Powered By Blogger

Friday 24 October 2014

MUNAH JAMBU (1)



BAB 1



MON melangkah lemah gemalai dengan penuh yakin ketika menunggu lampu isyarat bertukar hijau untuk menuju ke restoren KFC. Sudah beberapa hari dia kempunankan makanan segera itu. Sampai kecur air liur apabila melihat iklan yang dipaparkan di kaca televisyen pada setiap hari. Hari ini walaupun kesibukan terus-terusan menghambat, tetapi keinginan itu mesti laksanakan. Dia mahu menikmati dengan sepuas-puasnya makanan yang begitu harum aromanya dengan perapan rempah ratus yang kepelbagaian apabila angin membawa baunya hingga merasuk masuk ke lubang hidung ketika digoreng.
Hati Mon jadi tidak sabar untuk mengadap ayam goreng berempah itu. Berpusu-pusu dia meneguk air liur masuk ke kerongkong. Tahap keterujaannya untuk mendapatkan ayam goreng berempah hingga meracau tidur malam.
Lampu hijau sudah menyala. Di lintasan bergaris kuning, Mon mula melangkah dengan penuh hati-hati. Mana tahu, kalau-kalau ada kenderaan yang tidak sempat menekan brek, tentu melambung dia di tengah-tengah jalan. Kalut jugak tu. Sudahlah tubuhnya agak gempal. Bukan gemuk sangatlah, tapi cuma berisi sikit sahaja. Memang sedap untuk dipeluk. Aa… ah… tak mau fikir konar-konar ya? Sedap dipeluk oleh emak dan kawan-kawan tau? Bukan dipeluk oleh sebarangan orang. Mahu disedekahkan buah siku kalau ada mana-mana spesis berlainan jenis berani-berani peluk kita ikut suka hati.
Mon sampai di seberang jalan dengan penuh rasa bangga kerana dia sudah melepasi tahap gentarnya buat pertama kali. Macam mana tidak gentar? Inilah kali pertama dia keluar secara berseorangan. Dalam bahasa terkini, dia keluar secara solo. Selalunya dia keluar dengan rakan-rakan serumah. Oleh kerana mereka pakat-pakat sibuk dan waktu luang masing-masing hanya pada hujung minggu, jadi terpaksalah dia berdikari. Memang tidak boleh tunggu lagi keinginannya. Lagi ditunggu, dia takut terencat urat saraf pula nanti kerana terpaksa meneguk air liur berkali-kali.
Mon menolak pintu restoran. Bau ayam goreng menggembur menyapa hidung. Baru dia melangkah masuk, seseorang menerjah dari arah belakang dan menyusup di sebelahnya. Terkejut beruk Mon dibuatnya. Mujur lelaki, dan mujur juga tidak merempuhnya. Kalau tidak, tentu dia tertungging. Dengan lagak kasut bertumit tinggi lagi, tentulah dia terpaksa mengawal pergerakan agar tidak tumbang. Fuh! Nasib baik.
Mon beratur di barisan ketiga yang mana tidak berapa panjang barisannya. Pemuda yang menciloknya sebentar tadi beratur di sebelah. Jauh sikit ke belakang. Dia sempat beralih melihat pemuda berpakaian rugged yang sedang sibuk dengan gadget di tangan. Nampak macam handsome. Tengok sekilas-sekilas begitu sajalah… sebab mukanya dilindungi cap. Gaya seperti hero Korea.
Mon masih tidak puas hati, dia beralih ke belakang sekali lagi. Sekali, pemuda itu panggungkan kepala. Fullamak! Handsome siut weh! Adik sikit dari Lee Min Ho je. Terbuntang biji mata Mon melihat pemuda itu. Hatinya memang mudah cair kalau tengok mamat handsome macam itu. Nak nak pula yang ala-ala Korean. Sudah tentu melekat biji matanya ke sana.
Jauh sangatlah pulak kedudukan mereka. Nak tengok pun payah. Mon beralih ke belakang. Ada dua tiga orang lagi yang beratur di belakangnya,
“Er… anak kecil ye, kak? Kesiannya… takpe, pergi dulu.” Pandai Mon cari alasan. Wanita berketurunan Cina itu sengih panjang. Siap berterima kasih lagi.
Mon berpaling sekali lagi. Oh, Masih jauh lagi. Di belakangnya ada seorang pak cik,
“Pergi dulu, pak cik. Biar saya beratur kat belakang.” Berbudi bahasa sungguh Mon pada hari itu. Entah dari mana datangnya mood gatal tidak tahulah. Pelik-pelik betul! Tersenyum lebar pak cik tersebut sambil mengucapkan terima kasih.
Wah, lega… dia sudah berdiri seiring dengan pemuda kacak di sebelahnya. Bolehlah dia kerling puas-puas. Fikir hati gedik Mon. Tup-tup seorang adik menyelit di depannya. Menyinga terus Mon dibuatnya. Sampai berasap-asap kepala.
“Ni, apasal potong barisan ni? Tak tahu peraturan?” geram juga hati perut Mon. Suka-suka hati saja budak lelaki yang dijangka masih sekolah itu memotong barisan di hadapannya, membuatkan dia terus ke belakang, agak jauh dari pemuda kacak itu.
“Sorry la kak, nak cepat ni. Ayah tunggu kat luar.” Amboi, banyak cantik! Asal bagi alasan ayah tunggu je, boleh ikut suka memotong. Macam ni mana boleh jadi. Dia sudah terlepas peluang untuk pandang pemuda kacak tadi. Macam mana hati tidak geram?
Di hadapannya masih ada lima orang lagi yang sedang beratur. Mana kala pemuda itu sudah nun di hadapan. Cepat sangat geraknya. Mahu saja dia lari ke arah sana pula. Tapi risau kalau-kalau yang dicekup tak dapat, yang dikendong berciciran. Lalu dia tega menunggu di situ hingga barisan itu bergerak.
Pemuda itu sudah mengangkat hidangannya. Berselisih dengan Mon. terbeliak Mon memandang seperti tidak pernah tengok orang. Itu sebab tahap teruja punya fasal, kerana nampak lelaki handsome. Ish, buruk betul perangai!
Akhirnya sampailah giliran Mon setelah penat berbaris. Hidangan dinner plate jadi pilihan. Sampai sahaja hidangan yang dipesan, buru-buru Mon panjat ke tingkat atas, ke arah pemuda itu pergi untuk korbankan hidangannya.
Sampai di tingkat atas, mata Mon melilau memandang ke sekeliling. Beberapa kelompok pengunjung restoran sedang enak menjamah hidangan makanan. Tidak nampak pun kelibat pemuda tersebut. Mon melangkah lagi, menghala ke arah cermin di hujung  laluan tersebut. Pandangannya melilau lagi.
Hah, dah nampak! Dia duduk di tempat yang agak tersorok rupanya. Cepat-cepat Mon ambil tempat bertentangan dengan pemuda kacak itu. Sesekali, nampak gelagat Mon macam perempuan gedik. Tetapi nak buat macam mana? Memang tahap terujanya melonjak-lonjak. Hatinya tertarik terus untuk memandang ke arah pemuda itu lama-lama. Dia suka lelaki berwajah Korea. Tahap keterujaan yang melampau!
Maka bermulalah aktivitinya. Sambil mencubit ayam goreng masuk ke dalam mulut, sambil Mon mengerling ke hadapan secara sembunyi-sembunyi ke arah pemuda itu. Ralit sungguh mamat kacak itu dengan gadgetnya. Sesekali, nampak dia tergelak. Wah… comel sungguh nampak muka dia gelak. Nampak tersusun sebaris giginya yang putih dan sepet terus kelopak mata dia. Mon semakin seronok melihat pemuda berkulit cerah yang memasang cap di kepala di hadapannya. Hidung yang bagai diseterika itu telah menanamkan lagi pandangan Mon ke arah sana. Sambil memandang, sambil mulut mengunyah. Sedar-sedar, sudah seketul ayam goreng selamat ke dalam perut.
Tengah syok-syok memandang, tiba-tiba jejaka kacak yang buatkan Mon naik gila itu buka ‘cap’nya. Apabila terserlah kepala jejaka itu, dalam waktu itu juga hilang terus selera Mon. Oh, berkepala botak! Rasa macam nak pitam Mon dibuatnya. Dia tidak suka lelaki berkepala botak!
Patah terus keterujaan Mon untuk terus merenung. Dari teruja sakan, berubah jadi terkilan. Apa punya oranglah, muka kacak, kepala pulak botak. Tak sesuai betul! Muka Mon sudah memuncung. Menyampah pulak tengok kepala botak itu di depan matanya. Berkilau sampai menyakitkan biji mata.
Sambil mengunyah, sambil dijeling jugak. Kali ini bukan dengan rasa teruja, tetapi dengan rasa menyumpah-nyumpah. Tetapi dibiarkan untuk sementara sebelum dia menghabiskan ayam goreng yang berada dalam pinggannya.
Mon cedok kentang putar pula. Disapukan ke roti. Cedok coslow, letak bersama kentang putar ke atas roti. Kemudian dia mula menghadap sebuku roti itu. Sambil mengunyah, sambil dia memandang keluar. Pandangannya di hadapan sudah dicemari kelicinan dan keberkilauan kepala jejaka itu. Lalu dikalihkan perhatian ke sisi, arah kesibukan jalan raya yang tidak jauh dari restoran tempatnya berada.
Dalam sedap-sedap menenangkan hati sendiri, dia terdengar jejaka itu sendawa kuat. Pantas dia beralih ke arah sana. Pandangannya dicemari buat kali kedua. Sampai terjojol biji matanya terkeluar.
Garu-garu ketiak cium. Pengotornya! Apa jenis manusia macam ni? Nak muntah aku tengok. Muka kacak, tapi perangai pelik! Tekak Mon sudah kembang. Ayam seketul yang masih berbaki sudah tidak lagi mendatangkan selera. Roti di dalam mulut pun rasa seperti hendak terjeluak muntah.
 Hati Mon sudah berbara. Kecik saja dia tengok mamat dekat depan ni. Ikutkan hati, mahu juga dia bagi pengajaran. Tetapi dia simpan kesabaran. Lalu terus dia bangun dan beredar tanpa beralih ke belakang.
Hari yang amat malang. Jumpa pemuda yang dikatakan kacak, tetapi botak pulak. Tidak cukup dengan itu, perangai pula macam orang tidak ada otak. Di tempat terbuka boleh dia garu ketiak. Setakat garu saja tak apalah, ini siap letak jari bekas garu itu ke hidung dan sedut-sedut. Perkara itu berlegar-legar dalam kepala. Memutar, meracau hingga membakar seluruh aliran darah dan membuak-buak dalam dada dengan rasa marah.
Memang benarlah, wajah kacak bukanlah menentukan kesempurnaan seseorang. Kesempurnaan adalah apa yang terpancar dari hati. Wajah yang kacak, yang cantik, adalah hiasan. Apabila hiasan itu tidak pandai digunakan, maka buruklah pada pandangan.

No comments:

Post a Comment