Powered By Blogger

Saturday 10 March 2012

KASUT SEKOLAH

Zahid memandang pada kasut sekolahnya yang sudah terkoyak di sana sini akibat usang. Sudah lama kasut itu tidak bergantian. Serasanya kasut itu sudah dua tahun usianya. Bukan dia tidak boleh membeli kasut baru dengan wang pemberian kerajaan untuk para pelajar, tetapi wang itu telah dihulurkan buat emak di kampung bagi kegunaan belanja harian.
Keadaan ayah yang begitu kesempitan semenjak tidak dapat turun ke laut membuatkan hatinya bertambah kasihan. Gelora dia lautan membuatkan emak menegah niat ayah untuk mencari nafkah. Oleh kerana emak beria-ia tidak membenarkan, terpaksalah ayah mencari pekerjaan lain untuk menampung keperluan keluarga. Namun begitu pekerjaan apalah sangat yang termampu olehnya. Kederat ayah sudah tidak seberapa. Manakala ayah pula kerap sakit-sakit semenjak dua menjak ini.
Anak-anak yang di rumah mahu disuap sahaja. Semuanya begitu memeningkan kepala ayah. Mujurlah dia terlempar ke asrama, makan minum semuanya terjaga. Tidaklah dirinya memikirkan tuntutan perut yang tidak terisi saban masa. Tapi adik-adik di sana? Rasa kasihan yang dirasai oleh Zahid berlipat kali ganda banyaknya.
Kasut yang dipegang diletakkan ke tanah.kasut yang sudah carik di sana sini dipandang lama. Tersanggupkah dia hendak meminta wang dari emak untuk membeli kasut baru? Emak pasti tidak sanggup menghampakan permintannya, rasanya ayah pun begitu juga. Tetapi hati ini...
Zahid menghela nafas panjang. Kerana kasut sepasang, hati menjadi walang. Bukan mahal sangat harganya, cuma sepuluh ringgit Malaysia sahaja. Tetapi bagi keluarga mereka, nilai sepuluh ringgit itu begitu tinggi nilainya.
Hari ini hujan turun berpanjangan. Dari awal-awal pagi santak ke petang. Bagaimanalah keadaan keluarganya di kampung halaman? Selesakah berada di dalam rumah dengan atapnya yang tiris di sini sana. Selalunya, jika cuti sekolah dialah yang menyelenggarakan segala-galanya jika hujan menimpa dan menerobos masuk dari atap rumah. Bila dirinya sudah berada di asrama, tentu emak tidak menang tangan untuk menyelenggarakan segala-galanya dengan seberapa segera.
Zahid memandang ke arah katil sebelah. Temannya Zaini sedang enak lena di pembaringan. Di pandang ke sebelah lagi. Azhar mengerekot di dalam selimut hingga terdengar suara dengkurannya. Tentu Azhar dan juga Zaini tidak pernah mengalami situasi seperti dirinya. Sebab itu lena mereka begitu nyenyak.
Zahid cuba meletakkan kepala di atas bantal. Cuba memejamkan mata agar terlena. Namun setelah puas berusaha matanya tetap berdegil juga. Di bingkas bangun dan bersandar di kepala katil. Di capai lampu picit dari almari baju berserta buku sejarah Tanah Melayu. Besok hari terakhir kertas peperiksaan mata pelajaran itu. Sementara mata tidak mahu lena, lebih baik dipantau kembali isi-isi yang tercatat di dalam buku sejarah. Sekurang-kurangnya dapatlah dia mengingat kembali fakta-fakta penting di dalam buku itu.
Lama Zahid mengadap buku sejarah. Hingga dia menguap berkali-kali. Mata pula sudah terasa pijar. Rasanya hari sudah menjangkau ke awal pagi. Fikir Zahid. Dia lalu memandang ke arah jam loceng yang berada di tepi bantal. Jam itu dicapai lalu dibawa ke pandangan. Sudah menghampiri pukul tiga pagi. Patutlah kelopak matanya terasa berat, kantuk pula kian menjadi-jadi. Zahid lalu menutup buku yang dibaca. Direbahkan kepala di bantal lalu terlena juga dia akhirnya.

“KAU pulang ke kampungkah minggu ini?” taya sahabatnya Zaini ketika mereka bersama-sama beriringan untuk ke kantin asrama.
“Hati ini memang terasa hendak pulang. Tetapi ada aktiviti pula.” Kata Zahid dengan perlahan.
“Pertandingan bola sepak di antara sekolah tu?” tanya Zaini lagi. Zahid mengangguk. Mukanya kelihatan sugul.
“Lepas pertandingan kan kau boleh pulang ke kampung. Kenapa hendak risau sangat?” cadang Zaini pula. Andai Zaini tidak memberi cadangan sebegitu sekali pun, awal-awal lagi Zahid sudah berfikir perkara yang sama. Tetapi masaalahnya wakt yang diluangkan bersama keluarga begitu suntuk jika dia pulang pada tengahari tersebut. Dalam waktu yang sejemput itu, apalah yang boleh dilakukan bagi menolong emak dan ayah di kampung. Kalau pulang bercuti selama dua hari boleh juga dia tolong mengutip kelapa yang luruh serta mengopeknya untuk dihantar ke pasar.
Namun untuk disuarakan pada Zaini terasa tidak terkeluar di celah bibirnya. Dia tidak mahu rentetan kesusahan kehidupan keluarganya di kampung mendapat perhatian dari teman-teman sekeliling. Dia bukan seseorang yang suka meraih simpati dari sesiapa. Malah dia juga tidak berasa malu dengan keadaan kehidupan mereka sekeluarga.
“Makanlah dulu. Jangan termenung begitu. Perilaku kau membuatkan aku berasa susah hati.” Tegur Zaini. Zahid lalu mencapai sudu di dalam pinggan. Nasi lemak berserta ikan bilis dicedok lalu dimasukkan ke dalam mulut. Dikunyah perlahan-lahan agar makanan yang ditelan cepat hadam. Pabila makanan itu melalui kerongkong, Zahid terasa ia begitu perit untuk ditelah. Ingatannya kembali ke kampung. Apakah menu keluarganya di sana pada pagi ini.
Selalunya, kalau dia pulang bercuti, emak jarang menyediakan apa-apa untuk juadah pada waktu pagi. Kalau ada pun hanya setakat makan tengahari dan juga malam. Mereka cuma makan sebanyak dua kali sahaja dalam sehari. Sedari dulu, begitulah keadaannya. Makan tengahari mereka pun sekadar biasa-biasa sahaja. Cuma ikan goreng, sambal dan juga sayur pucuk ubi. Itu pun habis licin dibedal oleh kami adik beradik.
Di asrama ini, mereka disediakan dengan makanan yang enak-enak. Makanan pula dihidangkan enam kali dalam sehari. Hidangan pagi, pelbagai juadah boleh dipilih. Tengahari pula nasi berlauk ayam masak merah bersama jelatahnya sekali. Kalau menu pada hari itu agak istimewa sedikit, mereka disajikan dengan nasi tomato. Pada sebelah petangnya menu lain pula. Menu malam nasi juga. Bersama rencah-rencah masakan yang pelbagai. Hampir pukul sepuluh menu yang sekiannya sebagai lapik perut sebelum mata terpejam lena.
Namun begitu matanya tetap tidak dapat lena dengan nyanyak. Mengenangkan kehidupan susah mereka di kampung yang tidak pernah luak. Sebab itu dia bertungkus lumus belajar. Dia ingin meletakkan diri sebagai anak yang berjaya di masa hadapan. Dia ingin membela nasib keluarganya, ingin menyenangkan amak dan ayah. Ingin membela nasib adik-adik. Itu matlamatnya masuk ke asrama penuh ini.
Zahid masih ingat lagi ketika dia mula-mula mendapat tawaran untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara pada tiga tahun yang lepas. Ketika itu keadaan keluarganya begitu susah kerana hujan berpanjangan. Ayah pula tidak dapat turun ke laut, membuatkan makanan yang disimpan turut susut. Dengan keadaan emak yang baru melahirkan adik yang ke empat, membuatkan keadaan keluarga mereka semakin sukar.
Syukurlah keluarga mereka mendapat perhatian dari ketua kampung pada waktu itu. Itu pun kerana dia dan anak ketua kampung belajar dalam kelas yang sama sewaktu di sekolah rendah. Kekurangan keluarga mereka mendapat perhatian dari penduduk setempat selepas itu. Malah di atas sikap keperihatinan ketua kampung, kemasukannya ke asrama penuh turut dibiayai oleh beliau dengan sepenuhnya.
Jasa Tuan Fishol tidak dapat dilupai hingga bila-bila. Masih diingat lagi pesanan Tuan Fishol sejurus sebelum dia bertolak ke asrama penuh. Katanya, ‘belajar rajin-rajin ya. Bila besar nanti boleh tolong emak dan ayah. Jadi anak yang berguna, ingat jasa mereka yang membesarkan kita.’ Dengan kata-kata semangat itulah yang telah membawa kejayaan padanya hingga ke hari ini. Malah dia tidak pernah culas dalam setiap mata pelajaran yang diambil. Malah dia juga adalah pelajar harapan di sekolah tempat dia belajar.

**********************************************************************

DUA minggu telah berlalu. Akhirnya tibalah masa untuk dia pulang ke kampung. Tatkala itu perasaan Zahid berasa gembira tidak terkata. Hinggakan senyuman merekah di bibir merahnya.
“Hai, senyum memanjang hari ini. Bila lihat keadaan awak sebegini, hati pun terasa bersemi.”
“Besok kita akan pulang ke kampung. Hati ini sudah tidak sabar untuk menjengah emak dan ayah serta adik-adik di sana.” Jawab Zahid.
“Hmm..., rindukan keluargalah ni.” Usik Zaini pula Zahid tersenyum mengulum.
“Anak emak..” usik Zaini lagi.
“Kalau anak emak kenapa?” pintas Zahid pula. Mukanya semakin ceria.
“Tak adalah... sebab itulah manja.” Zaini tidak sudah-sudah bercanda. Hingga terlempar ketawa dari Zahid akhirnya.
“Ada-ada sajalah awak ini.” Pintas Zahid bersama sisa ketawanya.
“Macam inilah baru bersemangat. Ini tidak, asyik murung saja hingga tak sudah.” Tegur Zaini pula. Zahid tersengih-sengih pada kawannya.
“Awak balik waktu bila?” tanya Zahid bagi memadam cerita yang diperbincangkan oleh mereka.
“Ingat selepas sekolah kut. Awak?”
“Samalah.”
“Kita bertolak sama-sama ya?” cadang Zaini. Zahid menganggk tanda setuju. Mereka kemudiannya terus menggalas beg di bahu dan bertolak ke kelas untuk memulakan mata pelajaran.

*********************************************************************

“ADA apa-apa yang boleh Zahid tolong, mak?” Zahid mempelawa diri.
“Tak payahlah... pergi tengok adik-adik di depan sana sudah. Biar mak buat kerja ini sorang-sorang.” Tegah emaknya yang sedang mengkelas pucuk ubi, pucuk paku, pucuk putat, untuk diasingkan sebelum ditolak kepada peraih.
“Tak apalah, biar Zahid tolong. Bukan Zahid tak biasa dengan semua kerja-kerja ini.” Zahid masih berdegil dia lalu duduk mencangkung di tepi emaknya dan mengkelas bersama pucuk-pucuk yang dikutip di serara hutan di kawasan kampung mereka.
“Abang sudah baca buku?” tegur emak.
“Sudah mak.” Jawab Zahid.
“Abang jangan main-main ya? Belajar pandai-pandai, nanti bila besar boleh tolong emak, tolong ayah.”  Nasihat emak dengan suara yang lunak. Hati Zahid berasa sebak. Entah kenapa hatinya berasa begitu pedih hingga sebegitu. Dia sedar kesusahan yang dialami oleh keluarga mereka. Tetapi apa yang mampu dilakukan lagi dalam keadaan umurnya yang belum dewasa ini.
Sebenarnya niat Zahid adalah untuk bertanyakan pada emaknya kalau-kalau ada lebihan wang yang disimpan. Kerana dia hendak menukar kasut baru bagi menggantikan kasut sekolahnya yang telah terkoyak. Tetapi setelah melihat kekurangan keluarganya melebihi apa yang dia ada, Zahid lalu memadamkan niat di hati.
Tak apalah, nanti-nanti dia akan himpun duit sekolah. Selepas itu barulah dibeli kasut baru. Ataupun tunggu saja wang biasiswa, barulah diambil bagi kegunaannya. Selama dua tahun bersekolah di asrama penuh, tidak pernah dia menggunakan wang biasiswa pemberian kerajaan. Selalunya jika wang itu diambil, dia akan poskan kepada emak bagi keperluan adik-adik di kampung. Fikirnya, adik-adik memerlukan wang itu melebihi dirinya. Untuk diri sendiri, cukuplah dengan makanan lazat-lazat yang terhidang di hadapan mata.
“Kamu sudah buat kerja sekolah Zahid?” tegur ayah sebaik sahaja menjengahkan muka di pelantar dapur.
“Sudah ayah.” Jawab Zahid.
“Kalau macam tu pergi baca buku. Tinggal tak berapa bulan lagi hendak periksa.” Tegur ayah.
“Nanti Zahid bacalah ayah. Biar Zahid tolong emak sekejap.” Jawabnya.
“Tak payah... kerja-kerja ini biar ayah saja yang buat. Tugas kamu cuma belajar.” Tegah ayah lagi. Zahid terpaksa akur. Dia tidak mahu engkar kata-kata ayahnya. Baginya, engar pada ibu bapa bermakna semakin jauhlah barakah ke atas dirinya. Zahid bangun dan terus menuju ke hadapan. Diambil buku yang dibawa balik bersama lalu dibawa duduk di ruang tamu rumah. Ruangannya tidaklah sebesar mana. Cukuplah untuk mereka sekeluarga berhimpun ketika makan. Kediaman mereka juga biasa-biasa sahaja, beratap genting dan berdinding papan.
Zahid duduk bersila sambil menyandar di dinding. Dia membuka buku pelajaran lalu dibaca bab yang ke seterusnya. Namun begitu satu pun tidak masuk ke kepala. Kebisingan adik-adik telah membuatkan dia tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya pada apa yang dibaca. Lalau buku pun ditutup dan disimpan ke dalam beg semula. Kemudian Zahid duduk bermain bersama adik-adiknya. Inilah masanya dia hendak beramah mesra bersama mereka. Kalau sudah pulang ke sana nanti, bila masa pula dia hendak jumpa mereka? Selepas itu, sudah tentu dia sibuk dengan mata pelajaran pula.
Selepas puas bermanja dengan adik-adik, Zahid masuk ke bilik. Dia menyelongkar buku-buku lama untuk diconteng sebelum mata terpejam lena. Letihnya duduk saja-saja tanpa berbuat apa-apa. Kalau di asrama, pada waktu-waktu begini mereka sibuk bermain dam ular. Kalau tidak pun, masing-masing sibuk mencuci pakaian yan terhimpung selama seminggu.
Baru saja Zahid hendak memejamkan mata, apabila dia terdengar suara kekecohan di luar perkarangan rumahnya. Dia lalu bingkas bangun dan keluar ke halaman. Dilihat emak sedang kalut mengutip ikan-ikan kering yang dijemur. Manakala adik-adik pula sibuk mengutiip kain baju di ampaian. Hujan sudah merenjis ke tanah. Sedikit masa lagi mungkin hujan akan turun lebat kerana rona langit sudah berubah begitu hitam.
Dengan tidak bertangguh Zahid turut turun ke tanah. Dia membantu emaknya mengutip hasil tangkapan laut yang dikeringkan di pelantar buatan ayah. Selesai semua kerja-kerja tersebut, raga berisi ikan dan sotong separuh kering itu diangkat masuk ke dalam rumah. Oleh kerana kederat emaknya tidak seberapa, Zahid tidak membiarkan emak menggendong bebanan raga itu secara bersendirian.
Selesai kerja-kerja yang menjerih kederat itu, satu lagi pula masaalah yang menimpa. Hujan yang renyai-renyai pada mulanya telah bertukar menjadi lebat pula. Titisannya yang laju telah tiris dari celah atap nipah. Terpaksalah mereka adik beradik mencari bahan untuk menadah tirisan itu. Kalut emak memindahkan barang-barang yang berada di dalam rumah. Ayah pula tidak kurang sibuknya. Membantu kami menyelenggarakan peralatan yang masih belum dipindahkan. Selesai semua kerja, masing-masing duduk tersandar di dinding sambil menghela nafas lelah.
Kala itu terfikir di hati Zahid untuk berhenti sekolah. Memikirkan kesusahan yang ditanggung oleh emak dan ayah, membuatkan hatinya berat untuk meneruskan pengajian. Kalau dia tiada di rumah bagaimanalah keadaan keluarganya. Tentu lebih berkeluh kesah berbanding hari ini.
“Abang tak nak sambung sekolah ayah.” Suara Zahid di suatu pagi selepas hujan lebat menimpa atap rumah. Ayah terus terpanggung apabila Zahid menyuarakan hasratnya secara tiba-tiba.
“Jangan nak buat pasal Zahid. Kenapa tiba-tiba cakap macam tu pula? Abang pun nak hidup susah macam mana mak dan ayah juga? Kalau tak sekolah nanti abang nak kerja apa?” marah ayah hingga terjegil biji mata. Manakan tidak, tiba-tiba sahaja Zahid menyuarakan hasrat yang langsung tidak terlintas di benaknya. Manakala dadanya berombak keras. Baru sahaja dia merangka untuk mempertingkatkan taraf kehidupan keluarga mereka, alih-alih Zahid berkata begitu pula.
Bila dijerkah oleh ayahnya secara tiba-tiba, Zahid terus menunduk. Takutnya dirasa tidak terkata. Mana tidaknya, inilah kali pertama ayah meninggikan suara. Silapnya juga, kenapa tiba-tiba menyatakan hasrat yang membuatkan orang tua marah?
“Abang kesiankan mak, kesiankan ayah.” Bila ayah berterus-terusan memandang ke arahnya, Zahid jadi tidak tentu arah. Lalu disuarakan apa yang berkumandang di dalam dada.
“Tak payah nak risaukan kami. Pandailah ayah mencari nafkah untuk anak-anak. Tugas kau adik beradik cuma belajar saja.” marah ayah lagi. Tetapi kali ini suaranya sudah tidak meninggi. Namun air mata Zahid tetap mengalir. Sedih benar hati melihat kedhaifan keluarga mereka. Pada zaman sekarang ini, mana ada lagi rumah papan beratap rumbia. Cuma rumah mereka sahaja semata-mata. Yang tiris bumbungnya merata-rata, ditempiasi hujan dari setiap cerok rumah.
“Dengar ni Zahid, ayah ini bukan orang yang berada. Tidak berharta dan tidak ada pendapat yang tinggi. Tetapi ayah masih punyai kederat. Ayah masih mampu menyekolahkan anak-anak. Belajarlah. Hanya itu sahaja harta yang ayah termampu berikan pada kamu adik beradik.” Kala terdengar suara ayah yang sudah kian merendah, Zahid terus menangis semahu-mahunya. Betapa kesal dia menyuarakan rasa tanpa memikirkan hati orang tua. Dalam tangisannya yang hiba, emak juga turut menitiskan air mata. Adik-adik pula pakat memandang sesama mereka.
‘Insyaallah ayah. Zahid akan buktikan bahawa keluarga miskin seperti kita juga boleh berjaya seperti mana anak-anak orang lain. Itu janji Zahid pada ayah.’ Zahid berjanji pada dirinya. Itulah sumpahnya, agar kehidupan mereka sekeluarga akan berubah juga di suatu masa kelak.

*********************************************************************

KEPULANGAN Zahid ke asrama semula disisipkan dengan semangat yang baru, iaitu ingin mencapai matlamatnya yang utama. Perihal kasut sekolah langsung tidak singgah di pemikirannya. Biarlah, selagi ianya boleh disaruk di kaki, dia akan pakai lagi. Bukan nak jadi dosa andai kata ianya koyak rabak sekali pun. Berpadan-padanlah, ukur baju di badan sendiri. Itu kata pepatah lama. Lagi pun tujuannya ke sekolah untuk belajar, bukan untuk melawa.
Hari ini perhimpunan akan diadakan. Jadi, terpaksalah dia keluar awal untuk ke sekolah. Di awal-awal pagi itu, guru besar memberikan sepatah dua kata untuk pelajar-pelajarnya. Diikuti pula dengan guru disiplin kemudiannya. Perhimpunan berakhir setengah jam selepasnya. Semua pelajar berbaris untuk ke dalam kelas disamping pantauan dari guru disiplin.
Kini tibalah giliran kelasnya untuk beredar dari kawasan dewan tersebut. Mereka berjalan seorang demi seorang mengikut giliran masing-masing. Dia yang berdiri di barisan pertama, memulakan perjalan utuk ke kelas. Tetapi tiba-tiba pendengarannya disapa oleh seorang guru di situ.
“Ini kamu ni. Berdiri di tepi sekejap.” Zahid breali. Dia tahu guru itu memaksudkan dirinya. Zahid lalu meminggirkan diri dari barisannya. Dia berlalu ke tepi seperti yang diarahkan. Bersama-samanya ada juga beberapa orang pelajar dari pelbagai kesalahan.
“Ini kasutkah apa? Ternganga mengalahkan mulut buaya saja. Cuba cerita sikit?” kuatnya suara cikgu disiplin ketika menegurnya, membuatkan pelajar-pelajar yang berada di situ turut ketawa. Waktu itu, dia sudah tidak tahu hendak sorokkan muka di mana. Malu pula usah dikata.
Zahid hanya mampu menundukkan kepala. Dia tidak tahu bagaimana hendak bercerita. Hendak memberitahu tentang kesusahan keluarganya, risau nanti ditanya pula. ‘duit biasiswa yang diterima pergi ke mana?’ lalu diam sahajalah jawapan yang sebaik-baiknya buat diri ini.
“Besok saya tak nak tengok lagi awak pakai kasut ini. Pergi balik ke kelas.” Marah cikgu Morad. Zahid akur. Dia lalu pulang ke kelas dengan perasaan yang begitu tertekan.
Kalau tidak pakai kasut ini, dia hendak pakai kasut mana lagi? dia mana ada kasut lain lagi dah. Fikir Zahid. Dirinya semakin tertekan. Takkan hendak meminta-minta dari orang pula. Hibanya dirasa tidak tergambar dek sesiapa. Wajah Zahid yang begitu ceria pada mulanya terus bertukar sugul.
“Ini, kamu nama apa? Datang ke sini sekejap.” Dalam perjalanannya untuk pulang ke kelas, seorang guru lelaki bertubuh rendang telah memanggilnya. Dia terus membelok menghampiri guru tersebut.
“Ikut cikgu ke bilik guru sekejap.” Perintah guru itu. Zahid menuruti. Entah apa pula hukuman yang akan diterima gara-gara kasut buruk yang melekat di kakinya ini. Fikir Zahid. Sesampai di bilik guru, dia dikerah duduk di kerusi yang telah disediakan. Zahid akur.
“Nama kamu siapa?” soal guru itu sebaik sahaja dia melabuhkan punggung di kerusi.
“Zahid, cikgu.”
“Zahid bin apa?” sambil guru itu melewar mencari sesuatu di mejanya, disusulkan pula pertanyaan yang kedua.
“Zahid bin Deraman.”
“Tinggal di mana?”
“Tinggal di Kuala Muda.” Jawabnya jujur. Guru itu lalu duduk melabuhkan punggung di hadapannya dengan muka yang manis.
“Bapak kerja apa.” Seperti anggota polis, guru yang tertera namanya sebagai Othman pada tanda nama yang terselit di bajunya bertanya buat sekian kali.
“Nelayan.” Jawabnya perlahan lalu menunduk.
“Adik beradik berapa orang?”
“Empat orang.”
“Sudah bersekolah?”
“Dua masih kecil. Dua orang lagi di sekolah rendah.” Hingga tidak terangkat mukanya untuk memandang ke wajah cikgu Othman. Entah kenapa sala silah keluarganya ditanya hingga sebegitu rupa.
            “Cikgu nak tanya, kenapa kamu masih pakai kasut yang masih koyak ini lagi. Kenapa tak tukar yang baru?” cikgu Othman terus ke pokok persoalannya.
“Zahid diam. Dia tidak mampu bersuara. Perkara itu juga yang diulang berkali-kali. Hingga naik tebal mukanya untuk mengadap sesiapa sahaja.
“Cikgu tanya bukan apa, cikgu cuma nak tahu bagaimana keadaan kehidupan keluarga kamu. Kalau boleh cikgu bantu, cikgu bantu. Hari ini cikgu nak kamu bercerita pada cikgu, apa masaalah kamu yang sebenarnya. Sebagai permulaannya, cikgu nak tanya kenapa kamu masih pakai kasut yang koyak ini.”
“Ayah tak ada duit cikgu. Sudah lama ayah tak turun ke laut.” Ceritanya bersama hemburan air mata.
“Kenapa?” tanya cikgu Othman pula. Zahid diam. Dia tidak sepatutnya bercerita kenapa dan apa. Sepatutnya cikgu lebih tahu bagaimana keadaan cuaca pada waktu-waktu sekarang.
“Oh, maafkan cikgu. Sekarang musim hujan. Laut bergelora, tentu ayah kamu tidak dapat turun ke laut.” Mujur juga cikgu Othman pantas berfikir. Jadi tak payahlah dia bercerita itu ini secra terperinci.
“Bukankah kamu layak menerima wang biasiswa?” dia disoal semula.
“Saya kirimkan untuk emak cikgu.” Dalam tunduknya, Zahid menyuarakan apakah perkara yang sebenarnya.
“Jadi, kamu tidak gunakan untuk keperluan kamu?” dia menggeleng.
“Hmmm... tak apalah. Cikgu ini sebenarnya ada hal untuk bertemu dengan kamu.” Sambil berkata, sambil cikgo Othman mengeluarkan dompetnya. Kemudian, diselak di bhagian dalamnya.
“Nah, ini cikgu sedekahkan buat kamu untuk gantikan kasut yang kamu pakai tu. Selebihnya kamu ambil buat belanja.” Sejurus selepasnya, cikgu Othman menyerahkan sekeping not lima puluh ringgit Malaysia. Mata Zahid terbelalak. Niatnya bukan untuk meraih simpati. Jadi tidak usahlah cikgu melayannya hingga sebegini.
“Tak apalah cikgu, nanti saya kumpulkan duit belanja, saya gantikanlah kasut ini.” Zahid menolak secara sopan.
“Tak apa, ambil saja. Niat cikgu untuk bersedekah.” Kemudian tangan Zahid diraih, dan wang kertas itu terus bertukar tangan.
Air mata Zahid terus menitis tanpa sedar. Dia mengelasnya dengan lengan. Sebak di dada usah di kira. Rupa-rupanya ada juga insan yang berhati mulia. Terima kasih tidak terhingga diucapkan buat guru itu.
“Terima kasih cikgu.” Ucapnya. Cikgu Othman menepuk bahunya penuh kasih.
“Tak apa, ambillah. Belajar rajin-rajin, nanti bila sudah kerja, bila senang, tolong emak dan ayah.” Pesan cikgu Othman pula. Mendengar kata-kata cikgu Othman, maka bertambah-tambahlah kagi sebak di dada. Lalu tanpa diduga, dia terus memeluk tubuh cikgu Othman seraya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga.
 ‘Insyaallah cikgu, insyaallah. Saya akan berusaha untuk terus berjaya di hari muka bagi menebus kembali kesusahan keluarga kami di hari ini.’ Itu janji Zahid pada dirinya sendiri.

No comments:

Post a Comment