Powered By Blogger

Sunday 9 November 2014

HAI, ADIK MANIS (BAB 10)



BAB 10




Sampai di halaman rumah, Isma lihat pintu rumah tertutup rapat. Dia melangkah menuju ke rumah sebelah, menjengah kalau-kalau Cik Tom ada atau tidak. Baharu sahaja jengah, Cik Tom tunjukkan muka.
“Isma dah sampai?” terus Cik Tom meluru keluar.mukanya nampak teruja. Dia membuka pintu pagar dan menyambut kepulangan Isma.
“Mari, masuk ke rumah Cik Tom dulu. Mak Is tak ada di rumah. Ada kat hospital.” Beritahu Tom kepada gadis polos di hadapannya. Beg pakaian di tangan Isma diambil dan dibawa masuk ke dalam rumahnya. Isma menurut masuk ke rumah Tom.
“Duduklah, Is. Nanti Cik Tom buatkan air.”
“Eh, tak payah Cik Tom.” Tegah Isma, dia sambar tangan Cik Tom agar tidak bersusah-susah.
“Eh tak  apalah… kan Is baru sampai, penat pun tak habis lagi.” Balas Tom.
“Is singgah kejap je ni, Cik Tom. Is nak ke hospital, jenguk mak.” Dia ingatkan ada motor di rumah, sebab itu dia terus balik ke rumah. Katanya mahu naik motor sahaja pergi jengah emak. Tapi motor tak ada, kereta pun tak ada.
“Nanti kita pergi sekali, Is. Cik Tom pun nak pergi jengah emak Is jugak nanti. Lagi pun Is nak pergi naik apa waktu-waktu sekarang ni? Nak tunggu bas, lambat.” Beritahu Tom.
Is pun nak minta tumpang dengan Cik Tomlah ni. Tolong tumpangkan Is ke hospital. Is ingatkan ada motor, tu yang Is balik dulu ke rumah. Kalau tahu tadi, Is turun depan hospital je. Tunggu sampai waktu melawat.” Kata Isma. Terpaksalah dia meminta pertolongan Cik Tom jugaklah nampaknya untuk hantar dia ke hospital.
“Motor, kereta semua budak tu angkut habis, Is. Buruk sungguh perangai Zira tu. Geram je Cik Tom bila ingat-ingat balik. Habis duit emak kamu dia kikis, dia tinggalkan orang tua tu macam itu je. Jumpa dengan Cik Tom, tahulah macam mana Cik Tom nak belasah budak tu.” Tom meluahkan sakit hatinya bila Isma sebut fasal motor. Geram sangat, dia bila sebut balik tentang itu. Kerana anak bela itulah porak peranda jadinya anak beranak ini. Tak sedar diuntung!
Bukan dia menuduh semua anak angkat begitu. Tidak semua… tetapi hendak mengambil anak angkat pun tengok-tengoklah dahulu asal usul keturunannya. Jangan pula nanti apabila dewasa, emak bapa angkat pun dianiayanya.
“Dah la Cik Tom. Is dah tak nak ingat lagi dah pasal dia. Is pun balik sini cuma nak jaga mak.” Isma memang anak yang baik. Bermacam-macam Zira buat padanya, macam-macam Milah marahkan dia, tetapi sedikit pun dia tidak simpan dalam hati. beralih hari, bila emaknya sakit, dia balik juga ke mari untuk jaga emak dia. Zira tu, macam-macam dia dapat. Dari kasih sayang sampailah ke harta benda. Tetapi bila sudah dikikis semua, langsung dia tidak balik-balik jenguk muka lagi sampai ke sudah.
“Kamu memang anak yang baik, Is. Cuma emak kamu je yang tak nampak kebaikan anak sendiri. Nampak anak angkat jugak yang lebih dari segala-galanya.” Tom menyentuh belakang tangan Isma. Memujuk dan cuba membasuh lukanya yang semalam. Namun tanpa Tom sedar, luka yang telah lama dirawat, tertetas kembali apabila dia ungkitkan kembali tentang perkara itu.
Isma menunduk penuh luka. Dia tidak ada lagi kata-kata untuk memujuk hatinya. Dia sudah lama memaafkan kesilapan emak. Malah dia tidak layak pun untuk marah atau sakit hati kepada emak. Jasa, budi dan susah payah emak melahirkan dan membesarkan dia pun dia tidak mampu balas. Inikan pula hendak menyalahkan emak.
Tom beralih pandang ke ruang dinding. Jam sudah menunjukkan pukul sebelas pagi. “Jom kita makan dulu. Nanti lepas makan boleh kita jengah mak Is di hospital. Boleh bawak bekal untuk dia sekali.” Ajak Tom.
Isma menyambut pelawaan. Sesungguhnya perut dia pun terasa pedih kerana masih belum masuk apa-apa makanan lagi sejak semalam. Seleranya sudah putus sejak mendapat perkhabaran tentang emak. Hari ini baharulah dia terasa lapar.
Usai makan, mandi dan menukar pakaian yang bersih, Isma dibawa oleh Tom menuju ke hospital. Kepada anak-anak sudah ditinggalkan pesan agar ambil kunci rumah dari Mak Cik JIha di sebelah kalau dia lambat pulang. Awal-awal pagi tadi Isma sudah menelefon mengatakan dia akan balik. Sebab itu awal-awal lagi dia sudah bersedia memasak dan meninggalkan pesan buat anak-anaknya. Selalunya begitulah, sejak Milah dimasukkan hospital, tiap-tiap hari dia pergi jengah sambil membawakan makanan untuk temannya itu. Anak-anak sudah boleh berdikari. Mereka boleh mengambil makan sendiri. Sebab itu dia tidak susah hati sangat.
Sampai di wad pesakit perempuan, Isma memanjangkan pandangan melihat kelibat emaknya. Dia menjurus dahulu ketika Cik Tom memakirkan kenderaannya. Dia sudah tidak sabar untuk berjumpa dengan emak. Tiba di katil terakhir dalam wad tersebut, dia lihat susuk tubuh seorang wanita yang bertubuh agak berisi sedang tidur dengan menghadap ke arah dinding. Hatinya jadi sebak. Air mata yang bergenang dia hapuskan perlahan-lahan. Kaki terus melangkah menghampiri katil itu. Sampai di tepi katil, dia letakkan beg di lantai. Kerusi ditarik dan dia duduk menahan nafas dan menahan gelodak rasa di dalam dadanya.
Isma lihat kaki emak masih membengkak. Nampak cekang dan merah serta berbalut. hatinya kembali tertikam sebak. Mahu dia kucup dan sentuh kaki itu meminta maaf dari emak. Kalaulah dia tidak tinggalkan rumah, tentu emak tidak jadi begitu. Ini tentu emak tidak menjaga makan dan minumnya dengan sempurna. Isma cuba menyabarkan hati. Dia tidak mahu menangis depan emak. Dia mahu emak lihat dia kuat. Setelah mententeramkan perasaan, Isma membuka mulut,
“mak…” apabila datang ketenangan dalam diri, dia panggil nama emak. Dia duduk menunggu kalau-kalau emak tidak mendengar suaranya. Mahu dia memanggil sekali lagi, tetapi sejurus selepasnya tubuh itu beralih perlahan-lahan. Lemah dan tidak bermaya tubuh itu beralih kepadanya. Saat pandangan mata berlaga, dia lihat kelopak mata tua itu bergenang air. Isma terus bangun dari kerusi dan capai tangan emak. Dia kucup lama sambil merambu-rambu air matanya. Rupanya dia tidak mampu menahan air mata di hadapan emak.
“Maafkan Is, mak.” Isma memohon maaf atas kesalahannya kerana telah meninggalkan rumah tanpa memberitahu emak. Malah setiap panggilan emak pun tidak pernah dia jawab selepas dia tinggalkan rumah. Begitu tega dia pergi dengan begitu sahaja tanpa jejak.
Milah meletakkan sebelah lagi tangannya di kepala Isma. Sebaknya kian menjadi-jadi. Dia yang bersalah, kenapa perlu Isma pula yang meminta maaf? Milah sudah tidak dapat bersuara. Dia pejamkan matanya rapat-rapat untuk menghalang air mata dari terus keluar.
Isma bangun, kemudian dia kucup muka emak bertalu-talu. Dia kedua-dua pipinya, di dahi, di hidung, di dagu, seperti yang pernah dia buat dahulu setiap kali dia mahu keluar rumah. Selesai dia mengucup muka emaknya, dia duduk di kerusi dan peluk lengan emak kejap-kejap.
“Is dah balik, mak. Is balik nak jaga mak.” Beritahu Isma. Suara berombak sendunya begitu ketara.
Milah tarik tangannya perlahan-lahan. Dia yang sudah membuka mata, mengalihkan muka ke sebelah. Dia hiba melihat anak itu. Dia rasa berdosa kerana telah menyakiti satu-satunya permata hatinya. Tangan tuanya menyapu air mata yang meleleh keluar dari kelopak mata. Drama sebabak itu disaksikan teman baik yang telah banyak berjasa. Dia juga turut merasa hiba apabila melihat pertemuan antara dua beranak di hadapannya.
“Sudahlah Milah, anak kau pun dah balik ni. Aku yang telefon dia ceritakan pasal kau. Dahlah, jangan merajuk lagi.” Sangkanya Milah sedang merajuk, sebab itu dia kalih muka ke sana. Tanpa dia tahu Milah tidak mampu memandang mmuka anaknya atas rasa bersalah.
Milah beralih memandang ke sini semula. Tom menarik kerusi dan duduk di sebelah Isma. Mangkuk tingkat yang diisi dengan sambal ikan haruan dan ayam goreng berempah diletakkan di atas drawer.
“Ni aku bawak makanan kesukaan kau. Kau nak makan?” Tom cuba lari dari suasana pilu itu. Lalu dia beralih tajuk agar tidak berlarutan kesedihan temannya.
“Nanti-nantilah dulu, Tom. Aku masih kenyang lagi.” Katanya. Berat suaranya keluar dari celah kerongkong.
“Nanti kalau kau lapar, makanlah.” Kata Tom.
“Tak apa, Cik Tom, nanti Is suapkan mak. Is tidur sini malam ni, tunggu mak.” Beritahu Isma. Milah pandang wajah anaknya dalam-dalam.
‘Sudi juga Is temankan mak, ya nak?’ Hatinya berkata-kata.
“Baguslah macam tu Is. Mak kamu pun dah dua hari di sini. Rasanya dua tiga hari lagi kalau kaki mak kamu tu sembuh, dah boleh balik dah tu.” Tom membelek-belek kaki Milah yang berbalut kemas. Masih nampak bengkaknya. Tetapi sudah sedikit surut berbanding hari mula dia hantar Milah ke sini.
“Ada doktor cakap apa-apa tadi Milah? Dah dapat keputusan ujiannya?” tanya Tom semula.
“Katanya asid dalam darah. Goutlah tu. Patutlah kaki aku bengkak.” Beritahu Milah.
“Dah tu,jatuh pulak lagi, tu yang semakin teruk tu.” Sambung Tom pula. Tangannya masih membelek dan menekan kaki Milah yang bengkak itu.
“Ni sakit tak ni aku pegang, Milah?” tanya Tom.
“Sakitlah, Tom. Rasa berdenyut-denyut.”
“Ada mereka bagi ubat?” tanya balas Tom pula.
“Ada tadi pagi dah makan ubat. Nanti lepas makan dia datang lagilah tu bagi ubat.”
“Tak apalah Milah. Sabarlah ya? Ni Isma pun dah balik ni, nanti cepatlah kau sembuh.” Tom kerling pada Isma di sebelah.
“Ya mak, Is akan jaga mak sampai sembuh. Mak usahlah risau.” Isma pegang tangan emaknya seraya berjanji. Milah sentuh tangan anaknya dan berikan senyum. Hatinya tenang sedikit. Kesedihannya sebentar tadi bagai dibawa pergi oleh angin.



No comments:

Post a Comment