Powered By Blogger

Thursday 1 March 2012

MY HONEY SAMDOL


                                                      BAB 10


P

ON ! PON !PON ! PON ! PONNNN...!!!!”
“Ikan ! Ikan ! Ikan....!!! sayur kak ! ikan ! udang ! sotong ! semua segar-segar kak ! Mari ! mari ! mari !!!!”
“Pon ! pon ! pon ! pon ! pon ! pon !!!!!”
Mai Hani terbingkas bangun dari tidur saat hon dari lori ikan kuat berbunyi bagai memecah lubang telinga. Dia sudah naik hantu. Menyebalnya pula bukan main lagi, rasa hendak meletup satu kepala. Sesekali pulang ke rumah, nak juga berehat-rehat dan bermalas di tempat tidur. Ini terganggu pula dengan bunyi-bunyian yang memekakkan lubang telinga. Macam mana dia tidak marah sehabis nyawa?
“Ikan ! Ikan ! Ikan !!!! Mari kak, hari ni ada ketam segar.” Kedengaran laungan kuat dari arah lori yang berhenti betul-betul di hadapan rumahnya. Bila suara itu berlagu sekali lagi, Mai Hani bingkas bangun lalu menuju ke arah tingkap yang terbuka.
Whoi ! orang tahulah awak jual ikan. Yang memekak sangat tu kenapa?” terus saja ditengking dengan kuat tanpa merasa bersalah hingga membuatkan si penjual ikan tertoleh ke arahnya.
“Ikan kak...” dia berbahasa. Senyuman pula penuh berbunga.
“Orang tahulah ikan.” Sembur Mai Hani lagi. Bila sudah diherdik hingga sebegitu, wajah lelaki itu terus terkerut-kerut. Mana tidaknya, tiba-tiba terpaksa menahan kelantangan suara seorang wanita hingga menampan ke telinga.
“Tak nak pilih ikan? Hari ni ikan segar-segar kak. Ketam pun ada.” Lelaki itu berbahasa lagi.
“Bila masa pulak emak kita beranakkan awak? Siap berkakak kakak lagi. Orang tak naklah ! kalau orang nak ikan, orang pergi menyelam kat laut je terus, lagi segar.” Bidas Mai Hani tanpa bertapis membuatkan lelaki itu menyerigai malu. Mujur juga pembeli terakhir yang membeli ikan darinya sudah beredar di situ, kalau tidak tak tahulah di mana nak sorokkan muka.
“Mak cik ada kak, dia yang pesan ikan selayang ni kemarin.” lelaki penjual ikan itu berkata lagi. Mukanya sudah tidak semanis mula-mula tadi. Mungkin risau dihamun sekali lagi agaknya?
“Selayanglah, Gombaklah, masa orang dok tengah tidur, masa itulah dia nak datang buat bising. Macam tak ada waktu lain sangat dah.” Mai Hani mengomel sendirian bagaikan tidak berpuas hati dengan apa yang terpaksa dilalui pada hari ini.
“Tunggu kejap. Nanti kita cari emak.” Herdikan Mai Hani dari celah tingkap selepas itu, tiada langsung bahasa yang lebih sopan. Selepas berlalu dari bilik, Mai Hani terus ke dapur mencari emak. Namun kelibat emak langsung tidak kelihatan walaupun seluruh ruang diterjah.
“Emak tak ada. Dia ke mana entah.” Laung Mai Hani dari sebalik pintu rumah agar lelaki itu tidak tertunggu-tunggu lagi.
“Nah ambil ikan selayang yang dipesan ni.” lelaki itu mengerah. Lalu disuakan dari pintu pagar rumah.
“Besok-besoklah bawak. Hari ni dah orang tak ada, nak buat apa benda alah tu?” Sesungguhnya Mai Hani begitu malas sekali untuk keluar dari rumah. Mengenangkan dia hanya berseluar pendek separas lutut serta berbaju-T sendat, membuatkan perasaan malu begitu menebal sekali untuk berhadapan dengan lelaki itu.
“Kalau dah bawak besok, tak segar lagilah ikan ni. Nah la ambil, nanti kalau gantung di pagar ni, diterkam dek kucing pulak.” Lelaki itu pula berkeras. Langsung dia tidak mahu beralah selagi Mai Hani masih beralasan.
“Ish, kacau betullah awak ni.” dengan wajah menyebal yang tak sudah, Mai Hani terpaksa juga mengadap si penjual ikan dengan keadaan pakaiannya yang begitu. Masam di mukanya jangan dikira, terasa mengecut seluruh urat saraf bagi sesiapa yang memandang.
“Duitnya besok-besok pun tak apa.” Kata lelaki itu sebaik sahaja plastik berisi ikan bertukar tangan.
“Tahulah.” Sembur Mai Hani lagi. Manakala lelaki si penjual ikan pula hanya tersengih-sengih memandang. Orangnya tidaklah sebesar mana pun, tetapi menengking orang hingga nak terburai anak kerongkong. Bahasanya pula, alahai... memang tak tahan mendengar. Penuh berbisa dan tajam menikam.
“Nanti kalau nak ikan yang lagi segar, pergi menyelam sendiri kat laut.” Malah sempat pula disedekahkan buah sindiran buat Mai Hani sebelum dia beralih pergi. Dan balasan yang diterima dari sindiran tersebut, hanyalah jelingan maha menghiris dari si empunya diri. Namun dia hanya meleret senyum bila melihat gadis itu berlalu masuk ke dalam rumah bersama wajah berang.
Sebenarnya, sudah lama diperhatikan gadis itu dalam diam. Hatinya benar-benar berkenan sewaktu pertama kali memandang ke wajah itu. Lagi pula, dia dan abang si gadis mengenali antara satu sama lain, jadi mudahlah baginya untuk merencanakan sesuatu agar dapat mengenali gadis itu dengan lebih dekat.

 

1 comment: