Dia tidak menangis, cuma diam tanpa bersuara. Lama dia berada di atas kusyen sambil berdiam diri sambil memandang ke luar.
“Kenapa tak main kat luar?” tegur Aryati setelah lama anaknya duduk diam.
“Abang Kucing dah mati, nak main macam mana?” jawab anak itu.
“Tak apalah, adik main dengan mainan adik. Nanti Nelly datang, adik main dengan dia.” Anak itu akur. Lalu dia terus keluar dan bermain di halaman rumah. Aryati memandang anak itu dengan penuh simpati. Meinsya sudah selincah sebelumnya. Mungkin hatinya tersentuh rasa. Tak apalah, sehari dua lagi tentu hatinya akan kembali terubat. Fikir Aryati.
“Nanti ibu baca quran untuk Abang Kucing ya?” ucap anak itu pabila Aryati hendak mengambil air sembahyang sebelum menunaikan solat Maghrib. Hati Aryati berasa sebak. Namun dia tidak mahu menunjukkan kesedihannya di hadapan anak.
“Baik sayang.” Jawab Aryati. Anak itu kemudiannya berlalu keluar. Selesai Aryati menunaikan solat, dia menjenguk keluar. Sepertimana biasa, anak itu akan terlena di hadapan televisyen dengan botol susu yang masih melekat di celah bibir. Aduhai anakku...