Powered By Blogger

Friday 31 October 2014

HAI, ADIK MANIS (BAB 2)



BAB 2




Farid tersenyum di sepanjang pemanduannya. Kelakar bila diingat-ingat balik tentang gadis manis tadi. Sampai terbuntang biji mata bila dia sapa dengan nada nakal. Entah macam mana terkeluar ayat ‘adik manis’ tu tak tahulah. Tiba-tiba saja terpantul dari mulut bila mereka bertembung sekali lagi. Tidak pernah dibuat-buat perangai gatal berupa itu setelah sekian lama.
Patutlah selepas dia menegur sapa, gadis itu buat muka terkejut bersambung pelik sekaligus. Pasti mati-matian gadis itu ingat dia kaum kerabat Mamat Bangla yang mengganggunya tadi. Siap bercakap dialek Bangla pulak lagi? Mahu dia tak rasa lucu macam nak tercabut usus? Manis… manis… luculah kau ni!
“Hai… senyum  sorang-sorang ni. Apahal?” Abang Saad menegur ketika Farid sedang melayan angaunya sendiri. Angau? Baru kenal dah angau? Agaknya? Ya, aku angau bila tengok tahi lalat pemanis di tepi dagunya. Nampak manis bila dia senyum. Tetap lebih manis lagi apabila dia buat muka terkejut.
“Eh, saya senyum ke tadi? Tak kut…” Farid menutup rasa malunya dari disedari oleh lelaki dalam lingkungan usia hampir lima puluhan itu.
“Amboi… ni bijik mata Abang Saad ni tak rabun lagi tau? Hang senyum sampai nak merekah bibiaq, mau Abang Saad tak heran?” Saad yang asal tanah kelahirannya dari Melaka mengajuk cakap orang utara. Pekat betul sebutannya. Sampai tergelak Farid dibuatnya.
“Ada la tu, Abang Saad… biaq pi la kat dia… orang yang terlajak tarikh ni, kadang-kadang wayar tak berapa nak betui sikit.” Tengok tu, Amran spesis tak sayang mulut mula buat lawak kasar. Siap ajuk cakap utara, lagi. Padahal dia anak jati Johor.
Teringat gadis tadi, hatinya rasa bagai ditabur bunga dari syurga. Sejuk je rasa bila pandang wajahnya. Tidak macam selalu, tengok mana-mana perempuan pun dia tak rasa nak beramah mesra. Nak bertegur sapa, lagi-lagilah. Hari ini lain pulak perangainya. Tak semena-mena dia kenyit mata sampai wajah gadis itu bertukar merah menyala. Tentu dia malu tak hingga.
Sampai sahaja mereka di pekarangan pejabat, Farid dan kawan-kawan berpisah tujuan untuk menyambung tugasan mereka.
“Encik Farid, ni uniform encik dah saya keringkan.” Samihah menyerahkan seragam kerja Farid yang dia tolong cucikan kerana terkena tumpahan minyak hitam ke pakaiannya ketika memeriksa lori  bomba pada pagi tadi. Farid menyambut uniformnya lalu disarukkan ke tubuh.
“Terima kasih, Samihah. Kalau takde awak, gelap dunia saya.” Farid melawak.
 “Dunia saya sentiasa nampak gelap, Encik Farid.” Samihah balas balik. Langsung dia tak berniat apa-apa, tetapi Farid sudah tersalah faham,
“amboi… gurau kasar nampak… tahulah kulit saya gelap.” Samihah mengekek ketawa.
“Tak bermaksud pun, encik. Tapi kalau encik dah terasa, saya nak buat macam mana.” Gelak Samihah ditutup dengan telapak tangannya. Lelaki itu memang berkulit agak gelap. Tapi tidaklah sampai macam bontot kuali. Ala-ala Sylvester Stallone je… okeylah tu bagi kulit orang lelaki. Baru nampak gagah perkasa sikit. Kalau kulit cerah sangat nampak pun macam lembik. Tak percaya tengok hero-hero Korea tu. Jatuh sikit pun dah terkehel tangan, dah berbalut kaki. Macam hampeh je tengok.
“Itu la Encik Farid… kalau ada isteri kan senang? Boleh jugak suruh tolong cuci-cuci pakaian ke… seterika pakaian ke… tak payah buat kerja sendiri. Ini tidak,” Samihah membebel-bebel seraya menghantar usikan kepada Farid yang sudah begitu akrab semenjak mereka bekerja dalam satu jabatan.
“Kalau saya dah ada calonnya nanti, awak orang yang mula-mula sekali saya bagi tahu.”
Samiha tayang sengih. Dia saja usik-usik… tapi kalau Encik Farid sudah bersedia menamatkan zaman bujangnya, dia lagi suka. Terjaga, kebajikan Encik Farid. Samihah beransur untuk pulang ke meja kerjanya.
“Minggu depan saya nak balik kampung. Ada awak nak pesan apa-apa?” belum pun bergerak, Farid bersuara semula.
 “Nak balik kampung ye, encik? Kirim salam pada Diba dan Dani ye?” Samihah begitu teruja bila dengar Farid hendak pulang ke kampung. Dia suka tengok dua cilik kesayangan Farid itu. Pertama kali dia tengok mereka, dia sudah jatuh kasih. Baik, si kembar itu. Sama-sama kacak dan cantik.
 “Kirim salam je? Barang-barang lain tak nak?” Farid memberi senyum sambil jongket kening kepada Samihah yang sedang tegak berdiri di hadapannya tunjuk muka teruja
“Er… macam biasa jelah encik, beli kudapan dari Pulau Mutiara. Duduk saja-saja boleh juga buat kunyah.” Malu-malu Samihah memesan. Segan juga bila orang dah terlalu baik hati. Takut nanti dia dianggap mengambil kesempatan. Tetapi Farid ni tak berkira, balik je dari Pulau Pinang, macam-macam yang dia bawak balik ke sini walaupun mereka tidak pernah pesan.
“Hai… bertambah gebulah cik kerani kita ni nanti.” Sinisnya kata-kata dia! Malu jugak Samihah. Tapi tak apa… dia terima hakikat yang dia memang gemuk.
Selepas sindir sekali lalu, Farid beransur untuk beredar dari situ untuk menyelesaikan kerja-kerjanya.
“Eh encik, kejap, kejap, kejap. Ni ada surat untuk encik.” Kerani yang ramah tamah dan masih bujang trang tang tang itu memanggil sambil dia berlari ke mejanya untuk mengambil sekeping surat. Selepas itu dia datang kepada Farid kembali lalu menyerahkan surat itu.
“Surat apa ni?” Farid membelek-belek di bahagian hadapan sampul surat rasmi yang sampai ke tangannya.
“Entahlah encik… kalau encik buka, tahulah surat apa. Kalau tengok bahagian luar je, jangankan encik, saya pun tak tahu.” Samihah yang ramah terlebih itu kembali semula ke mejanya.
Farid membuka sampul surat itu dengan cermat sambil langkahnya dibawa menuju ke bilik pejabat.
Sentuh sahaja punggungnya di kerusi, senyumnya merekah di bibir. Dia sudah dapat surat pertukaran ke utara. Walaupun lokasinya di Kedah, tetapi jaraknya dengan Pulau Pinang berjarak tidak jauh. Bolehlah dia berulang alik tiap-tiap hari dari rumah orang tuanya. Apabila orang tua sudah meningkat usia, sebagai anak lelaki, dia mahu menghabiskan masa bersama mereka. Dia tidak mahu berjauhan lagi di sisa-sisa tua mereka. Dia takut tidak sempat melabuhkan kasih sayang buat mereka andai mereka pergi dahulu sebelum dia pulang dan tinggal di sana.
Terus hatinya rindukan emak di Pulau Pinang sana. Lalu telefon bimbitnya dikeluarkan dan nombornya ditekan.
“Assalammualaikum ma. Apa khabar?” Salam diberi dengan suara yang ceria.
“Waalaikumsalam… Alhamdulillah, sihat… ma dan ayah kat sini. Farid sihat?”
“Sihat, ma.”
“Eh, ceria je ma dengar suara Farid kat sana.”
“Ye ma, Farid dah dapat tukar tempat kerja.”
“Oh, iye? Alhamdulillah… dekat mana tu, Farid?”
“Kulim, ma.”
“Syukurlah… Farid dapat tukar dekat-dekat sini. Tak jauh dah tu Kulim dengan Penang. Boleh berulang dari rumah.” Puan Bainun juga turut teruja mendengar perkhabaran tersebut. “Bila nak balik sini, Farid?”
“Hujung minggu ni Farid balik la ma. Rindu pada mereka berdua tu.”
“Hmmm… macam itu jugaklah mereka tu. Rindukan Farid selalu-selalu.” Macam mengeluh sahaja bunyi suara emaknya di sebelah sana.
“Dah tu, bila pulak nak bertukar ke Kedah ni?”
“Bulan depan, ma.”
“Alhamdulillah… seronok tak habis la nanti budak-budak tu bila dengar berita ni nanti.”
“Okeylah ma, Farid ada kerja ni. Nanti sampaikan salam Farid untuk budak-budak berdua tu ye? Kirim salam dengan ayah jugak.”
“Baiklah Farid, nanti ma sampaikan. Kamu tu, jaga diri. Jangan kerja terlalu kuat sangat. Risaulah ma tengok kamu tu kerja sampai tak kenal siang malam.”
“Yelah ma.” Farid tergelak kuat. Sempat lagi emaknya meleter di hujung-hujung talian.



No comments:

Post a Comment