Powered By Blogger

Saturday 10 March 2012

SELAMAT HARI GURU

Suriati dan Haryati sedang tertonggek-tonggek di celah bingkai tingkap yang telah pecah cerminnya sambil mengusik teman-teman dari kelas bawah. Gembira sungguh hati mereka pada hari itu. Masing-masing bersekongkol untuk mengenakan teman sekelas yang bernama Norli. Bermacam-macam yang diusik hingga membuatkan Norli terlompat-lompat marah tatkala terlihat akan aksi kenakalan mereka.
“Woi Salim, ini budak kelas kita orang kirim salam pada kau. Namanya Norli.” Jerit Haryati. Salim yang sedang melewar di hadapan kelasnya hanya tersengih-sengih malu. Manakala Norli yang berada di dalam kelas pula begitu marah tidak terhingga.
“Ha, betul. Kalau tak percaya tanya kami.”  Suriati pula menambah bagi menggamatkan lagi suasana. Kelas begitu bising tidak terhingga kerana ketiadaan guru pada waktu tersebut. Mentelah lagi, Haryati selaku ketua kelas begitu sibuk dengan aktivitinya serta Suriati seraya seorang ketua pengawas juga tidak terhingga menyibukkan diri bersama teman akrabnya.
“Woi, janganlah woi. Jangan usik macam tu. Malulah..” teriak Norli, namun haryat mahu pun Suriati langsung tidak mengendahkan amaran dari Norli. Malah mereka semakin mengekek mengetawakan sahabat yang seorang itu.
Norli, gadis polos yang serba sederhana penampilannya. Jarang bersuara dan tidak bebas pergaulan dengan sesiapa sahaja. Dia agak terpinggir dari perhatian kawan-kawannya namun begitu dia adalah seorang gadis yang begitu baik budinya.
“Norli kata dia nak berkenalan dengan kau. Terima ya? Kesian... dia. Nanti nangis pula.” Usik Haryati lagi. Manakala Salim hanya menggelengkan kepala melihat telatah mereka. Sambil mengusik, sambil mereka mengekek ketawa.
Salim adalah seorang pelajar lelaki yang pemalu dan juga pendiam. Wajahnya kacak dan jarang dikenali. Mentelah pula penampilannya agak biasa-biasa berbanding pelajar-pelajar lain.
Sambil bergelak ketawa, sambil Suriati menepuk bahu temannya. Gembira sungguh mereka menyakat teman satu kelas hingga mengabaikan tanggungjawab dan tugasan sebagai ketua.
“Woi, janganlah..” jerkah Norli lagi.
“Tak apalah, kita orang nak promote kawan-kawan...” kata Suriati.
“Aku lapor pada cikgu nanti..” kali iti Norli sudah main ugutan.
“Laporlah? ingat kita heran?’ dengan penuh bangganya Haryati membalas balik ugutan tersebut.
“Woi Salim, Norli nak jumpa kau kat belakang jamban.” Geram dengan ugutan Norli, Haryati menambah-nambah ayat dengan sesedap rasa. Biar Norli melingas hingga tak sudah.
“Woi, dasyat betul kau kenakan dia. Kesian Norli.” Tegur Suriati. Dalam adegan usik mengusik pada hari itu, sempat pula Suriati teringatkan tentang kasihan. Maka, semakin cepatlah Haryati membalas kata-katanya.
“Tak apa, nanti raya minta maaf.” Sambut Haryati pula. Suriati terkekeh lagi. Entah kenapa pada hari itu kegembiraan terasa begitu menjadi-jadi. Kegatalan dan kenakalan pula bagai pelajar kurang sivik.
Namun dengan tidak semena-mena kelas menjadi sunyi sepi. Namun Haryati dan Suriati yang begitu asyik dengan aktiviti mereka masih tidak mempedulikan tentang perubahan pada suasana tersebut.
Sehinggalah mereka menerima libasan rotan di punggung masing-masing, barulah Suriati mahu pun Haryati beralih memandang ke belakang. Tatkala itu kelihatan cikgu Hamzah sedang merenung mereka dengan tajam bersama rotan yang melekat di tangannya.
Muka Haryati dan Suriati sudah pucat lesi. Malu pula berlebih-lebih lagi. Manakan tidak, satu kelas gelakkan mereka. Lebih-lebih lagi Norli, begitu rancak gelaknya hingga meleleh air mata. Haryati memandang pada Zaini dan Khairul, musuh ketatnya yang berdua. Ketawa mereka begitu galak hingga tidak terangat muka. Zaidi dan Ahmadul Hadi lagi-lagilah, tiba-tiba saja berubah watak menjadi seorang yang kuat ketawa. Dikilas pula pada teman mereka Rozita dan juga Zuraida. Mereka juga tidak ketinggalan gelakkan teman-teman yang sudah teraniaya.
Di sebalik perasaan malu, rasa geram di hati Haryati dan Suriati tidak terhingga. Lebih-lebih lagi pada Abu Sufian yang sudah ditinggalkan pesanan supaya memberitahu jika cikgu masuk ke kelas. Namun pelajar lelaki itu sengaja hendak mengena, dibiarkan mereka menerima bahana.
“Ini kenapa ni? Tertonggeng-tonggeng di tepi tingkap sambil buat bising. Tak malu pada pelajar lain menunjuk perangai kamu yang semacam ini?” mereka disapa kemarahan cikgu Hamzah pula. Dilihat ke sekeliling. Kata-kata dari cikgu membuatkan kawan-kawan semakin merancakkan ketawa mereka.
Haryati sudah tidak tertahan menanggung malu. Mukanya sudah berubah menjadi merah menyala. Namun dia tetap berpura-pura ketawa. Tidak mahu teman-teman tersalah sangka. Suriat pula tidak tahulah macam mana. Adakah dia dapat menerima apabila dimalukan sebegitu rupa?
“Pergi duduk di tempat masing-masing. Asyik kenakan orang hingga tak sudah.” Leter cikgu Hamzah pula. Maka dengan itu Haryati dan Suriati pun pulanglah ke tempat duduk masing-masing.
“Itulah, kan aku sudah kata, jangan usik orang. Kau degil juga.” Nasihat Zuraida bagai simbahan api neraka saja rasanya sebaik sahaja Haryati pulang ke tempatnya.
“Sakit tak kena libasan dari cikgu Hamzah.” Entah soalan apa yang ditanya oleh Rozita, membuatkan Haryati berasa geram tidak terhingga. Namun dia tidak mahu menunjukkan wajah marah, lalu cepat saja mulutnya membalas kembali pertanyaan dari Rozita.
“Tak adalah sakit sangat pun...punggung kita kan kebal. Kalau tak percaya tahanlah, biar aku libas punggung kau pula.” Namun gurauan seperti itu tidak dapat direrima oleh si tuan yang empunya diri. Lalu memerah muka Rozita pada akhirnya.
“Woi kau..capulnya mulut..” tegur Zuraida.
“Biarlah. Kenapa nak tanya pula. Dah tahu kena libas dengan rotan, tentulah sakit. Takkan sedap pula.” Jawab Haryati. Walaupun Rozita adalah di antara teman baiknya, tetapi dek kerana marah dan malu yang tidak terhingga, terlepas kata-kata yang menyakitkan lubang telinga. Hingga tidak memikirkan hati orang yang terasa.
Waktu mata pelajaran sains dilalui dengan hati yang suram. Namun dilihat Suriati masih ceria sepertimana keadaan asalnya. Haryati tertanya-tanya, tidakkah hati temannya disuntik rasa setelah menerima libasan sebegitu rupa? Hairannya. Ada juga insan yang berhati waja. Namun di selepas itu Haryati mula merangka, insan yang terlibat di dalam agenda mereka pasti menerima padahnya. Dia melihat ke arah Abu dengan perasaan geram. ‘Nantilah, bila tiba waktu pulang nanti kau akan tahu penangannya.’ Haryati menderam.
Maka waktu pulang pun tiba. Kawan-kawan yang ada turut memandang ke arah mereka. Ada juga segelintir yang menyindir dan turut menyambung ketawa. Namun Haryati dan Suriati cuma buat tidak peduli sahaja. Bagi mereka, agenda yang akan berjalan lebih penting dari memikirkan tentang hati dan perasaan malu yang terpalit di muka.
Loceng waktu pulang berbunyi juga akhirnya. Suriati mahu pun Haryati sudah mempersiapkan agenda. Kawan-kawan sekelas semua beremba-remba untuk pulang ke rumah. Akhirnya tinggallah Abu Sufian seorang saja. Entah kenapa hari ini pelajar lelaki itu cuba berlengah-lengah. Mungkinkah ada sesuatu agenda? Namun mereka berdua tidak goyah. Tahulah bagaimana hendak diajar Abu Sufian supaya tunduk setia.
“Abon. Kau ke sini sekejap.” Panggil Haryati. Abon yang baru mengangkat beg terus beralih memandang ke arah yang memanggil.
“Kenapa?” Abu bertanya kembali.suriati sudah tersenyum-senyum.
“Kenapa kau tak beritahu kita orang cikgu masuk ke kelas tadi? Sengaja hendak pekena ya? Sakit hati?”
“Mana ada. Aku pun tak sedar bila cikgu masuk. Sedar-sedar sudah tercegat berdiri di belakang kau.”
“Kau tipu kan?” bentak Haryati.
“Mana ada...” sambil meleret berkata, sambil Abu tersenyum-senyum padanya membuatkan hati Haryati kembali berbara. Tetapi tidaklah sehingga menyampah ataupun meluat melihat kawan sekelas mereka itu. Suriati pula hanya menjadi pemandang bagi pertelagahan di antara mereka. Namun gelaknya masih tak sudah.
“Aku dah nak balik. Ke tepi sikit aku nak lalu.” Ujar Abu apabila dilihat sudah susut bilangan pelajar di dalam kelas itu.
“Siapa kata kau boleh balik?” jerkah Haryati. Saja dia berpura-pura garang mengalahkan ibu tiri. Mata pula terbeliak memandang Abu Sufian.
“Wei...tolonglah..aku nak balik... nanti tertinggal bas pula.” Rayu Abon.
“Heh, ingat senang-senang aku nak lepas kau balik? Oleh kerana kau belot ketika menjalankan tugas, kau didenda pulang lewat pada hari ini.
“Aduh.. kacau, kacau. Mana ada aku belotkah apa... kan aku sudah terangkan, aku pun tak sedar bila cikgu masuk ke kelas.”
“Tak kira juga, kenapa kau pun tumpang sekaki gelakkan kita orang? Seronok sangat tengok punggung kita dilibas cikgu? Lucu?” marah Suriati pula.
“Seronoklah juga...”
“Kau cakap apa?” Haryati menengking hingga terbeliak biji mata.
“Eh, eh, tak, tak seronok pun. Cuma sedih. Sedih sungguh.” Sambil berkata sambil Abu ketawa terkekeh-kekeh.
“Kau cakap sekali lagi? Nanti aku rodok mulut kau dengan pembaris besi ini baru tahu.” Kali itu lagi kuat Abu Sufian ketawa membuatkan mereka berdua berpakat untuk kenakan dia.
“Jom Su.” Ajak Haryati.
“Jom.” Akur Suriati.
“Alhamdulillah... selamat aku dunia akhirat.” Abu Sufian lalu mengurut dadanya.
“Siapa cakap kau boleh balik?” Suriati tiba-tiba menerjah Abu Sufian.
“La.., tak boleh balik lagikah?”
“Memang tak boleh balik lagi. Kita orang akan jaga pintu depan dan belakang. Kalau berani datanglah redah.” Ugut Haryati. Mujur juga teman sekelas mereka itu polos orangnya, kalau tidak tentu mereka pula yang terkena. Oleh kerana Abu Sufian budaknya lurus bendul, membuatkan mereka berani untuk berkata begitu.
Oleh kerana hendak membalas dendam akibat malu yang tidak sudah, akhirnya mereka lepaskan perasaan itu pada Abu Sufian. Lama juga pelajar lelaki itu ditahan. Sehingga ke pukul dua petang baru dibenarkan pulang. Itu pun sebab pujukan Suriati dan juga tuntutan perut ini yang berkeriuk kelaparan.

**********************************************************************

Akibat rasa malu yang masih tidak berkesudahan, membuatkan Haryati sudah tawar hati untuk meneruskan mata pelajaran sains. Maka bermula dari tarikh tersebut, dia sudah tidak lagi berminat untuk mengikuti pembelajaran cikgu Hamzah. Lalu hadirlah akal nakalnya yang ditegah.
Setiap kali tibanya waktu matapelajaran sains, dia akan lesap dari kelas. Tempatnya ketika itu adalah di perpustakaan sekolah. Hinggakan ketidakhadirannya turut disedari oleh teman-teman sekelas. Masing-masing turut menasihati, namun hati Haryati tetap kebal dengan rasa yang masih menggunung.
Keadaan itu berlarutan hingga berbulan-bulan lamanya. Malah segala nasihat mahu pun cadangan langsung tidak diterima pakai oleh Haryati. Marah benar Haryati pada teman-teman sekelas kerana telah mengetawakannya hingga sesungguh hati.
Marahnya pada cikgu Hamzah pula berlipat kali ganda banyaknya. Kerana telah memalukannya di hadapan teman-teman semua. Tidak patut cikgu memperlakukan mereka sebegitu rupa. Bukan cikgu Hamzah tidak boleh menasihati dengan sebaik-baiknya. Ini tidak, dirotan pula di punggung, macamlah kedua-dua orang gadis ini jahat benar pada pandangan matanya.
Kemarahan ini reda apabila terjadinya suatu peristiwa. Ianya terjadi beberapa minggu sebelum menyambut hari guru. Ketika itu Haryati baru pulang dari sekolah. Oleh kerana waktu sudah melewati masa, dia mengambil keputusan untuk pulang ke rumah melalui jalan pintas. Tanpa disedari, rupa-rupanya jalan yang dilalui adalah tempat kutu rayau melepak. Waktu itu perjalannya sudah sampai ke pertengahan. Hendak berpatah balik terasa mustahil pula. Lalu diharung juga perjalanan yang sudah menghampiri rumahnya.
Namun dengan tidak disangka-sangka para jejaka yang tidak berapa tampan dan terlebih perasan itu menerpa ke arahnya. Haryati baru berura-ura hendak memulakan langkah seribu apabila tiba-tiba sebuah kereta berhenti betul-betul di hadapannya.
“Nak ke mana lewat-lewat hari begini?” tanya pemandu itu dari dalam kenderaanya.
“Nak balik cikgu.” Jawab Haryati dengan gentar.
“Jom cikgu hantar balik.” Pelawa cikgu Hamzah. Haryati memandang ke belakang. Para jejaka jalanan itu sedang memerhatinya dengan penuh dendam. Debaran di dada terasa begitu kencang. Lalu dengan tidak bertangguh Haryati menerima pelawaan dari cikgu Hamzah.
“Terima kasih cikgu.”  Dia terus membuka pintu kenderaan cikgu Hamzah lalu meloloskan diri ke dalamnya.
“Lain kali kalau balik dari sekolah jangan ikut jalan sini. Bahaya.” Pesan cikgu Hamzah sebaik sahaja kenderaannya meluncur meninggalkan kawasan tersebut. Haryati akur. Sesungguhnya Haryati bersyukur kerana telah diselamatkan oleh seseorang di saat dia memerlukan bantuan. Rupa-rupanya telahannya mengenai cikgu Hamzah tidak benar sama sekali. Cikgu Hamzah bukanlah seperti mana yang difikirkan.
“Terima kasih cikgu, kerana menumpangkan saya.” Ucap Haryati sebaik sahaja tiba di hadapan rumahnya. Haryati lalu membuka tali pinggang keledar dan membuka pintu kereta. Kepulangannya telah menyasar hingga ke pukul tiga petang. Harap-harap abah tidak mengamuk seperti biasa. Fikirnya.
Selepas mengalami peristiwa yang sebegitu rupa, Haryati insaf dengan sesungguhnya. Dia sudah tidak merajuk lagi. Hatinya sudah dapat menerima akan apa yang telah berlaku. Semua yang terjadi adalah kesalahannya. Bukan sesengaja cikgu ingin berbuat begitu. Kalau dia tidak terkinja-kinja di celah bingkai tingkap yang pecah, tidaklah mereka menerima bahanyanya.

**********************************************************************

Besok adalah hari guru. Haryati awal-awal lagi sudah menyediakan sesuatu. Dia ingin menyambutnya dengan bersungguh-sungguh. Kalau tahun-tahun yang lalu dia selalu beralasan untuk tidak melibatkan diri, tapi hari ini sudah tidak seperti itu lagi.
Haryati tersenyum giran sepanjang pagi itu. Bersamanya terselit sesuatu untuk diberi pada guru. Jika teman-teman melihat aksinya yang sebegitu, sudah tentu mereka tersenyum penuh terharu.
Acara pagi dimulakan dengan ucapan ringkas dari cikgu kelas. Selepas selesai ucapan, para guru bertimpa-timpa menjengah ke tingkatan Lima Emas. Kesibukan yang dirasai pada hari itu bagai tidak cukup tangan. Menu hidangan mereka pada kali ini adalah bihun sup dan juga sate yang ditempah khas.
Para guru datang silih berganti. Namun seseorang yang ditunggu-tunggu masih tidak berkunjung. Hati Haryati sudah berentak tidak terhingga. Kenapa cikgu Hamzah tidak menjengukkan muka. Tidakkah dia tahu inilah saat yang ditunggu-tunggu? Hinggalah ke penghabisan waktu, guru yang ingin diketemu tidak muncul-muncul. Dia menjadi resah gelisah. Mungkinkah cikgu ada urusan peribadi, ataupun sengaja tidak mahu menghadirkan diri. Kepala Haryati sudah pening memikirkan perkara yang terjadi.
Lalu dia melangkah menuju ke bilik guru. Menjengah sahaja di tempat cikgu Hamzah, dilihat mejanya begitu bersih dan tersusun segala perkakasan. Dilihat cikgu Zaiton begitu leka dengan buku catatannya. Haryati lalu mendekati guru mata pelajaran Geografi itu.
“Assalammualaikum cikgu. Boleh saya tumpang bertanya.” Cikgu Zaiton lalu memanggungkan kepala.
“Ya, ada apa?”
“Cikgu Hamzah tidak hadirkah pada hari ini cikgu?” tanya Haryati penuh sopan.
“Awak tak tahu lagi tentang cikgu Hamzah?”
“Tahu tentang apa cikgu?” tanya Haryati pula dengan penuh teruja.
“Cikgu Hamzah sudah berpindah sekolah. Dia tak beritahu pada pelajar-pelajarnya?” beritahu cikgu Zaiton, lalu menyoal pula kemudiannya.
“Tidak.” Kalau itu hati Haryati sudah tidak enak. Sebak pula sudah semakin terasa. Macam mana pula dia boleh ketinggalan mengetahui tentang pertukaran cikgu Hamzah? Lama difikir-fikirkannya, hinggalah dia tersedar tentang kekhilafannya berada di situ hingga mengganggu tumpuan cikgu Zaiton. Akhirnya Haryati pun memohon diri untuk berlalu.
“Saya pulang dulu cikgu. Assalammualaikum.” Haryati terus pulang ke rumah. Namun pemikirannya masih sibuk dengan pelbagai kemungkinan. Lama dia bermenung, akhirnya barulah Haryati tersedar bahawa semua ini adalah dari kesilapannya sendiri. Dia tidak pernah hadirkan diri ke kelas cikgu Hamzah. Kenapa pula dia harus diberitahu tentang pertukaran cikgu sainsnya?
Kala itu perasaan kesal datang bertimpa-timpa. Mana hendak diduga naluri keinsafannya bertukar sebegitu rupa. Pada hari itu Haryati menangis semahu-mahunya. Dia tidak sempat meminta maaf dari cikgu Hamzah. Dia juga tidak sempat menghadiahkan sesuatu sebagai ucapan terima kasih yang tidak terhingga. Tangisan lara itu melarat hingga ke malam hari santak ke lena. Bangun pada keesokan paginya, hati Haryati sudah kembali seperti biasa.
Kini barulah disedari bahawa, kekesalannya tidak mampu memutarkan masa. Apa yang terjadi biarlah dijadikan iktibar untuk semua. Haryati memandang pada bungkusan hadiah yang terletak di atas meja. Lalu hatinya pun berbisik.
Selamat hari guru cikgu Hamzah. Jasamua tidak dapatku lupa hingga bila-bila. Semoga cikgu beroleh bahagia walau di mana saja cikgu berada.


                        SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU

No comments:

Post a Comment