Powered By Blogger

Friday 31 October 2014

HAI, ADIK MANIS (BAB 2)



BAB 2




Farid tersenyum di sepanjang pemanduannya. Kelakar bila diingat-ingat balik tentang gadis manis tadi. Sampai terbuntang biji mata bila dia sapa dengan nada nakal. Entah macam mana terkeluar ayat ‘adik manis’ tu tak tahulah. Tiba-tiba saja terpantul dari mulut bila mereka bertembung sekali lagi. Tidak pernah dibuat-buat perangai gatal berupa itu setelah sekian lama.
Patutlah selepas dia menegur sapa, gadis itu buat muka terkejut bersambung pelik sekaligus. Pasti mati-matian gadis itu ingat dia kaum kerabat Mamat Bangla yang mengganggunya tadi. Siap bercakap dialek Bangla pulak lagi? Mahu dia tak rasa lucu macam nak tercabut usus? Manis… manis… luculah kau ni!
“Hai… senyum  sorang-sorang ni. Apahal?” Abang Saad menegur ketika Farid sedang melayan angaunya sendiri. Angau? Baru kenal dah angau? Agaknya? Ya, aku angau bila tengok tahi lalat pemanis di tepi dagunya. Nampak manis bila dia senyum. Tetap lebih manis lagi apabila dia buat muka terkejut.
“Eh, saya senyum ke tadi? Tak kut…” Farid menutup rasa malunya dari disedari oleh lelaki dalam lingkungan usia hampir lima puluhan itu.
“Amboi… ni bijik mata Abang Saad ni tak rabun lagi tau? Hang senyum sampai nak merekah bibiaq, mau Abang Saad tak heran?” Saad yang asal tanah kelahirannya dari Melaka mengajuk cakap orang utara. Pekat betul sebutannya. Sampai tergelak Farid dibuatnya.
“Ada la tu, Abang Saad… biaq pi la kat dia… orang yang terlajak tarikh ni, kadang-kadang wayar tak berapa nak betui sikit.” Tengok tu, Amran spesis tak sayang mulut mula buat lawak kasar. Siap ajuk cakap utara, lagi. Padahal dia anak jati Johor.
Teringat gadis tadi, hatinya rasa bagai ditabur bunga dari syurga. Sejuk je rasa bila pandang wajahnya. Tidak macam selalu, tengok mana-mana perempuan pun dia tak rasa nak beramah mesra. Nak bertegur sapa, lagi-lagilah. Hari ini lain pulak perangainya. Tak semena-mena dia kenyit mata sampai wajah gadis itu bertukar merah menyala. Tentu dia malu tak hingga.
Sampai sahaja mereka di pekarangan pejabat, Farid dan kawan-kawan berpisah tujuan untuk menyambung tugasan mereka.
“Encik Farid, ni uniform encik dah saya keringkan.” Samihah menyerahkan seragam kerja Farid yang dia tolong cucikan kerana terkena tumpahan minyak hitam ke pakaiannya ketika memeriksa lori  bomba pada pagi tadi. Farid menyambut uniformnya lalu disarukkan ke tubuh.
“Terima kasih, Samihah. Kalau takde awak, gelap dunia saya.” Farid melawak.
 “Dunia saya sentiasa nampak gelap, Encik Farid.” Samihah balas balik. Langsung dia tak berniat apa-apa, tetapi Farid sudah tersalah faham,
“amboi… gurau kasar nampak… tahulah kulit saya gelap.” Samihah mengekek ketawa.
“Tak bermaksud pun, encik. Tapi kalau encik dah terasa, saya nak buat macam mana.” Gelak Samihah ditutup dengan telapak tangannya. Lelaki itu memang berkulit agak gelap. Tapi tidaklah sampai macam bontot kuali. Ala-ala Sylvester Stallone je… okeylah tu bagi kulit orang lelaki. Baru nampak gagah perkasa sikit. Kalau kulit cerah sangat nampak pun macam lembik. Tak percaya tengok hero-hero Korea tu. Jatuh sikit pun dah terkehel tangan, dah berbalut kaki. Macam hampeh je tengok.
“Itu la Encik Farid… kalau ada isteri kan senang? Boleh jugak suruh tolong cuci-cuci pakaian ke… seterika pakaian ke… tak payah buat kerja sendiri. Ini tidak,” Samihah membebel-bebel seraya menghantar usikan kepada Farid yang sudah begitu akrab semenjak mereka bekerja dalam satu jabatan.
“Kalau saya dah ada calonnya nanti, awak orang yang mula-mula sekali saya bagi tahu.”
Samiha tayang sengih. Dia saja usik-usik… tapi kalau Encik Farid sudah bersedia menamatkan zaman bujangnya, dia lagi suka. Terjaga, kebajikan Encik Farid. Samihah beransur untuk pulang ke meja kerjanya.
“Minggu depan saya nak balik kampung. Ada awak nak pesan apa-apa?” belum pun bergerak, Farid bersuara semula.
 “Nak balik kampung ye, encik? Kirim salam pada Diba dan Dani ye?” Samihah begitu teruja bila dengar Farid hendak pulang ke kampung. Dia suka tengok dua cilik kesayangan Farid itu. Pertama kali dia tengok mereka, dia sudah jatuh kasih. Baik, si kembar itu. Sama-sama kacak dan cantik.
 “Kirim salam je? Barang-barang lain tak nak?” Farid memberi senyum sambil jongket kening kepada Samihah yang sedang tegak berdiri di hadapannya tunjuk muka teruja
“Er… macam biasa jelah encik, beli kudapan dari Pulau Mutiara. Duduk saja-saja boleh juga buat kunyah.” Malu-malu Samihah memesan. Segan juga bila orang dah terlalu baik hati. Takut nanti dia dianggap mengambil kesempatan. Tetapi Farid ni tak berkira, balik je dari Pulau Pinang, macam-macam yang dia bawak balik ke sini walaupun mereka tidak pernah pesan.
“Hai… bertambah gebulah cik kerani kita ni nanti.” Sinisnya kata-kata dia! Malu jugak Samihah. Tapi tak apa… dia terima hakikat yang dia memang gemuk.
Selepas sindir sekali lalu, Farid beransur untuk beredar dari situ untuk menyelesaikan kerja-kerjanya.
“Eh encik, kejap, kejap, kejap. Ni ada surat untuk encik.” Kerani yang ramah tamah dan masih bujang trang tang tang itu memanggil sambil dia berlari ke mejanya untuk mengambil sekeping surat. Selepas itu dia datang kepada Farid kembali lalu menyerahkan surat itu.
“Surat apa ni?” Farid membelek-belek di bahagian hadapan sampul surat rasmi yang sampai ke tangannya.
“Entahlah encik… kalau encik buka, tahulah surat apa. Kalau tengok bahagian luar je, jangankan encik, saya pun tak tahu.” Samihah yang ramah terlebih itu kembali semula ke mejanya.
Farid membuka sampul surat itu dengan cermat sambil langkahnya dibawa menuju ke bilik pejabat.
Sentuh sahaja punggungnya di kerusi, senyumnya merekah di bibir. Dia sudah dapat surat pertukaran ke utara. Walaupun lokasinya di Kedah, tetapi jaraknya dengan Pulau Pinang berjarak tidak jauh. Bolehlah dia berulang alik tiap-tiap hari dari rumah orang tuanya. Apabila orang tua sudah meningkat usia, sebagai anak lelaki, dia mahu menghabiskan masa bersama mereka. Dia tidak mahu berjauhan lagi di sisa-sisa tua mereka. Dia takut tidak sempat melabuhkan kasih sayang buat mereka andai mereka pergi dahulu sebelum dia pulang dan tinggal di sana.
Terus hatinya rindukan emak di Pulau Pinang sana. Lalu telefon bimbitnya dikeluarkan dan nombornya ditekan.
“Assalammualaikum ma. Apa khabar?” Salam diberi dengan suara yang ceria.
“Waalaikumsalam… Alhamdulillah, sihat… ma dan ayah kat sini. Farid sihat?”
“Sihat, ma.”
“Eh, ceria je ma dengar suara Farid kat sana.”
“Ye ma, Farid dah dapat tukar tempat kerja.”
“Oh, iye? Alhamdulillah… dekat mana tu, Farid?”
“Kulim, ma.”
“Syukurlah… Farid dapat tukar dekat-dekat sini. Tak jauh dah tu Kulim dengan Penang. Boleh berulang dari rumah.” Puan Bainun juga turut teruja mendengar perkhabaran tersebut. “Bila nak balik sini, Farid?”
“Hujung minggu ni Farid balik la ma. Rindu pada mereka berdua tu.”
“Hmmm… macam itu jugaklah mereka tu. Rindukan Farid selalu-selalu.” Macam mengeluh sahaja bunyi suara emaknya di sebelah sana.
“Dah tu, bila pulak nak bertukar ke Kedah ni?”
“Bulan depan, ma.”
“Alhamdulillah… seronok tak habis la nanti budak-budak tu bila dengar berita ni nanti.”
“Okeylah ma, Farid ada kerja ni. Nanti sampaikan salam Farid untuk budak-budak berdua tu ye? Kirim salam dengan ayah jugak.”
“Baiklah Farid, nanti ma sampaikan. Kamu tu, jaga diri. Jangan kerja terlalu kuat sangat. Risaulah ma tengok kamu tu kerja sampai tak kenal siang malam.”
“Yelah ma.” Farid tergelak kuat. Sempat lagi emaknya meleter di hujung-hujung talian.



HAI, ADIK MANIS (BAB 1)



BAB 1


ISMA berasa tidak sedap hati ketika melalui kelompok warga asing itu ketika mencari tempat untuk menunggu bas. Siulan mereka membuatkan bulu romanya meremang tegak. Tetapi apakan daya, dia terpaksa menunggu juga untuk pulang ke sekolah selepas keluar mendapatkan rawatan di klinik swasta. Sendi sikunya ini, entah kenapa tidak semena-mena rasa sengal semula. Menyucuk-nyucuk kalau dia mengangkat barang-barang berat.
Selepas terjatuh di sekolah dahulu dan tubuhnya ditindih tubuh besar agam Cikgu Morad, sikunya terseliuh dan jenuh berurut. Bukan saja-saja dia cari nahas dengan mempertaruhkan anggota badannya untuk dicederakan. Tetapi kejadian itu berlaku secara tidak disengaja.
Pada petang itu iaitu beberapa minggu lepas, mereka mengada latihan olahraga untuk hari guru yang bakal tiba. Sebelum memulakan latihan, seperti-mana biasa dialah yang akan mengadakan keperluan sukan. Hari itu entah macam mana, ketika dia keluar dari bilik peralatan sukan dengan tergesa-gesa sambil membawa sebiji bola, tubuhnya terjerumus dengan Cikgu Morad. Apa lagi… dalam keadaan Cikgu Morad juga tidak bersedia, keadaan diri sendiri pun yang terkejut macam nak putus nyawa, terus dia tidak sempat brek. Apa lagi… rebah ke lantailah. Terus bola terlepas dari tangan dan terlantun mengenai kepala lutut Cikgu Morad membuatkan lutut lelaki itu tergelincir lalu rebah ke atas tubuhnya.
Oh Tuhan! Betapa azabnya menampan tubuh yang maha berat itu di atas tubuhnya. Termengah-mengah dia melepaskan diri dari tubuh Cikgu Morad yang terkejang keras tidak dapat bergerak. Fuh! Rasa macam dihimpit lubang kubur je. Azab sungguh! Selepas kejadian itulah sikunya membengkak hinggakan hendak mengangkat pinggan atau menunduk sujud di tikar sejadah pun berasa payah. Sengal itu begitu terasa apabila tibanya waktu tengah-tengah malam ataupun ketika dia tidak berpantang makan. Sakan juga dia berurut untuk menghilangkan bengkak. Dua minggu pun masih belum lega benar lagi.
Semalam selepas dia makan masak lemak cili padi pucuk asin-asin, sengalnya datang semula. Sebab itu hari ini dia minta kebenaran untuk keluar ke kelinik. Macam mana nak buat kerja kalau sakit je sentiasa. Nak menaip pun susah.
Isma melabuhkan punggung di bangku yang disediakan di hentian bas tersebut. Dia duduk jauh sedikit  dari warga asing yang riuh rendah bersembang hingga meledak suara tawa mereka apabila habis bercerita. Entah apa yang disembangkan tidak tahulah. Cerita tentang kampung halamanlah agaknya.
Hela sahaja nafas penat, Isma keluarkan  alat telekomunikasi dari beg tangannya. Dislide-slide skrin telefon bimbitnya melihat update terkini di facebook dan kemudiannya menjengah grup whatsup pula. Tidak ada apa yang menarik perhatiannya. Dia menyimpan semula alat telekomunikasi ke dalam beg tangan. Dia duduk melengung sambil menunggu ketibaan bas.
Ketika dia sedang asyik-asyik melayan fikiran sendirian, salah seorang dari Mat Bangla yang berada di situ melintas. Sangkanya lelaki itu hendak ke mana-mana. Mana tahu, tup-tup dia datang dan duduk di sebelah. Terkejut beruk Isma dibuatnya. Terus dia jadi gelabah.
“Hai, adik manis…” dia tidak selesa dingurat mamat-mamat Bangla. Rasa macam tak laku sangat dirinya di mata warga tempatan. Sebab itu Isma tarik jeling begitu menghiris dan terus dia paling pandang ke lain. Meluat dia tengok lelaki itu tersengih-sengih di depannya.
Dengan kemeja lengan panjang panas-panas buta ni. Dengan slack bagai, mengalahkan orang kerja pejabat. Yang paling tak menahan, rambutnya dibelah tengah. Berkilau disapu dengan minyak. Entah minyak apa yang dilumur atas kepalanya tu, tak tahulah. Bau lain macam je. Minyak wangi jangan kiralah, rasanya dari hujung rambut sampai ke hujung kaki dia spray. Tetapi bau kesat tubuh mamat Bangla ini tetap tidak hilang. Biasa la… banyak makan bawang!
“Abang tara ganggu sama adik manis. Cuma satu kali, mau tanya itu nama saja.” Mamat Bangla itu mengayat lagi. Nak muntah Isma dengar ayat tunggang langgangnya. Buat sakit hati! Dia baru berura-ura untuk bangun, tetapi lelaki Bangla itu melaung kawannya dari kelompok hujung sana. Kuatnya mereka sembang. Dia melaung dari hujung sini, disambut pula oleh kawannya di hujung sana. Macam tempat tunggu bas ini milik emak bapak mereka punya. Bingit! Bingit telinga dengar!
Ketika Isma sedang melayan rasa menyampah, dengan tidak semena-mena seorang lagi Mat Bangla datang apitnya di sebelah sini. Makanya ketika itu dia sedang berada di tengah-tengah jejaka ala-ala Shah Rukh Khan yang sedang menghuni tanah tumpah darahnya ini.
“Adik manis… tara suka sama abang ka? Abang suka sama adik manis. Mari kita cinta-cinta.” Kawannya yang datang itu lebih aggressive. Ajak bercinta terus! Isma semakin kecut perut. Melingas dia tidak tentu arah. Kemudian hijabnya disentuh-sentuh. Dia jadi hilang akal. Macam nak menangis saja rasa.

FARID sedang berada di sebuah warung, mengecap cendol berais pada tengahari itu ketika pandangannya melekat ke arah hentian bas yang berdekatan. Kelihatan seorang gadis manis berbaju kurung merah jambu berbunga halus sedang menghala tuju ke sana untuk menggunakan perkhidmatan kenderaan awam tersebut.
Bukan soal gadis itu sahaja yang melekapkan pandangannya ke arah sana, tetapi situasi di tempat itu. Orang-orang yang sedang menunggu ketibaan bas yang mencurigakan hatinya. Beberapa orang warga asing yang turut berada di situ sedang bersiul-siul ketika gadis tersebut melintasi tempat mereka berada.
Dia hanya jadi pemerhati. Kalau Mat-Mat Bangla itu mengacau, baharulah dia akan terjah ke sana. Tidak boleh dibiarkan anak-anak gadis kita diganggu gugat oleh mereka. Punah ranah jadinya nanti. Bukan dia tak tahu tentang isu itu. Sudah banyak yang berlaku. Itu, anak Mak Cik Tom yang kerja kilang di kampungnya di Paya Takong sana. Mula-mula memanglah kawan biasa-biasa di tempat kerja. Tup-tup dengar nak kawin dengan Bangla. Jenuh emak bapaknya menegah, tetapi tetap berdegil juga. Lalu terpaksalah Haji Baharin izinkan. Mulanya memang bahagia apabila sudah berumahtangga. Tetapi lama kelamaan Uni tidak dibenarkan keluar dari rumah terus. Disuruh berhenti kerja dan menjaga rumahtangga.
Itu tak apa lagi, yang paling menyedihkan apabila suaminya habis kontrak dengan syarikat tempat mereka bekerja. Terus dia ambil keputusan untuk pulang ke Bangladesh sana. Diheret Uni pulang bersamanya. Hendak menegah pun, sudah menjadi isteri orang. Maka terpaksalah Haji Baharin lepaskan.
Sangka Uni, kehidupan di negara tanah tumpah suaminya aman sentosa. Bolehlah dia bermegah-megah dengan kecantikannya. Mana tahu lain pula jadinya. Kehidupan rakyat sana begitu susah. Tinggal di kampung pedalaman dan ada kalanya makan mereka cuma satu hari sekali sahaja. Pulang ke sana perangai suaminya semakin menjadi-jadi. Nak-nak pulak apabila pulang ke sisi anak dan isterinya yang berasal dari tanah tumpah mereka. Uni makan hati betapa punya lama. Hinggalah dia dapat akal dan terpaksa mencuri wang saku suaminya serta menyeludup secara senyap-senyap passportnya yang berada dalam simpanan Masood. Dia lari keluar dari kampung itu pada tengah-tengah malam buta, ketika semua penduduk kampung sedang nenyak lena.
Dengan wang yang hanya sedikit itu, Uni menelefon bapanya di kampung, meminta untuk memasukkan wang ke akaun antarabangsa miliknya untuk dia pulang ke sana. Waktu itulah dia menceritakan kepada Haji Baharin tentang azab yang terpaksa dia hadapi selama setahun dia tinggal bersama suaminya. Sepantas itu juga Haji Baharin memasukkan wang ke dalam akaun milik Uni.
Selepas pulang dari Bangladesh, Uni memohon cerai. Mujur mereka tidak dikurniakan cahayamata sepanjang perkahwinan mereka. Kalau tidak, jenuh juga hendak menghadapi perebutan anak pula selepas perceraian.
Pemerhatian Farid masih menghala ke arah hentian bas. Kenangan tentang teman sekampungnya terus dibawa pergi. Kenangan yang pernah menjadi gempar dalam kampungnya beberapa tahun dahulu apabila seorang anak gadis dari keturunan baik-baik telah berkahwin dengan lelaki warga asing yang berasal dari Bangladesh.
Farid sedang memerhati ke arah adegan yang berlaku di hadapan mata. Dia perlu menyelamatkan gadis mereka dari dihimpit Mamat Bangla. Lalu dengan tidak bertangguh, dia bangun dari kerusinya dan keluar dari perut warung, menghala langkah terus menuju ke perhentian bas.
“Woi!!!” sampai sahaja dia di situ, terus dia menjerkah kuat. Terhinjut bahu kedua-dua mamat Bangla tersebut akibat terkejut. Melihat keadaan tubuh Farid yang kekar dan sasa, berdiri dalam keadaan berpeluk tubuh di situ sambil memandang mereka dengan tajam, mamat-mamat Bangla yang berdua itu dengan takut-takut bangun dari sisi Isma dan terus berlalu pergi ke kelompok mereka. Pucat muka mereka berdua macam baru kena toreh. Sejurus selepas berbual-bual seketika dengan rakan-rakan mereka yang beberapa orang lagi, masing-masing pakat beredar dari situ. Itu pun kerana nampak Farid sedang tegak berdiri macam tiang telekom di situ sambil menghala pandangan ke arah mereka tanpa bergerak. Walaupun bercermin mata gelap, tetapi mereka tahu pandangan itu menghala ke arah mereka. Sebab itulah  masing-masing pakat lari.
Isma sudah mampu menarik nafas lega apabila kumpulan warga asing itu berlalu pergi. Renik-renik peluh didahi terus dilap tengan tangannya.
Sepeninggalan mamat-mamat Bangla itu, Isma kalih ke arah pemuda penyelamat nyawanya. Dia gugup untuk mengucapkan terima kasih. Terasa suaranya seperti tertelan di kerongkong. Mulut sempat dibuka, tetapi suara tidak keluar.
Pemuda gagah perkasa hero penyelamatnya itu kemudiannya menundukkan muka sedikit. Kemudian dia turunkan cermin mata gelapnya. Pandangan mereka mendakap seketika sebelum pemuda itu menjongketkan sebelah keningnya gaya The Rock. Selepas itu dia menghadiahkan kenyitan mata kepada Isma.
Terkejut bagai nak pecah jantung Isma dibuatnya. Hampir-hampir dia terjun kerusi kerana tidak menyangka kerana pertama kali dia terima keyitan mata dari seorang jejaka.
Tidak lama jejaka itu berada di sana, kemudian dia terus berlalu dengan meninggalkan Isma yang sedang mententeramkan perasaannya yang tiba-tiba jadi kacau. Kalau tadi peluh merenik di dahinya,  kini peluh sudah menyimbah-nyimbah di ruangan muka pula. Tidak menang untuk dilap dek tangannya.
“Kau ke mana, Farid?” Saad, teman sepasukan tempat kerja di Jabatan Bomba menyoal sebaik sahaja Farid kembali semula ke meja mereka.
“Pergi jadi penyelamat, bang. Selamatkan anak gadis kita dari jerat Mamat-Mamat Bangla.” Sebaik membetulkan duduk, Farid menerangkan kepada Abang Saad apa yang berlaku. Kemudian dia menyambung suapan ais cendolnya yang terhenti tadi. Langsung dia tidak kalih balik  ke arah tempat menunggu bas setelah dia pulang dari sana.

BAS masih belum tiba, tetapi tekak Isma sudah kering dan perit. Lupa pulak nak beli air mineral, tadi. Isma berkeliling lagi memantau di kawasan sekeliling. Akhirnya dia nampak warung cendol berdekatan tempat menunggu bas. Dapat teguk ais cendol pun bagus jugak waktu-waktu panas terik macam ni. Dia telan air liur bila teringatkan minuman lemak manis dan sejuk itu. Tanpa bertangguh, seperti dirasuk-rasuk, Isma terus mengangkat punggung dan berlalu menuju ke warung cendol tersebut.
Sampai di warung, Isma terus menuju ke arah seorang wanita yang begitu sibuk mengisar ais ke dalam mangkuk untuk menyiapkan tempahan pelanggan. Dia sempat memantau kawasan sekeliling. Agak sibuk keadaan di dalam warung itu.
“Cendol satu, kak. Bungkus ye?” dia membuat pesanan.
“Tunggu kejap ye, dik. Akak siapkan untuk pelanggan dulu.”  Isma cuma mengangguk. Ini semua cendol punya pasal. Tak pasal-pasal pulak karang aku terlepas bas. Pandangannya mengitar di kawasan warung itu lagi. Segan pula dia berdiri tercegat di situ lama-lama. Orang lain sudah berada di meja masing-masing. Larat dia nak tercegat macam patung menequeen di sini?
Keadaan warung yang ebgitu sesak membuatkan Farid begitu payah untuk meloloskan diri di celah orang ramai menuju ke meja bayaran. Dengan factor tubuhnya yang besar agam itu lagi, tentu-tentu apabila bergerak sedikit, akan merempuh tubuh yang berselisih. Walaupun jarak meja mereka dengan tempat pembayaran hanya beberapa kaki, dengan keadaan yang sesak membuatkan dia pecah peluh.
Ternampak pula gadis yang dia selamatkan tadi berdiri tercegat di situ sedang menunggu pesanan. Bersebelahan tempat pembayaran itu adalah tempat mereka mengisar ais untuk cendol dan ais kacang. Tempat itu berada dalam keadaan sebelah menyebelah meja. Akal nakalnya datang balik. Dia ingin menegur, tetapi tidak ada modal pulak. Lalu mulutnya dengan ringan terus menyapa tanpa sempat berfikir,
“Hai adik manis…” ketika Isma sedang menunggu pesanannya siap, dia terkejut apabila disapa oleh suara seorang lelaki. Isma terus kalih ke sisi. Lelaki itulah yang menyelamatkannya di perhentian bas tadi. Dia kalih dan beri senyum sekilas.
‘Geng-geng Mat Bangla jugak rupanya. Ingatkan orang kita.’
Isma kerling wajah pemuda di sisinya. Pemuda berkulit agak gelap, berhidung mancung ala Rajinikant dan bermata ala-ala menteri belia dan sukan itu manis juga orangnya. Baru dia perasan. Lelaki tegap dan bertubuh sasa itu berdiri di sebelahnya yang kurus melidi ini. Nampak jauh benar bezanya antara mereka. Gerun pula dia bila berdiri di sebelah lelaki yang tubuhnya ala-ala Slyvester Stalone ini.
Isma lihat lelaki itu membuka dompetnya dan mengeluarkan dua keping not warna merah lalu diserahkan kepada kakak yang sedang sibuk mengisar ais tadi. “Kira sekali ya, kakak?” beritahunya lalu menunjukkan ke arah Isma. Naik segan Isma dibuatnya dengan kebaikan lelaki itu. Bukan kenal sangat pun.
“Eh, tada apa. Saya sendiri bayar.” Pintas Isma. Haaa… kan? Orang Melayu memang bijak dalam mempelbagaikan dialek atau atur bahasa. Sembang dengan India, mereka cakap dialek India. Sembang dengan Bangla, mereka jadi Bangla pulak. Kiranya mereka memang pandai sesuaikan diri di mana-mana sahaja. Bak kata, masuk kandang kambing mengembek. Masuk kandang lembu, menguak. Masuk kandang harimau, tinggal tulang. Hahahaha…
“Tak apa… saya bayar.” Farid tetap berkeras.
Isma tidak mampu untuk menolak. Dia terima sahajalah, “terima kasih abang, errr… anney, eh, baiya.” Melihat pada penampilan lelaki itu, mungkin dia sudah lama tinggal di Malaysia. Pakaiannya pun sudah up to date. Tak macam lelaki Bangla yang dia tengok tadi. Siap dengan kasut berkilat mereka yang sudah boleh buat cermin.
Melihat Isma tergagap-gagap mengucapkan terima kasih, siap atur senarai ganti nama dari pelbagai bahasa lagi, Farid rasa nak tergelak. Dia kulum senyum dan terus berlalu sambil menggeleng. Nasiblah badan, kulit aku gelap. Makan hati, aku dengan budak perempuan ni. Entah dia ingat aku pun sama spesis dengan mamat Bangla tadi.











Friday 24 October 2014

MUNAH JAMBU (1)



BAB 1



MON melangkah lemah gemalai dengan penuh yakin ketika menunggu lampu isyarat bertukar hijau untuk menuju ke restoren KFC. Sudah beberapa hari dia kempunankan makanan segera itu. Sampai kecur air liur apabila melihat iklan yang dipaparkan di kaca televisyen pada setiap hari. Hari ini walaupun kesibukan terus-terusan menghambat, tetapi keinginan itu mesti laksanakan. Dia mahu menikmati dengan sepuas-puasnya makanan yang begitu harum aromanya dengan perapan rempah ratus yang kepelbagaian apabila angin membawa baunya hingga merasuk masuk ke lubang hidung ketika digoreng.
Hati Mon jadi tidak sabar untuk mengadap ayam goreng berempah itu. Berpusu-pusu dia meneguk air liur masuk ke kerongkong. Tahap keterujaannya untuk mendapatkan ayam goreng berempah hingga meracau tidur malam.
Lampu hijau sudah menyala. Di lintasan bergaris kuning, Mon mula melangkah dengan penuh hati-hati. Mana tahu, kalau-kalau ada kenderaan yang tidak sempat menekan brek, tentu melambung dia di tengah-tengah jalan. Kalut jugak tu. Sudahlah tubuhnya agak gempal. Bukan gemuk sangatlah, tapi cuma berisi sikit sahaja. Memang sedap untuk dipeluk. Aa… ah… tak mau fikir konar-konar ya? Sedap dipeluk oleh emak dan kawan-kawan tau? Bukan dipeluk oleh sebarangan orang. Mahu disedekahkan buah siku kalau ada mana-mana spesis berlainan jenis berani-berani peluk kita ikut suka hati.
Mon sampai di seberang jalan dengan penuh rasa bangga kerana dia sudah melepasi tahap gentarnya buat pertama kali. Macam mana tidak gentar? Inilah kali pertama dia keluar secara berseorangan. Dalam bahasa terkini, dia keluar secara solo. Selalunya dia keluar dengan rakan-rakan serumah. Oleh kerana mereka pakat-pakat sibuk dan waktu luang masing-masing hanya pada hujung minggu, jadi terpaksalah dia berdikari. Memang tidak boleh tunggu lagi keinginannya. Lagi ditunggu, dia takut terencat urat saraf pula nanti kerana terpaksa meneguk air liur berkali-kali.
Mon menolak pintu restoran. Bau ayam goreng menggembur menyapa hidung. Baru dia melangkah masuk, seseorang menerjah dari arah belakang dan menyusup di sebelahnya. Terkejut beruk Mon dibuatnya. Mujur lelaki, dan mujur juga tidak merempuhnya. Kalau tidak, tentu dia tertungging. Dengan lagak kasut bertumit tinggi lagi, tentulah dia terpaksa mengawal pergerakan agar tidak tumbang. Fuh! Nasib baik.
Mon beratur di barisan ketiga yang mana tidak berapa panjang barisannya. Pemuda yang menciloknya sebentar tadi beratur di sebelah. Jauh sikit ke belakang. Dia sempat beralih melihat pemuda berpakaian rugged yang sedang sibuk dengan gadget di tangan. Nampak macam handsome. Tengok sekilas-sekilas begitu sajalah… sebab mukanya dilindungi cap. Gaya seperti hero Korea.
Mon masih tidak puas hati, dia beralih ke belakang sekali lagi. Sekali, pemuda itu panggungkan kepala. Fullamak! Handsome siut weh! Adik sikit dari Lee Min Ho je. Terbuntang biji mata Mon melihat pemuda itu. Hatinya memang mudah cair kalau tengok mamat handsome macam itu. Nak nak pula yang ala-ala Korean. Sudah tentu melekat biji matanya ke sana.
Jauh sangatlah pulak kedudukan mereka. Nak tengok pun payah. Mon beralih ke belakang. Ada dua tiga orang lagi yang beratur di belakangnya,
“Er… anak kecil ye, kak? Kesiannya… takpe, pergi dulu.” Pandai Mon cari alasan. Wanita berketurunan Cina itu sengih panjang. Siap berterima kasih lagi.
Mon berpaling sekali lagi. Oh, Masih jauh lagi. Di belakangnya ada seorang pak cik,
“Pergi dulu, pak cik. Biar saya beratur kat belakang.” Berbudi bahasa sungguh Mon pada hari itu. Entah dari mana datangnya mood gatal tidak tahulah. Pelik-pelik betul! Tersenyum lebar pak cik tersebut sambil mengucapkan terima kasih.
Wah, lega… dia sudah berdiri seiring dengan pemuda kacak di sebelahnya. Bolehlah dia kerling puas-puas. Fikir hati gedik Mon. Tup-tup seorang adik menyelit di depannya. Menyinga terus Mon dibuatnya. Sampai berasap-asap kepala.
“Ni, apasal potong barisan ni? Tak tahu peraturan?” geram juga hati perut Mon. Suka-suka hati saja budak lelaki yang dijangka masih sekolah itu memotong barisan di hadapannya, membuatkan dia terus ke belakang, agak jauh dari pemuda kacak itu.
“Sorry la kak, nak cepat ni. Ayah tunggu kat luar.” Amboi, banyak cantik! Asal bagi alasan ayah tunggu je, boleh ikut suka memotong. Macam ni mana boleh jadi. Dia sudah terlepas peluang untuk pandang pemuda kacak tadi. Macam mana hati tidak geram?
Di hadapannya masih ada lima orang lagi yang sedang beratur. Mana kala pemuda itu sudah nun di hadapan. Cepat sangat geraknya. Mahu saja dia lari ke arah sana pula. Tapi risau kalau-kalau yang dicekup tak dapat, yang dikendong berciciran. Lalu dia tega menunggu di situ hingga barisan itu bergerak.
Pemuda itu sudah mengangkat hidangannya. Berselisih dengan Mon. terbeliak Mon memandang seperti tidak pernah tengok orang. Itu sebab tahap teruja punya fasal, kerana nampak lelaki handsome. Ish, buruk betul perangai!
Akhirnya sampailah giliran Mon setelah penat berbaris. Hidangan dinner plate jadi pilihan. Sampai sahaja hidangan yang dipesan, buru-buru Mon panjat ke tingkat atas, ke arah pemuda itu pergi untuk korbankan hidangannya.
Sampai di tingkat atas, mata Mon melilau memandang ke sekeliling. Beberapa kelompok pengunjung restoran sedang enak menjamah hidangan makanan. Tidak nampak pun kelibat pemuda tersebut. Mon melangkah lagi, menghala ke arah cermin di hujung  laluan tersebut. Pandangannya melilau lagi.
Hah, dah nampak! Dia duduk di tempat yang agak tersorok rupanya. Cepat-cepat Mon ambil tempat bertentangan dengan pemuda kacak itu. Sesekali, nampak gelagat Mon macam perempuan gedik. Tetapi nak buat macam mana? Memang tahap terujanya melonjak-lonjak. Hatinya tertarik terus untuk memandang ke arah pemuda itu lama-lama. Dia suka lelaki berwajah Korea. Tahap keterujaan yang melampau!
Maka bermulalah aktivitinya. Sambil mencubit ayam goreng masuk ke dalam mulut, sambil Mon mengerling ke hadapan secara sembunyi-sembunyi ke arah pemuda itu. Ralit sungguh mamat kacak itu dengan gadgetnya. Sesekali, nampak dia tergelak. Wah… comel sungguh nampak muka dia gelak. Nampak tersusun sebaris giginya yang putih dan sepet terus kelopak mata dia. Mon semakin seronok melihat pemuda berkulit cerah yang memasang cap di kepala di hadapannya. Hidung yang bagai diseterika itu telah menanamkan lagi pandangan Mon ke arah sana. Sambil memandang, sambil mulut mengunyah. Sedar-sedar, sudah seketul ayam goreng selamat ke dalam perut.
Tengah syok-syok memandang, tiba-tiba jejaka kacak yang buatkan Mon naik gila itu buka ‘cap’nya. Apabila terserlah kepala jejaka itu, dalam waktu itu juga hilang terus selera Mon. Oh, berkepala botak! Rasa macam nak pitam Mon dibuatnya. Dia tidak suka lelaki berkepala botak!
Patah terus keterujaan Mon untuk terus merenung. Dari teruja sakan, berubah jadi terkilan. Apa punya oranglah, muka kacak, kepala pulak botak. Tak sesuai betul! Muka Mon sudah memuncung. Menyampah pulak tengok kepala botak itu di depan matanya. Berkilau sampai menyakitkan biji mata.
Sambil mengunyah, sambil dijeling jugak. Kali ini bukan dengan rasa teruja, tetapi dengan rasa menyumpah-nyumpah. Tetapi dibiarkan untuk sementara sebelum dia menghabiskan ayam goreng yang berada dalam pinggannya.
Mon cedok kentang putar pula. Disapukan ke roti. Cedok coslow, letak bersama kentang putar ke atas roti. Kemudian dia mula menghadap sebuku roti itu. Sambil mengunyah, sambil dia memandang keluar. Pandangannya di hadapan sudah dicemari kelicinan dan keberkilauan kepala jejaka itu. Lalu dikalihkan perhatian ke sisi, arah kesibukan jalan raya yang tidak jauh dari restoran tempatnya berada.
Dalam sedap-sedap menenangkan hati sendiri, dia terdengar jejaka itu sendawa kuat. Pantas dia beralih ke arah sana. Pandangannya dicemari buat kali kedua. Sampai terjojol biji matanya terkeluar.
Garu-garu ketiak cium. Pengotornya! Apa jenis manusia macam ni? Nak muntah aku tengok. Muka kacak, tapi perangai pelik! Tekak Mon sudah kembang. Ayam seketul yang masih berbaki sudah tidak lagi mendatangkan selera. Roti di dalam mulut pun rasa seperti hendak terjeluak muntah.
 Hati Mon sudah berbara. Kecik saja dia tengok mamat dekat depan ni. Ikutkan hati, mahu juga dia bagi pengajaran. Tetapi dia simpan kesabaran. Lalu terus dia bangun dan beredar tanpa beralih ke belakang.
Hari yang amat malang. Jumpa pemuda yang dikatakan kacak, tetapi botak pulak. Tidak cukup dengan itu, perangai pula macam orang tidak ada otak. Di tempat terbuka boleh dia garu ketiak. Setakat garu saja tak apalah, ini siap letak jari bekas garu itu ke hidung dan sedut-sedut. Perkara itu berlegar-legar dalam kepala. Memutar, meracau hingga membakar seluruh aliran darah dan membuak-buak dalam dada dengan rasa marah.
Memang benarlah, wajah kacak bukanlah menentukan kesempurnaan seseorang. Kesempurnaan adalah apa yang terpancar dari hati. Wajah yang kacak, yang cantik, adalah hiasan. Apabila hiasan itu tidak pandai digunakan, maka buruklah pada pandangan.