Powered By Blogger

Friday 24 October 2014

MUNAH JAMBU

MUNAH  JAMBU



BAB 14



Rimas lubang telinga mendengar emak leterkan Cik Gebu, kucing kesayangan emak pagi-pagi begini Mon lalu menghala langkah keluar. Emak memang begitu, dengan kucing pun dibawa bertekak.
Rasa hati mahu ke sungai. Sudah lama dia tidak jengah ke sana. Airnya masih mengalir dengan tenangkah? Masih segar dan bersihkah? Sudah adakah pengunjung yang mengunjungi sungai berdekatan kebun getah itu? Ataupun masih seperti dulu, sunyi sepi dan hanya dikunjungi oleh warga kerja penoreh yang menoreh di kawasan itu. ‘Alamak… apasal rasa semacam sangat perasaan hari ini? Sentimental semacam je. Padahal baru dua bulan tinggalkan kampung. Ah, ke sungailah. Tenang-tenangkan hati dan rehat-rehatkan minda. Macam penulislah pulak aku ni. Nak tenangkan minda bagai.’
“Nak ke mana tu Mon?” kedengaran kuat suara emak melaung dari arah pintu dapur yang terbuka luas.
“Nak ke sungai kejap la mak. Boring duduk rumah saja-saja.” Sambil menyaruk kasut, sambil Mon menjawab pertanyaan emaknya.
“Eh, nanti nanti nanti. Pergi tukar baju tu dulu. Jangan nak berseluar track lagi dah. Tak manis orang tengok.” Tegur Aminah sambil pandang Mon atas bawah atas bawah.
“La… tak manis apa benda pulak mak? Monkan pakai baju lengan panjang ni. Tutup aurat pulak lagi.” Mon malas mahu berbaju kurung bagai. Nak ke sungai saja pun… bukan jauh sangat dari rumah.
“Dengar mak cakap ni… Mon tu dah bertunang, kena jaga kelaku, jaga diri, jaga pakaian. Supaya tak jadi bahan umpat orang.” Aminah yang seang bercekak pinggang di muka pintu, mula menasihatkan.
“Alah mak ni…”
“Nak tukar ke tak ni? Tak tukar pakaian tu karang, mak tak benarkan Mon ke sungai. Duduk je dalam rumah diam-diam.” Aminah menggunakan kuasa vetonya.
“Yalah, yalah mak ni…” Mon naik ke rumah semula. Masuk ke bilik, dia menggeledah almari untuk mencari baju kurung yang sesuai untuk dipakai. Ada sehelai baju kurung bunga halus-halus berwarna pink bertanah hitam. Dia berkenankan kurung yang itu untuk disarungkan ke tubuh.
 Maka dengan berbaju kurunglah Mon melaram pada pagi itu ketika menuju ke sungai yang mana lokasinya hanya sekangkang kera dari rumah mereka. Emak memang melampau. Berlebih-lebih pulak menjaga pakaian Mon. Bukan Mon tidak biasa dengan berseluar track dan berbaju-t lengan panjang berjalan-jalan ke serata kampung. Memang sejak dari dulu pun. Tetapi sejak bertunang, macam-macam pulak aturan emak untuk Mon.
Sampai sahaja di tepi sungai, Mon duduk di bangku buluh yang sudah sedia ada di sana sambil melihat kejernihan air sungai yang mengalir. Syukurlah masih belum tercemar air sungainya, tidak seperti di tempat lain. Tenang dan damai sahaja rasa hati melihat ketenangan air sungai. Kedinginan di kawasan persekitaran mendamaikan lagi perasaan Mon lalu menimbulkan suatu rasa yang tidak dapat diucapkan dengan kata-kata.
Dia berasa gembira, dalam waktu yang sama gembira itu tersulam bahagia. Bahagia itu pula kemudiannya telah membunga di dalam dada dan terpancar auranya di ruang wajah. Itulah gambaran yang Mon rasai sekarang ini.
‘Ah, dah pakai baju kurung ni, duduk pula tepi sungai, rasa gembira lain macam pulak. Rasa macam cantik sepasal, sebab julung-julng kali pakai baju kurung macam ini.’ Rasa gembira itu bagai mahu melantun-lantun keluar dan menunjuk-nunjuk pula dengan ghairahnya. Lalu tanpa sedarnya, Mon bangun dari bangku buluh yang diduduki sambil mendepangkan tangan merasai hembusan angin yang memupur ke wajah. Sambil-sambil itu dia memandang ke persekitaran, ke arah daun-daun yang ditiup angin dengan lemah gemalainya menari-nari di atas ranting. Dalam tidak sedarnya, kedua-dua belah tangan Mon terayun-ayun ke depan dan belakang dengan lemah gemalai bak penari profesional. Maka terlahirlah sebuah lagu dari ulas bibirnya yang ranum itu,

Tanya sama pokok, apa sebab goyang
Nanti jawab pokok, angin yang goncang.
Tanya sama angin, apa sebab goyang
Nanti jawab angin, tanyalah awan…

Lemak merdu dirasa suaranya itu. Dia kagum dengan diri sendiri yang langsung tidak pernah menerima latihan dari mana-mana kemahiran khas. Lalu bagai dirasuk-rasuk, Mon terus menyanyikan lagu itu sambil kontrol suaranya agar kedengaran lebih lemak merdu. Lagu itu diulang nyanyi hingga berkali-kali kerana kekagumannya terhadap diri sendiri. Tangannya seakan tidak boleh berhenti dari menggawang ke hadapan dan ke belakang bagi mengiringi nyanyiannya yang semerdu buluh perindu.
“Awak ni sengal ke apa? Tengah-tengah hutan menyanyi sorang-sorang. Siap menari-nari lagi.” Terkejut bukan kepalang Mon dibuatnya apabila ditegur secara tiba-tiba oleh suara lelaki. Rasa seperti mahu tergolek jantungnya jatuh ke tanah. Pantas dia kalih ke belakang, mahu lihat siapakah empunya suara yang kurang asam sangat mengata dia sengal.
Alamak! Kacaknya mamat ni. Tapi mulut dia alahai… berbisa sangat. Nasib baik kau kacak. Tapi kacak-kacak pun mana boleh sesuka hati saja kata orang sengal.
“Eh, takde… saja-saja duduk sini ambil angin.” Mon tersengih-sengih melebihi tahap perempuan gatal sampai lupa diri sudah mempunyai ikatan.
Pemuda itu meletakkan tong berisi susu cair ke tanah. Tuala yang melilit tengkuknya diambil lalu dilap ke seluruh muka.
“Awak ni nampak macam pelik. Menari tengah-tengah hutan macam ni sorang-sorang diri. Bahaya tau, duduk di kawasan macam ni sorang-sorang.” Ilham Najmi menegur Lagi. Kali ini dengan nasihat ala-ala sinis bersama wajah yang serius tanpa sebaris senyum.
“Tapi saya dah biasa kat kawasan ni, bang. Kampung saya, ni. Sebab tu saya tak risau.” Jawab Mon bernada polos.
 Ilham Najmi tidak memandang tepat ke muka Mon. Dia melarikan pandangan ke lain. Tetapi masih ada jawapan susulan buat gadis bertubuh gempal di hadapannya,
“itulah pemikiran orang kita ni… semua nak ambil mudah. Asal kampung sendiri je, dah rasa selamat. Tak pernah tengok berita? Tak nampak mangsa-mangsa bunuh yang terpampang dalam berita? Kebanyakannya dibunuh oleh orang terdekat, orang yang dikenali. Orang yang kita percayai. Mana tahu di kampung sendiri pun maut sentiasa menanti. Eh dik, orang sekeliling kita pun tak boleh percaya tau, sekarang ni.” Hujah Ilham juga tidak kurang. Geram sangat dengan budak perempuan ini. Kita menasihat, ada saja jawapan balas dari mulut dia. Kalau jadi macam-macam nanti, siapa yang susah? Bukankah orang tua jugak?
“Ye tak ye jugak ek? Tak terfikirlah pulak pasal tu.” Mon terangguk-angguk setuju dengan pendapat lelaki itu. Kemudian dia tenung kembali lelaki tersebut dan menegur,
 “tapi abang ni… tak pernah nampak pun kat kawasan ni sebelum ni. Abang datang curi sekerap ek?” Mon tengok atas bawah atas bawah ke arah lelaki itu. Pantas Ilham kalih dan pandang Mon yang sedang memandangnya dengan penuh rasa curiga.
“Hish! menuduh orang macam tu kenapa? Tak baik tau curiga pada orang.” Bidas Ilham pantas.
“Yelah, abang cakap jangan percaya sesiapa pun di sekeliling kita. Abang ni pun bukannya Mon pernah tengok sebelum ni. Entah-entah abang pun penjenayah jugak, mana tahu?”
“Abang cucu Mak Su Jarah la… bukan orang luar. Hish! memandai je tuduh orang bukan-bukan.” Pantas Ilham angkat baldi, sebaikan kembali tuala di bahu dan terus berlalu untuk turun bukit menuju ke motosikalnya.
Demi terdengar nama itu, tersedak-sedak Mon dibuatnya. ‘Alamak! Tunang aku rupanya. Kenapa aku boleh tak tahu ye? Eh, dia pun takkan tak kenal aku? oi, ini tunang kaulah! Biar betul mamat ni. Pergi macam tu je ke? Gerenti tak kenallah ni…’ 
Mon baru memulakan langkah untuk mengejar tunangnya yang sudah mengangkat baldi berisi susu getah untuk beredar pergi. Tetapi dalam tidak semena-mena kaki Mon tersadung akar pokok dan dia terus tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai.
 “Kedebummm!” terkejut sakan Ilham dibuatnya apabila terdengar bunyi berdebur yang begitu kuat. Terus dia celapak datang ke tebing untuk menyelamatkan Mon. Baru sahaja dia berura-ura hendak membuka baju, Mon terus menjerkah,
“Hah, tu nak buat apa tu?”
“Nak selamatkan awak la. Nak buat apa lagi?” Balas Ilham.
Mon dalam keadaan tubuhnya yang sudah terendam air, jangan harap dia mahu bangun dan naik ke darat. Dia malu apabila pakaiannya yang nampak jarang apabila terkena air, akan menampakkan susuk tubuh dengan jelas. Lalu dia merendamkan tubuhnya ke dalam sungai hingga separas leher.
“Abang ni biar betul cucu Tok Su Jarah?” Mon inginkan kepastian sekali lagi.
“Yelah, awak ingat saya ni muka penipu ke?” hati Mon sudah kembang kembali. Dia tidak tahu macam mana hendak menyorokkan muka. Terus diselam kepala masuk ke sungai dan menggedik seronok. Malu pun ada apabila beradab muka dengan tunangnya yang kacak itu. Macam mimpi saja bagi Mon.
Ilham menggeleng melihatkan perangai perempuan itu. ‘Kenapa pulak aku layan dia lebih-lebih ni? Tak pasal-pasal aku pulak lebih sengal dari dia.’
“Awak ni tak apa-apa ke?” Ilham melaung dari atas tebing. Mon jengahkan kepala sedikit dari paras air. Kemudian dia selam kembali. Melihat keadaan selintas lalu gadis itu tidak ada apa-apa kecederaan, Ilham pun beralih untuk pulang. Menggeleng dia melihat perangai gadis tersebut.
Berlalunya pemuda itu dari situ, Mon pun naik ke tebing dan dia terus pulang dalam keadaannya yang basah lencun. Melebar sahaja sengihnya di sepanjang perjalanannya. Betullah kata ayah, bakal suaminya kacak. Tapi kata-kata mak yang tak betulnya. Adakah patut mak kata bakal suaminya kacak macam ayah dulu-dulu. Tak patut… tak patut… bakal suaminya lebih kacaklah dari ayah. Rambut saja pun dah macam artis Korea. Cecah paras bahu, gitu. Muka pun ala-ala sebelah sana jugak. Dengan mata sepetnya. Senyuman yang sekilas diberi walau bukan dengan seikhlas hati. Dengan kulit yang boleh tahan jugak tona cerahnya. Memang nampak kacak sangat pada penglihatan Mon.






1 comment: