Powered By Blogger

Monday 3 November 2014

HAI, ADIK MANIS (BAB 7)







                                                           BAB 7



“BAAAA!!!” Diba dan Dani terus menerpa sebaik sahaja Farid keluar dari pintu kereta. Sudah sebulan mereka menunggu kepulangan Farid. Bulan lepas, ketika mereka berkunjung ke Kuala Lumpur, Farid bagi tahu bahawa dia mendapat pertukaran ke Kedah. Seronok bukan main lagi Diba dan Dani  bila dengar tentang pertukarannya.
Farid terus duduk dan mendepangkan tangan kepada kedua-dua kembar berusia enam tahun itu. Sampai sahaja kepadanya, terus dia peluk kejap-kejap dan mencium di kedua-dua belah pipi mereka bagi melepas rindu.
“Dani dan Diba nakal tak ni?” tanya Farid penuh kasih.
Takde la ba. Mana nakal pun. Ni cuma abang ni je nakal sikit. Suka usik Diba.” Adu Diba hingga termuncung-muncung mulutnya.
“Mana ada… budak Diba ni manja sangat, ba. Macam budak kecik! Sikit-sikit nak nangis. Sikit-sikit nak nangis. Sakit telinga ni dengar tau, ba.” Adu Dani pula. Farid tergelak. Macam-macam kerenah budak-budak ini semasa membesar. Kalau jumpa dia, ada sahaja yang nak diacum.
“Sayang-sayang ba ni periksa dapat nombor berapa kali ni?”
“Mana dapat lagi, ba… baru je periksa.” Jawab Dani.
“La… ye ke? Boleh jawab tak periksa tadi?” Farid beralih pada Dani.
“Em… boleh.” Kata Dani selepas berfikir sebentar.
“Eleh,  senang je tu. Semua Diba boleh jawab. Betul semua tau, ba.” Pintas Diba pula tidak mahu kalah. Farid beralih pada Diba pula.
“Ehehehehe perasan, budak ni. Cikgu tak periksa lagi, mana tahu betul semua ke tidak? Huhuhuhu perasan la perasan!” Dani sudah mula mengusik. Dia jelir-jelir lidah dan kibas-kibas jari yang diletak di kedua-dua belah pipinya.
“Tengok Dani ni, ba! Jahat sangat, suka usik Diba!” Diba sudah menengking. Air matanya sudah bergenang dan bibir pula sudah tercebik-cebik hendak menangis.
“Sudah-sudah, sayang ba dua-dua orang, pandai. Dua-dua orang boleh dapat baik dalam periksa. Selepas dapat keputusan nanti, ba bawak jalan-jalan makan angin, nak?” Farid mula memujuk
Yeyyyy!!! Kedua-duanya sudah bersorak gembira. Hilang terus air mata yang menakung tadi. Usik mengusik pun sudah hilang.
“Farid… masuk dulu. Jangan dok layan sangat budak-budak berdua tu. Jom kita makan, ma dah sediakan makan petang tu. Baba pun dah tunggu kat dapur.” Bainun memanggil anaknya masuk.
“Jom, kita masuk. Apalah yang tokma masak kat dapur tu.”
“Bubur asyura, ba. Semalam tokma pulun kacau sorang-sorang.” Beritahu Diba.
“Ye, ba. Sampai menitik peluh dalam talam.” Sambung Dani pula. Kemudian kedua-duanya mengekek ketawa. Farid pun ikut ketawa bila kanak-kanak itu ketawa dengan bersungguh-sungguh.
Yalah, semalam mereka berdua tidak dapat lena kerana begitu seronok hendak menunggu Farid pulang keesokan harinya. Mereka jengah ke dapur, nampak tokma sedang kacau sesuatu di dapur. Bersungguh-sungguh tok ma buat kerja. Semasa hendak tuang bubur itu ke dalam talam, Dani nampak peluh penuh di muka tok ma. Tahu-tahu, setitis menitik ke dalam talam. Terus dia jerit,
“Tokma! Peluh dah jatuh tu!” terkejut tokmanya dan terus terlepas periuk yang dia pegang ke dalam talam tempat dia tuangkan bubur asyura. Habis berlekuk bubur itu di tengah-tengahnya. Mujur belum keras lagi.
“Mana dia! Tak adanya peluh tok ma dalam talam tu.” Tokma pun tengking jugak bila dia cakap terkejut-terkejut sambil tunding telunjuk hingga terbeliak biji mata.
“Ada… tadi tu dah jatuh dalam talam!” punyalah kuat suara Dani, sampai terjaga tokbanya dari tidur. Manakala Diba pula sudah terkising-kising sampai berkerenyot muka sebab geli geleman.
“Apalah… yang bising-bising ni? Nak tidur pun tak senang. Tak tidur lagi, kamu budak-budak?” jengah sahaja ke dapur, tokba tegur mereka pula.
“Jom la tidur. Eeiii geli la tok ma ni. Sampai jatuh peluh dalam talam.” Sambil berlalu pergi dari situ, sambil Dani merungut-rungut geli.
“Kamu jangan nak ngada-ngada ye? Tak adanya peluh tok ma jatuh dalam talam ni.” Marah betul tokma selepas itu. Terus mereka cabut lari dan masuk ke bilik takut tokma mengamuk pulak.
“Kamu jangan nak layan sangat cakap budak-budak tu, Farid. Karang, lagi sakan diorang merapu.” Jengul Bainun ketika Dani dan Diba sedang bermanja dengan ba mereka.
Diba peluk leher ba kejap-kejap. Dani pun serupa. Langsung mereka tidak hiraukan tokmanya yang tercegat sedang memandang mereka. Jegil tokma boleh tahan juga bila marah. Tetapi Dani dan Diba tak hairan langsung bila sudah ada ba bersama mereka. Kedua-dua minta didukung untuk dibawa ke dapur. Mujurlah ba sasa orangnya. Setakat budak-budak berdua macam mereka, sekali dia cempung saja.
“Barang-barang rumah kamu bila nak bawak balik sini, Farid?” tanya Bainun setelah mereka mengambil tempat masing-masing di meja makan.
“Tak banyak sangat pun barang saya, ma. Dua tiga benda je. Saya dah jual pada kawan-kawan. Barang-barang lain tu memang milik tuan rumah.” Beritahu Farid. Memang dia pulang dengan hanya membawa pakaian dan barang-barang peribadinya sahaja. Malas hendak mengangkut perabut yang tidak sebanyak mana dari Selangor sana ke Kedah sini. Sewa lori, upah itu ini, habis tak berbaloi. Lagi baik dia jual sahaja barang-barang perabotnya yang tidak sebanyak mana itu kepada kawan-kawan dengan harga murah.
“Tinggal dengan ma jelah ye? Dekat dengan budak-budak.” Pujuk Bainun.
Farid memulakan suapan tanpa memberikan jawapan kepada emaknya. Memang itu pun yang dirancang. Dia ingin pulang ke sini untuk dekat dengan Dani dan Diba. Itu jugalah yang diberitahu kepada emaknya sudah beberapa kali. Tetapi biasalah emak… walau banyak kali pun dia bagi tahu, tetapi emak masih ingatkan berkali-kali.
“Kamu mula kerja bila, Farid?” tanya Kadir yang hanya menjadi pendengar sahaja sejak tadi.
“Tiga hari, baba. Hari Ahad dah mula kerja.”
“Tiga harilah ye kamu cuti. Hmmm… boleh la rehat-rehat kat rumah sebelum mula kerja balik.” Kata Kadir.
“Tulah baba, kalau budak-budak ni tak periksa, boleh bawak jalan-jalan.”
“Alah ba… baru tadika je. Boleh ponteng apa. Bukan penting sangat pun.” Dani budak yang banyak cakap itu muka bagi idea cari pasal.
“Hah, kamu jangan nak buat pasal, Dani. Ada ke pulak main ponteng-ponteng sekolah? Tak kira la tadika ke apa, periksa tu penting tau? Ikut suka hati kamu je nak ponteng kelas, nanti tak pasal-pasal cikgu marah pulak.”  Kali itu Bainun sudah angkat suara. Diba kerling-kerling abangnya dan jelir-jelir lidah. Dani angkat penumbuk, mengacah-acah untuk tumbuk adiknya. Diba terus peluk tubuh Farid kejap-kejap. Macam itulah kerenah mereka berdua. Kadang-kadang kalau baik, baik… sangat macam tak boleh berpisah. Kalau datang waktu bergaduh, sampai payah nak lerai. Kalau datang nakal mereka tu, punya sakan mereka kenakan tokma dan tokba. Naik semput orang tua itu dengan kerenah dua beradik ini.
Farid tergelak melihat kerenah kedua-duanya. Sesekali dia balik ke sini, begitulah perangai mereka. Manja bukan main. “Jom kita makan. Apalah yang tokma masak ni, terliur ba tengok.” Farid lalu mencapai sepotong kuih asyura. Mahu masuk ke mulutnya, tetapi tiba-tiba Dani jerkah,
“Jangan makan ba! Ada racun!” dia tahan dengan tangan layak ultraman baru nak bertukar.
“Racun apanya!” marah betul Bainun dengan budak Dani ni. Geram je dia tengok bila ada dengan ba mereka.
“Ada la. Peluh tokma yang masuk dalam kuih tu  semalam racun la.” Dani keras membalas.
“Mana adanya? Kamu jangan nak ada-adakan cerit, Dani… karang tokma piat telinga kamu karang…” Bainun sudah mengacah dengan tangannya mahu piat telinga Dani. Manakala Diba pula sudah buat gedik-gedik kepala dan terhinggut-hinggut bahu sambil tutup mulut, geli membayangkan kalau-kalau ba masukkan kuih itu ke dalam mulut.
“Tak ada apa bendanya? Semalam punya banyak peluh tokma kat muka. Tahu-tahu dah menitik dalam talam. Lepas tu buat-buat tak perasan pulak.” Dani balas balik. Budak ini memanglah. Mulut tak ada insuran langsung!
“Jaga ye kamu Dani, jaga kamu.” Bainun berura-ura untuk bangun dan datang kepada Dani. Bukan bangun betul-betul pun, saja hendak menakut-nakutkan budak itu. Tetapi Dani lebih cepat peluk tubuh Farid kejap-kejap,
“baaa!!! Tokma dah jadi rasaksa! Tolong Dani!!!” gelak Farid tidak mahu putus melihat pertengkaran mulut kedua-duanya. Ma memang macam tu, dengan Dani dan Diba, bertekak macam nak berperang. Tapi pada hakikatnya, dia Sayang sangat-sangat pada kedua-duanya. Saja riuh-riuh mulut.
“Takpelah Dani… ba memang suka kalau kuih yang ada perasa peluh ni. Lagi rasa lemak masinnya.” Farid terus masukkan kuih sepotong di tangannya itu ke dalam mulut. Budak-budak berdua itu tercengang-cengang tengok. Kemudian kedua-duanya,
“Ueeeekkk!!! Gelinya!!!” Geli tekak mereka tengok ba makan kuih air peluh tokma.
Tergeleng-geleng Farid tengok kerenah kedua-duanya yang suka cari fasal dengan tokma mereka. Nakal sungguh!

No comments:

Post a Comment