Powered By Blogger

Friday 24 October 2014

MUNAH JAMBU (SESI PERKENALAN)



SESI PERKENALAN




NAMA aku, Mai Munah. Orang panggil aku, Mon. Atau bunyi dalam bahasa Melayunya (Mun). Ini panggilan di bandar. Kalau tinggal di kampung, aku lebih dikenali sebagai Munah  Jambu. Entah di bahagian mana yang jambunya tidak tahulah. Pandai-pandai orang kampung gelarkan aku begitu. Lebih-lebih lagi mamat-mamat bujang yang selalu mengusikku dengan tidak pernah jemu. Asal nampak muka aku, maka bernyanyi-nyanyilah di mulut mereka nama kampungku yang glamour itu.
Ah, ayah pun sepasal juga. Dalam banyak-banyak nama, kenapa pula letak nama Mai Munah? Orang dah tak pakai nama tu. Sekarang ini nama orang semua glamour-glamour. Kalau sebut, sampai dua tiga harkat bunyinya. Sampai hilang nafas! Nak kata Mai Munah itu bekas mak we ayah, mustahil pulak. Sebab kata emak, mereka bercinta dari seawal usia. Dari main pondok-pondok, lama-lama sama-sama pergi mengaji Quran. Kemudian melarat ke madrasah mendengar ceramah agama. Selepas tamat sekolah, sudah pandai bercinta.
Ish! Kuno betullah fikiran ayah.  Letaklah nama Amira Shakira ke, Nur Awani ke, Jeslina Iman ke, glamourlah sikit. Itu nama zaman sekarang, zaman era baru. Trend panjang berjela. Biar tergeliat jari menulis nama di kertas peperiksaan, biar tergeliat lidah bakal suami menyebut semasa akad nikah, asalkan glamour ditelinga orang yang mendengarnya.
Mon berhijrah ke bandar setelah puas memujuk ayah agar membenarkan dia datang bekerja di sini. Ikutkan ayah, mahu sahaja disuruh anak gebunya ini tinggal di kampung. Tunggu orang masuk meminang, katanya. Amboi, amboi, amboi… macam yakin sangat pulak, anak gadis jambunya ini orang mahu pinang. Macamlah ayah tidak tahu, macam mana memilihnya Mon mencari pasangan hidup. Ikutkan ayah, asalkan anak gadisnya cepat-cepat kawin, dia sudah rasa bersyukur alhamdulillah. Oh, tolonglah! Selagi Mon masih belum jumpa jejaka pilihan hati, selagi itulah Mon takkan kawin. Lainlah kalau Mon sudah jemu hidup di bandar atau muak dengan perangai manusia sekeliling, cadangan ayah itu boleh dipertimbangkan.
Hmm… jangan tak tahu, Mon glamour jugak di kalangan kutu lepak kampung tau? Asal Mon lalu saja, mulalah mereka petik gitar dan nyanyikan lagu. Walaupun lagu yang didendangkan seperti mahu cair tahi telinga, langsung tidak enak diterima gegendangnya, tetapi Mon tetap berasa bangga kerana dirinya diberi perhatian oleh spesis berlainan jantina.
Jiman, salah seorang anak muda kaki lepak yang tinggal satu kampung dengan Mon. Nama asalnya adalah Ajmal. Tapi mulut Mon lebih selesa panggil dia dengan panggilan Jiman. Nak tahu kenapa jejaka rewang itu lekat dengan panggilan Jiman? Sebab… trend rambutnya yang dibelah tepi selepas dilumur dengan minyak rambut sampai berkilau itulah membuatkan mulut ini mudah sangat menggelarkan Ajmal dengan panggilan Jiman. Lagi pula, Jiman ini tidak pernah puas hati kalau satu hari tidak mengganggu hidup Mon. Kerana kenakalannyalah membuatkan Mon dengan suka-suka hati memanggilnya dengan panggilan Jiman. Panggilan biar ganas sikit.
 Semasa zaman sekolah dulu, Monlah yang selalu menjadi sasaran usikan Jiman. Umur mereka berjarak dua tahun. Semasa Mon tingkatan 3, Jiman dalam tingkatan 5. Budaknya tidaklah lurus bendul, tetapi agak sengal sedikit. Sukakan Mon sampai setengah mati. Sudahnya pula, siap karang lagu tentang Mon yang entah apa-apa. Dengar pun sakit telinga. Hingga merencatkan terus urat kepala.
Jiman ini bapanya orang kaya. Agak kaya jugalah kalau dalam kawasan kampung mereka. Pak Karim, iaitu bapak Jiman adalah taukeh lori getah. Lori yang angkut susu getah yang ditoreh tu… Itulah pendapatan mereka sekeluarga. Ada lori yang disewakan, ada juga lori yang digunakan sendiri. Tapi yang peliknya si Jiman ni, kenapa tidak kerja ya? Seronok agaknya duduk saja-saja melepak sini sana petik gitar merata-rata? Bapak ada harta, dia pulak makan tanggung sahaja. Hidup cuma menyusahkan emak bapak. Bukan masih anak-anak, sudah di tahap layak cari kerja.
Kata ayah lagi, kalau dah tak ada siapa-siapa mahukan Mon, Jiman pun Jimanlah. Ayah! Mon tak sudi tahu tak? Berkali-kali ganda tak sudi dengan si Jiman tu. Sudahlah sengal, kena bercakap kuat-kuat pulak, sebab Jiman kalau cakap perlahan-lahan dia kurang dengar. Telinganya tersumbat agaknya. Mungkinlah… sebab itu bila dia menyanyi, dia melalak sungguh-sungguh hati. Kita dengar sampai nak menggelegak otak, dia masih selamba saja dengan lagu yang entah apa-apa.


No comments:

Post a Comment