Powered By Blogger

Friday 24 October 2014

RAJUK



BAB 1



“WOI! Ke tepilah sikit orang nak lalu. Duduk tengah-tengah jalan buat apa? Nak jadi jaga pintu?” Herdik Sham pada pagi itu, ketika Adha sedang menyaruk kasut untuk ke sekolah. Geramnya hati apabila dimarahi tanpa bersebab begitu. Tetapi hati Adha tidaklah sampai hendak membalas balik herdikan dari Abang Sham.
 Dia tahu, Abang Sham bukanlah seorang anak yang liar dan bebas. Kelakunya terbatas. Teman-teman pun terdiri dari kalangan yang dikenali. Tetapi, setelah Abang Sham mula bekerja, semuanya sudah berubah. Tidak tahulah dengan siapa dia bercampur gaul, hingga membawa pulang sesuatu yang membuatkan hati emak terjerut luka. Membuatkan air muka mereka sekeluarga rebah ke tanah.
Ralatnya rasa apabila salah seorang dari ahli keluarga terjebak dengan dadah. Malunya terhadap jiran tetangga tidak terkira banyaknya. Bapa adalah orang yang dikenali, anak pula menjadi penagih. Air mata emak tidak pernah kering mengenangkan sikap anak-anak yang tidak pernah berubah.
Tua emak sebelum waktunya. Abah dengan kelakunya yang selalu ambil mudah. Langsung abah tidak ambil pusing apa yang berlaku di dalam rumah. Kalau pincang perangai anak-anak, emaklah yang dipersalah.
 Sudah berbulan abang balik ke sini. Kepulangan abang bukanlah sesuatu yang mengembirakan hati kami, tetapi telah menyerabutkan lagi apa yang sedang dialami. Sudahlah keadaan mereka kais pagi makan pagi. Kemudian ditapuk pula dengan permasalahan yang tidak henti-henti. Bagaimana hati emak mampu bertahan lagi?
Pagi, petang, siang dan malam kerja abang hanya merayau ke sana sini. Sejak dibuang kerja, perangainya semakin bermaharajalela. Malah tidak ada satu pun pekerjaannya yang membuatkan hati mereka sekeluarga rasa sempurna. Aduhai… peritnya rasa tidak terhingga. Pedihnya hati menggunung rasa. Berkecar sungguh setiap apa yang tersusun di rongga dada.
Khabar-khabar angin yang sampai ke telinga membawa berita yang tidak sedap diterima. Kononnya kecurian sering berlaku sejak abang pulang menetap di kampung. Emak menerima simbahan kata-kata sindiran dengan lelehan air mata. Diri ini pula menerima cacian dari kawan-kawan yang tidak tahu apa-apa. Entah di mana lagi mereka hendak meletakkan muka. Malunya usah dikira.
Perangai abang berubah begitu ketara. Malah kerap pula menengking emak dan mengangkat suara bagai hendak putus urat tekak. Semuanya gara-gara permintaannya tidak terlaksana. Keperluan apa lagi kalau bukan duit ringgit yang ditagih? Dia ingat emak kerjanya mengecop duit ringgit? Kesian emak, tiap-tiap hari kenyang dengan air mata dan juga sebak di dada. Nasihat yang emak beri bagai simbahan ke tanah.
“Apa nak jadi dengan kau, Sham? Emak tak pernah ajar kau buat perangai macam ini. Dari mana kau dapat benda-benda tak berguna ini? Kau nak malukan muka emakkah? Kau tahu apa orang kampung bercakap pasal kita? Kau tahu betapa malunya muka emak kerana perangai kau ini? Sejak balik dari bandar, langsung kau tak nak dengar cakap emak. Dari kecil mak didik kau jadi anak yang baik. Pelajaran agama tak kurang. Tapi alih-alih pulang kau dengan benda haram ini!”
 Marah emak sudah meletus pada petang itu. Apabila melihat Abang Sham sudah terketar-ketar menahan ketagih, semakin menggelodaklah kemarahannya. Tetapi marah emak tidak sampai membias hingga keluar rumah. Tahap kasihannya melebihi suara yang tidak setinggi mana. Kelebihan emak adalah dengan lelehan airmata. Sepatah emak bersuara, sealir air matanya luruh ke muka.
Adha yang ketika itu sedang terhendap-hendap dari celah pintu, sudah tidak dapat menahan sendu. Luluhnya hati melihat emak manangis hiba. Air mata yang mengalir di pipi tanpa sedar, dilap dengan telapak tangannya. Kalau boleh, air mata emak juga ingin disapu dengan tangan kecilnya biar tidak bersisa.
“Pergi! Jangan kacau aku! Tak payah bagi syarahan agama dekat sini!” Tengking Sham sambil memekup telinga. Dengan tangannya yang terketar-ketar, Sham kemudiannya menggenggam kedua-dua belah telinga dengan kejap. Kepalanya tersengguk sengguk, tubuh pula terus menggeletar.
Dari sebalik pintu sini, Adha lihat drama sebabak itu. Hati terus disentap-sentap. Sebak pula mengambil peluang melintas di rongga dada. Tertahan-tahan sendunya agar tidak berbunyi. Melihat keadaan emak yang terjelepuk terduduk di lantai kemudiannya, sambil menghadap Abang Sham dalam keadaan hilang kesedaran, siapa yang tidak berasa sebak?
Pedihnya hati Adha melihatkan perlakuan Abang Sham. Apabila benda haram itu sudah sebati menjadi darah daging, emak dan saudara mara pun dia sudah tidak kenal lagi. Tergamak Abang Sham memperlakukan emak hingga sebegitu sekali. Emak pula, hanya mampu menangis dan menangis mengenang akan perlakuan anaknya.
Abah langsung tidak mengambil endah. Selalu sangat tidak ada di rumah. Kalau ada pun hanya seperti patung bernyawa. Dilihat abang dalam keadaan begitu, dipadankan muka kerana tidak mahu mendengar kata. Mudahnya abah melepaskan tanggungjawab terhadap anak-anak. Kemudiannya, semua itu dihimpunkan kepada emak. Adakah begitu caranya? Sepatutnya didikan di rumah dikepalai oleh abah. Sudah cukuplah emak mengandung dan melahirkan mereka. Lain-lain tanggungjawab, biar abah pula yang kendalikannya.
“Sudah-sudahlah Sham. Berhentilah dari ambil benda tak berfaedah macam tu. Janganlah siksa hati emak sampai tak sudah. Emak tak sanggup lagi menahan malu terhadap jiran tetangga.” Emak cuma membiarkan air matanya luruh bertali arus. Ada tidak pun sesekali dilihat emak mengelap hingus cair yang menghalangnya bernafas dengan sempurna.
“Sudah! Sudah! Sudah! Mana duit aku! Aku mintak duit! Bukan minta nasihat!” Tengking Sham begitu bergema sekali, rasanya terbias hingga ke beberapa buah rumah di kawasan berdekatan kediaman mereka. Serentak itu, Sham bangun berdiri lalu terhoyong hayang melangkah menuju ke almari pakaian. Diselongkar almari itu sehingga habis berselerak apa sahaja yang berada di dalamnya.
Benarlah itu bilik Sham, tetapi pakaian dia dan suaminya juga ditumpangkan di dalam almari tersebut. Malah surat menyurat penting juga di simpan di dalam sana. Mana hendak disangka Sham pulang membawa bahana yang tidak disangka-sangka. Sebab itu tidak dipindahkan segala barangan di sana ke bilik emak dan abah.
Sudah berbulan mereka sekeluarga tidak keluar rumah. Semuanya gara-gara malu terhadap jiran tetangga yang terdengar amukan suara Sham yang begitu kuat menagih wang dari emak mereka.
 ‘Perangai mengalahkan manusia tidak bermaruah.’ Sumpah Adha dalam lipatan hatinya yang pedih merekah. Dari manalah emak hendak mengadakan semuanya, sedangkan emak pun tidak bekerja. Abah pula kerjanya berulang alik pergi ke masjid sahaja. Wang yang dibelanja saban bulan pun cuma wang ehsan dari kerajaan untuk abang yang dilahirkan sebagai anak kurang upaya.
Sedikit sedikit emak kumpulkan hasil dari jualan kerepek ubi kayu yang dihantar ke kedai runcit. Dengan wang yang tidak sebanyak mana itulah emak belanjakan untuk mengisi perut kami lima beradik, termasuk perut abah sekali.
Melihat akan kesukaran keluarga mereka, Iskandar iaitu anak sulung dalam keluarga mereka mengambil keputusan untuk bekerja sambil belajar untuk menampung keperluan mereka sekeluarga. Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, Iskandar mengambil keputusan untuk bekerja sebagai buruh kasar secara sepenuh masa. Iskandar seorang pelajar yang pintar. Namun begitu, dia hanya mampu memandang sepi akan cita-cita yang tidak sempat digapai.
Dari wang hasil titik peluh Iskandarlah mereka mampu menyelesakan diri. Tetapi apabila Sham pulang membawa bahana, kesukaran yang sejemput itu pun jadi bertambah. Wang Iskandar kerap hilang, belanja makan mereka sekeluarga selalu tidak cukup.
“Dengarlah cakap emak, Sham. Sampai bila kau nak jadi macam ini? Nak siksa hidup kau, siksa perasaan emak.” Salmah tidak putus-putus memujuk dan merayu agar Sham berubah.
“Diam!” Tengkingan itu maha menggegar ruangan rumah. Maka semakin kuatlah raungan Salmah selepasnya.
 “Sham… mengucap Sham, mengucap. Ingat Tuhan.” Luluh rasanya hati melihat rayuan emak yang tidak putus-putus. Melihat amukan Abang Sham seperti gorila hilang anak, siapa yang tidak berasa risau? Adha tersandar di pintu bilik melihat adegan di hadapan mata.
“Pergi! Pergi! Keluar!” Tidak tertahan mendengar suara emaknya yang tidak putus-putus merayu, menasihat, akhirnya Sham mencapai botol bersusun di atas almari pakaian lalu dihimbau ke serata ruang. Kemudian dicekak rambutnya kejap-kejap hingga membeliakkan mata yang merah menyala bagai biji saga.
“Sham! Apa sudah jadi dengan kau, nak?” Pada kali itu tengkingan Salmah sudah semakin meninggi. Baru sahaja Salmah hendak bangun dan menerpa ke arah Sham, sebiji botol lagi menyasar ke dinding. Dia terkejut hingga berhinggut tubuhnya. Terpasak kakinya ke lantai tanpa dapat bergerak. Mana hendak disangka Sham mengamuk hingga sebegitu rupa apabila tidak diberi wang untuk membeli keperluan haramnya.
Baru sahaja Adha bertagak-tagak hendak membawa emak keluar dari bilik itu, terdengar pula suara jeritan dari dalam sana. Lalu dia berpaling melihat ke arah emak yang sudah terbongkok hampir-hampir rebah. Tangannya pula memekup kepala yang sudah meleleh darah.
 Adha tidak terus menunggu, dia cepat-cepat menerpa ke dalam bilik. Dihampiri emak. Melihat darah emak begitu banyak meleleh keluar, hati yang sebak menjadi merekam dendam jadinya. Dahi emak berjalur terkoyak. Dilihat ke serata lantai bilik. Serpihan kaca memenuhi serata ruang. Dia cuba berhati-hati ketika melangkah agar tidak terpijak serpihan yang ditinggalkan.
Dalam waktu yang sama, pandangan Adha melilau memandang ke sekeliling seraya mencari kain bersih. Dilihat kain tuala tersangkut di penyidai. Pantas dia melangkah ke tepi dinding, lalu direntap tuala yang tersidai di sana. Kemudian langkahnya laju menghala ke arah emak lalu dipedap ke dahi yang sudah berjuraian darah hingga meleleh di celah rekahan jari.
 “Keluar! Pergi keluar!” Sekali lagi Sham mengamuk. Adha tersentak. Tahap gentarnya tidak terkata. Lalu dipaut bahu emak dan dibawa keluar dari bilik itu. Kalau berlama lagi di sana kemungkinan besar dia pula yang akan menerima bahana.
“Macam mana nak buat lagi, bang? Laratkah kita nak tunggu tengok saja Sham jadi macam itu?  Cubalah usaha-usahan sesuatu supaya dia boleh berubah.” Pada malam itu, Salmah bersemuka dengan suaminya di ruang tamu seusai sembahyang isya.
Adha sedang membuat kerja sekolah di meja hadapan ruang tamu. Jelas terdengar rungutan dari bibir emak kerana kedudukan emak dan ayah tidak sejauh mana.
Musollah mendengus keras. Rokok daun yang terselit di celah bibir disedut lama sebelum pandangannya menghala ke atas bagai memikirkan sesuatu bagi menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi.
“Aku biar dia pergi bandar suruh kerja, dia balik bawa benda haram itu pulak! Hidup suka menyusahkan mak bapak!” Suara rungutan Musollah, walaupun seperti bercakap dengan diri sendiri, tetapi bisanya sampai kepada isteri. Meleleh air mata Salmah mendengar kata-kata suami.
“Kita hantar saja ke pusat serenti. Tinggal di rumah pun setakat nak menyusah hidup semua orang, buat apa? Hari ini dia retakkan kulit kepala awak. Besok-besok, kepala awak pun dipijak-pijak. Orang, kalau sudah khayal dengan benda haram itu, bukan dia kenal emak bapak!” itu keputusan Musollah selepasnya, yang membuatkan Salmah tidak berani merungut dan membantah. Begitulah dengan Salmah, setiap apa sahaja keputusan dari mulut suaminya, itulah yang diturut.
Seminggu selepas kejadian itu, Sham dihantar ke Pusat Serenti. Selepas ketiadaan Sham, keluarga mereka kembali aman. Namun begitu, angin yang bertiup tetap membawa cerita yang mengguris perasaan.

No comments:

Post a Comment