Powered By Blogger

Saturday 10 March 2012

KAKAK MEINSYA DAN ABANG KUCING

MEINSYA menangis teresak-esak. Namun ibu langsung tidak ada hati untuk memujuknya. Manakan tidak, bermain hingga tidak kenal tengahari ataupun malam. Tentu ibunya mengamuk hingga sesungguh nyawa.
“Nak main dengan Abang Kucing pun tak boleh. Selalu marah-marah pada akak Meinsya. Akak Meinsya bukan buat apa-apa pun. Cuma main saja.” Aryati terdengar ratusan di sebalik tangisan anaknya secara sembunyi-sembunyi. Hendak ketawa pun ada, tetapi rentetan rasa marah yang masih bersisa, dibiarkan anaknya meratus sendiri bagi menginsafi dirinya di kemudian hari.
“Perg mandi salin baju. Badan busuk hapak mengalahkan apa.” Marah Aryati bagi menyempurnakan leterannya.
“Tak nak, Meinsya nak ibu jirus jugak.”
“Tadi waktu orang mandi, bukan nak datang mandi sekali. Sekarang ibu banyak kerja nak suruh jiruslah apalah. Pergi mandi sendiri, bukan kecil lagi. Dah masuk empat tahun dah.” Marah Aryati lagi.
“Tak nak.... Meinsya nak ibu jirus juga, ibu jirus juga.” Teriak anak perempuannya. Geram benar hati Aryati. Waktu-waktu beginilah dia hendak memerintah itu ini. Sudahlah dia terlambat masuk ke dapur hari ini. Sejam lagi abahnya pulang untuk makan tengahari pula.
“Pergi ambil kain tuala. Ibu jirus adik mandi, lepas tu adik gosok gigi dan sabun badan sendiri.”
“Baik bu... Meinsya faham. Sayang... ibu.” Cepat sungguh reda tangisan anak itu. Bila kemahuannya dituruti, terus dia menghampiri dan memeluk Aryati sambil menyatakan rasa sayangnya. Aryati tersenyum melihat keletah anak bogsunya. Sejuk kembali panas di hati Aryati.
“Nanti gosok gigi, gosok lidah sekali. Masam sangat. Pening kepala ibu.” Pesan Aryati ketika jirusan pertama menyasar ke kepala anaknya.
“Baik bu.” Penuh sopan anak itu menjawab.
“Hah, sudah. Adik sabun dulu. Nanti ibu pasang paip. Lepas sabun adik mandi sendiri.” Arah Aryati.
“Ok... Meinsya fahamlah... ibu ni cakap banyak betullah.” Ucap bibir mongel itu. Aryati mengerling pada anaknya. Kalau berlawan cakap dengan anak ini, sampai ke pagi besok pun belum tentu siap kerja. Aryati lalu meninggalkan anaknya mandi sendiri di samping diawasi olehnya dari bahagian dapur.
“Mandi bersih-bersih. Budak perempuan mesti cantik, bersih, baru orang suka.” Laung Aryati ketika tangannya sibuk menyelenggarakan persiapan untuk memasak.
“Baru cantik kan ibu kan?” tambah Meinsya pula. Aryati cuma tersenyum.
“Nanti Meinsya nak tengok Abang Kucing ada tak kat depan sana. Meinsya nak main dengan dia.” Sambil menyabun, sambil mulutnya bercerita membuatkan Aryati terus menambah,
“Hah, tak payah. Dah tengahari rembang ni. Nak main apa lagi? Petang nanti baru keluar main. Faham tak?” marah Aryati.
“Sekejap saja ibu...” rayu anak itu.
“Sekejapkah, lamakah, tak payah. Ibu cakap jangan, jangan. Faham?”
“Ibu ni kedekut.” Balasnya. Namun Aryati langsung tidak terasa hendak marah memandangkan anak itu memang begitu mulutnya, tidak berhenti-henti bercakap dari pagi santak ke malam hari.
Sepanjang pagi itu mulut Aryati bising hingga tak sudah. Semua ini gara-gara anaknya yang suka memunggah segala barang-barang mainan ke serata rumah. Namun setiap apa yang diseuruh hanya satu jawapannya,
“Kejap, kejap, nanti Meinsya simpanlah...” namun, sekejap hanya tinggal sekejap. Rumah tunggang langgang juga, simpannya tidak. Mengeluh Aryati melihat perangai anaknya Meinsya.

*********************************************************************

“MASUK!!!!!” jerit Aryati buat kesekian kalinya. Tetapi kali ini jeritannya begitu nyaring hingga memekakkan lubang telinga.
Akibat jeritannya yang bergema hingga terdengar ke luar sana, membuatkan Meinsya mengalirkan air mata. Aryati langsung tidak terasa hendak memujuknya. Namun di sebalik tangisan itu terselit ratusannya yang berjea-jela.
“Nak main dengan Abang Kucing pun tak boleh. Nak main kat luar pun tak boleh. Ibu suka marah Meinsya. Meinsya tak mau kawan dengan ibu.”
 “Tak nampak hujan kat luar tu? Nak bagi demam? Yang seronok sangat duduk kat luar kenapa? Tak boleh duduk dalam rumah? Boleh pengsan agaknya.” Kala itu leteran Aryati semakin berjela-jela. Geramnya tidak terkira. Sudahlah letih seharian menyalenggarakan rumahtangga, anak pula payah hendak mendengar kata. Siapa yang tidak marah?
“Duduk dalam rumah saja, jangan keluar. Degil sangat. Cakap orang pun tak nak dengar.” Aryati menyambung kemarahannya lagi.
“Nak keluar...” rayu Meinsya. Tangisannya masih berjela-jela.
“Tak payah. Ibu kata tak payah, tak payah.” Tegas Aryati.
Ketegasannya pada hari itu telah membuatkan Meinsya menangis dengan begitu lama. Namun Aryati langsung buat tidak kisah. Biarlah anak itu belajar berfikir akan kesalahannya. Nanti pasti dia akan serik untuk mengulanginya lagi.
Selepas puas menangis, akhirnya Meinsya mendekati Aryati dengan keadaan seperti tidak ada apa yang berlaku. Kemudian tubuh ibunya dipeluk dan dicium ke serata muka. Hati Aryati kembali sejuk.
“Sayang ibu.” Ucapnya.
“Ibu pun sayang adik.” Balas Aryati. Meinsya tersenyum lawa. Giginya yang tersusun telah membuatkan wajahnya nampak manis. Sejurus selepas itu Meinsya masuk ke dalam bilik kembali. Kemudian dia keluar dengan mengheret bantal dan selimutnya sekali.
“Ibu...nak susu..” rayunya. Aryati tahu, kalau anak itu mengusung bantal dan selimut tentu dia hendak minum susu botol.
“Minum susu dalam gelas sajalah ya? Ibu letakkan barli sekali.” Pujuk Aryati agar anaknya meninggalkan tabiat meminum susu botol kerana umur anak itu sudah pun menjengah ke usia empat tahun.
“Tak nak...nak susu botol juga.”
“Ish, budak ni. Sampai bila nak minum susu botol? nanti rongak gigi tu baru tahu. Biar tak cantik lagi.”
“Tak nak, Meinsya nak susu botol juga. Ibu faham tak Meinsya cakap ni?” geram betul Aryati dengan ketehan anak itu bercakap. Kita kata ini dia balas itu. Kita pusing ikut sini dia konar ikut situ. Mahu ataupun tidak, terpaksalah dia menuruti kehendak anaknya.
Setelah susu dibancuh, Aryati menyerahkan botol susu itu kepada anaknya dengan harapan anaknya akan terlena. Tetapi selepas Meinsya menyedut habis susu di dalam botol, dia bingkas bangun dan membuka pintu.
“Abang Kucing. Abang Kucing cari kakak Meinsya ka?” dia menghulurkan tangan melalui celah pagar besi. Aryati cuma memerhati tingkah laku anak perempuannya nan seorang.
“Abang Kucing teringat kat kakak Meinsya? Sayang...abang kucing.” Meinsya mengurut-urut kepala kucing jiran yang selalu bertandang ke rumah mereka. Kucing rona gelap berbelang-belang itu selalu datang tidur di halaman rumah sejak kecil. Malah kasih Meinsya yang tumpah terhadapnya hingga tidak boleh berenggang walau seminit.
Leka sahaja ibunya, Meinsya lalu membuka pintu gerigi besi. Aryati sedar, namun dia berpura-pura tidak menyedari akan tingkah anaknya. Hujan pun sudah berhenti, biarlah kalau anak itu hendak bermain-main. Dia bukan seorang ibu yang begitu kejam, hingga tidak membenarkan anaknya bermain di luar.
Dilihat Meinsya duduk bersimpuh di sebelah kucing  yang dipanggil ‘Abang Kucing’ itu. Muka kucing itu diraup dan dikucup dengan bibirnya yang mongel. Kemudian tubuh kucing tersebut dibelai penuh kasih. Tidak puas dengan itu, Meinsya mengambil kain tuala buruk yang tersidai di ampaian lalu menyelimuti tubuh Abang Kucing. Puas sungguh dia memanjai Abang Kucing. Hinggakan tidak sempat kucing itu hendak bernyawa.
Sejurus selepasnya, belum pun sempat Abang Kucing hendak memejamkan mata, Meinsya mengangkat dan mendukung kucing itu ke merata-rata. Aryati cuma menggelengkan kepala melihat keterujaan anaknya terhadap kucing itu. Hingga luruh bulu-bulu kucing ke bajunya, dan berbau kucing anaknya itu dek kerana terlalu bergelumang dengan kucing kesayangannya. Namun Aryati cuma membiarkan saja. Cuma sesekali dia perhatikan juga kalau-kalau keterujaan Meinsya terhadap Abang Kucing membuatkan dia berasa geram hingga mengasari kucing tersebut.
Azan berkumandang dari corong speaker masjid berdekatan. Hari pun sudah samar-samar cahaya. Kanak-kanak yang bermain di padang sudah beransur pulang. Tidak ketinggalan dengan Aryati yang sudah mempersiapkan diri untuk bersolat.
“Meinsya... sudah, dah Maghrib. Besok pula main dengan kucing.” Laungnya.
“Sekejap saja lagi. Sekejap...je.” jawab anaknya.
“Ibu kata sudah, tak fahamkah? Kalau tak nak dengar kata besok ibu tak benarkan adik main dengan kucing lagi.” Kata Aryati.
“Iyalah, iyalah, Meinsya masuklah ni... bye-bye Abang Kucing, jangan pergi mana-mana tau... akak Meinsya nak masuk mandi. Nanti kita main lagi.” Pesan anaknya yang begitu keletah berkata-kata.
“Tutup pintu. Tekan punat. Ibu nak sembahyang, baca quran. Adik pergi mandi dulu.”
“Ibu jiruslah.” kata Meinsya pula.
“La... ibu nak sembahyang ni... nanti terlewat pula waktu.”
“Meinsya tak mau mandi sendiri. Nak ibu jirus juga.” Anaknya masih berdegil. Geramnya Aryati dengan perangai anaknya itu. Namun dikutkan juga kehendak Meinsya memandangkan dia berada di dalam wudhuk.
“Itulah, awal-awal tak nak masuk. Asyik sangat bermain dengan kucing. Ini, kita kalut nak sembahyang waktu itulah dia kalut nak suruh jiruslah, apalah.” Leter Aryati dengan tak sudah.
“Biasalah... Meinsya kan suka Abang Kucing... Kanak-kanak, memang suka main.’ Ada saja jawapannya membuatkan Aryati terpaksa mengalah dari terus berdebat dengannya.
“Terima kasih ibu..” selesai dimandikan, Meinsya mengucapkan terima kasih pada ibunya, membuatkan hati Aryati tersiram kembali. Dia tersenyum pada Meinsya, namun sebelum menunaikan kawajipannya terhadap Tuhan, sempat dia singgah membancuh susu untuk anaknya. Dia tahu Meinsya pasti akan menagih susu botol ketika dia sedang mengaji nanti. Untuk tidak mengganggu perjalanan mengajinya, Aryati dahulukan apa yang perlu.
Selesai bersolat dan mengaji, Aryati keluar ke ruang tamu. Sudah terlena anak itu di hadapan televisyen yang terpasang sambil botol susu yang masih melekat di mulut. Aryati mendekatai anaknya lalu ditarik botol susu lalu diletakkan di atas meja. Sudah tentu anakna keletihan setelah seharian bermain.
Aryati memandang ke sekeliling ruang tamu. Permainan anaknya berselerak hingga ke serata ruang. Di lantai usah dikiralah, segala permainan kecil dan besar ada di situ. Di atas meja penuh pula dengan beg-beg tangan serta beg sekolah yang sudah tidak digunakan. Dilihat di atas kusyen, terhimpun buku-buku mewarna berserta warna penselnya sekali. Pening Aryati dibuatnya. Anak yang sulung, walaupun lelaki rajin juga menyimpan dan meyelenggarakan rumahtangga jika melihat rumah mereka berselerak tarak, dialah yang mengambil tugas menyimpan itu ini. Tapi yang seorang ini, asyik sepahkan rumah sahaja. Perangai siapa yang diikutnya tidak tahulah.

KEESOKAN hari, sepertimana biasa, awal-awal lagi Meinsya bangun dan menerpa ke arah pintu. Ditinjau ke luar sambil memerhati kalau-kalau Abang Kucingnya ada di sana. Namun langsung tiada bayang Abang Kucing menunjukkan ia datang ke rumah mereka. Meinsya berasa hampa. Tetapi dia pandai memujuk hatinya.
“Abang Kucing balik makan kut. Emaknya panggil.” Sambil berjalan menuju ke dapur, sambil dia berkata-kata.
“Abang Kucing pun dah tak terlarat nak pandang muka Meinsya. Dia pergi cari kawan lainlah tu.” Pagi itu hati Aryati teringin hendak mengusik anaknya. Namun anak itu padai mematahkan usikannya.
“Nanti dia datanglah. Dia balik makan sekejap. Dia tidur dulu, nanti tengahari sikit baru dia cari kakak Meinsya.”
“Nanti dia datang sini adik jangan ganggu dia pula. Dia mengantuk, nak tidur.”
“Kenapa dia mengantuk ibu?” tanya Meinsya kembali.
“Dia mengantuklah, sebab malam-malam dia sibuk tulis novel.” Entah dari mana suaminya datang, tiba-tiba muncul saja di situ bagi menyambung usikan terhadap anak mereka.
“Tak... kucing mana reti buat novel. Dia tak ada tangan.” Jerit Meinsya seraya memarahi abahnya. Aryati dan suaminya tergelak melihat gelagat anak kecil itu.
“Dah malam-malam dia berjaga sakan mengasuh adik dia, sebab tu siang dia mengantuk sakan.” Kata Aryati bagi menjawab pertanyaan dari anaknya.
“Mak dia pergi mana? Kenapa emak dia tak jaga anaknya?” tanya Meinsya lagi.
“Mak dia tak larat. Mak dia kan baru lepas bersalin.” Ulas Aryati.
“Bersalin tu beranakkah ibu?”
“Yalah.”
“Dia beranak macam mana?”
“Haaah, dia merapu dah... pergi ke depan sana. Ibu nak masak. Nanti mercik minyak lauk ke muka baru tahu.” Anak-anak kecil memang begitu, semua perkara hendak ambil tahu. Hingga rimas hati perut Aryati dibuatnya.
Meinsya akur. Dia kembali ke pintu sambil terhendap-hendap Abang Kucingnya. Namun bayang pun tidak kelihatan pada pagi ini. Meinsya kembali ke kotak mainannya. Segala apa yang berada di dalam sana dipunggah dan dibawa ke ribanya. Satu persatu diperisi hingga habis satu kotak dikerjakannya.
“Hah, punggah, punggah. Nanti tak simpan balik, jaga.” Sedang dia asyik bermain, abang Mirzanya pula datang menyergah dengan tidak semena-mena membuatkan anaknya yang seorang itu menangis tidak terhingga.
“Ibu!!! Tengok abang Mirza ni.” Jerit anak itu.
“Kenapa pula????” jerkah Aryati dari dapur.
“Abang Mirza usik Meinsya.” Acumnya.
“Tak sakit pun...” usik Mirza lagi.
“Ibu!!! Tengok ni. Pergi sana. Pergilah...” Meinsya seboleh-bolehnya ingin abangnya beredar dari situ tetapi anak lelakinya yang sudah menjangkau umur lima belas tahun itu masih seronok mengusik. Sambil tertonggek-tonggek dia menari seraya menyakiti hati Meinsya. Maka lagi kuatlah Meinsya menangis.
“Ish, kamu berdua ni. Kalau sehari tak buat bising tak bolehkah? Rimas tahu tak?” jerkah Aryati pula.
“Allah... biarkanlah... baru meriah bunyi bising-bising begini.” Selit suaminya pula.
“Meriah sekali pun... fikirlah sikit jiran sebelah menyebelah hendak tidurkah atau apa.” bidas Aryati pula. Memandangkan mereka tinggal di kawasan perumahan, memang patut dia berpesan-pesan agar kebisingan itu tidak melarat hingga mengganggu keteraman jiran tetangga.
“Sudah, sudah. kamu tak ada kerjakah Mirza? Pergi mandi.” Barulah suaminya mula menegur perbuatan anak sulung mereka. Walaupun mereka cuma mempunyai dua orang anak, tetapi kebisingan sehari-harian membuatkan Aryati berasa pening tidak terhingga. Nasib baiklah anak mereka tidak ramai seperti orang lain. Kalau tidak tentu botak satu kepala.

**********************************************************************

SUDAH dua hari Meinsya menunggu kehadiran Abang Kucing, tetapi langsung tidak kelihatan. Hatinya sudah resah. Makan minum pun sudah tidak berselera. Dia ke hulu ke hilir sambil bertanya ibunya mengenai Abang Kucing yang sudah tidak nampak muka.
“Pak cik, Abang Kucing ada tak?” Meinsya bertanya pada jiran sebelah rumah mereka sebaik sahaja dia keluar bermain pada petang itu.
“Abang Kucing dah tak ada. Dah meninggal.” Jawab jiran itu secara berterus terang tanpa menilai hati kecil yang mudah terasa.
“Abang Kucing mati? Bila Abang Kucing mati pak cik?” dia bertanya lagi.
“Kemarin. Pak cik sudah tanam dekat sana.” Jawab jiran mereka. Meinsya terdiam. Dia terus masuk ke dalam rumah. Aryati memerhati ke wajah anaknya. Dia dengar perbualan di antara anaknya dengan jiran sebelah rumah sebentar tadi. Namun dia tidak terasa hendak mencelah.
Muka Meinsya sudah tidak seindah sebelumnya. Dia tidak menangis, cuma diam tanpa bersuara. Lama dia berada di atas kusyen sambil berdiam diri sambil memandang ke luar.
“Kenapa tak main kat luar?” tegur Aryati setelah lama anaknya duduk diam.
“Abang Kucing dah mati, nak main macam mana?” jawab anak itu.
“Tak apalah, adik main dengan mainan adik. Nanti Nelly datang, adik main dengan dia.” Anak itu akur. Lalu dia terus keluar dan bermain di halaman rumah. Aryati memandang anak itu dengan penuh simpati. Meinsya sudah selincah sebelumnya. Mungkin hatinya tersentuh rasa. Tak apalah, sehari dua lagi tentu hatinya akan kembali terubat. Fikir Aryati.
“Nanti ibu baca quran untuk Abang Kucing ya?” ucap anak itu pabila Aryati hendak mengambil air sembahyang sebelum menunaikan solat Maghrib. Hati Aryati berasa sebak. Namun dia tidak mahu menunjukkan kesedihannya di hadapan anak.
“Baik sayang.” Jawab Aryati. Anak itu kemudiannya berlalu keluar. Selesai Aryati menunaikan solat, dia menjenguk keluar. Sepertimana biasa, anak itu akan terlena di hadapan televisyen dengan botol susu yang masih melekat di celah bibir. Aduhai anakku...

No comments:

Post a Comment