Powered By Blogger

Monday 3 November 2014

HAI, ADIK MANIS (BAB 4)



BAB 4




SUDAH berkali-kali enjin dihidupkan, namun kereta itu masih buat hal. Meragam teruk keretanya hari ini. Merajuk sakan. Apalah pula rosaknya kali ini. Beberapa minggu lepas sudah masuk bengkel dah, akibat tangki minyak hitam bocor.
“Aiii… Farid, tak hidup-hidup lagi buah hati kamu tu?” sekali Abang Saad datang menjengah ketika dia dalam perjalanan hendak pulang.
“Entah merajuk apalah gamaknya kali ni, bang. Tak boleh hidup-hidup.” Peluh yang berminyak seluruh muka direlas dengan bahu.
“Bini kamu tu orang dah tak pakai lagi dah… beli baru jelah Farid.” Sambil menyantau lengan di bingkai pintu kereta, sambil Saad lepas sindir.
“Haish… mana boleh bang. Buah hati pengarang jantung, ni. Mana boleh tukar baru.” Kereta kesayangannya itu dibeli dari seorang uncle berketurunan Cina yang tinggal di Penang. Betapa lama dia mencari, akhirnya dapat jugak Toyota AE 86 ke tangannya. Ini semua gara-gara menggilai gambar wayang ‘Initial D’ yang diadaptasi dari sebuah komik dari Jepun yang telah ditayangkan di pawagam suatu ketika dahulu.
“Kamu tu dah tahap mampu beli kereta baru. Kereta ni dah layak masuk muzium je.” Balas Saad pula. Farid melebarkan sengih. Bukan dia tidak ada kereta baru. Ada… tetapi dia tinggalkan di Penang untuk kegunaan ayah supaya mudah ayah hendak menghantar dan mengambil Dani dan Diba dari sekolah. Bila balik ke Penang, selalunya dia angkut budak-budak tu pergi jalan-jalan dengan menaiki kereta Vios itu.
“Panggil tool carlah Farid. Kita bukan mekanik yang pandai baiki kerosakan kereta ni.” Saran Saad.
“Manjit dah balik dah, Abang Saad?” tanya Farid tentang Junior Technician dari bahagian jabatan bomba.
“Dah… awal-awal lagi dah cabut balik. Nak kejar date katanya.” Farid keluar dari perut kereta. Diikuti oleh Saad. Dia membuka bonet kereta dan memerhati bahagian enjin. Entah di mana sakitnya kereta ni. Dia sendiri pun tidak pakar tentang kerosakannya.
“Nak abang panggilkan tool car?” Saad bermurah hati untuk menolong.
“Abang ada nombornya?” habis berfikir, Farid ambil jalan mudah. Harap jenguk je, tak tahu nak buat apa, kacau jugak. Hari makin gelap.
“Ada… nombor kawan abang ni.” Lalu dikeluarkan telefon bimbit dari poket seluarnya dan mula mencari nama yang tertera. Selepas itu nama itu ditekan untuk dihubungi.
Waktu hampir maghrib baharulah tool car sampai. Farid menaiki keretanya dengan ditunda oleh tool car sampai ke bengkel. Abang Saad ikut dengan keretanya dari belakang. Sampai di bengkel, dia berjumpa dengan mekanik mereka.
“Start tak hidup-hidup, kereta ni dik. Entah apa masalahnya.” Seorang lelaki berambut lurus paras bahu dan comot mukanya dengan palitan minyak hitam datang mendekat sambil memerhati kawasan enjin.
“Kuncinya bang.” Lelaki itu meminta kuncinya.
“Ada dalam kereta.”  Terus lelaki kurus melidi itu masuk ke tempat duduk pemandu. Dia mula menghidupkan enjin kereta. Dua tiga kali dihidupkan, selepas itu dia keluar menuju ke bonet.
“Ni bateri ni bang. Kena tukar baru bateri ni. Dah berapa lama abang pakai bateri ni?” dia berdiri menyenget sambil tangan dicekak ke belakang pinggang.
“Entahlah, sejak beli mana pernah tukar-tukar lagi.”
“Baterilah tu. Tapi kena tunggulah bang. Nak kena order dulu benda ni.” Beritahu lelaki itu.
“Berapa lama tu?”
“Dalam dua tiga hari macam tu.”
“Tak boleh cepat sikit ke?”
“Tak boleh bang. Besok, lusa, kitorang cuti. Hari selepas tu baru kita bukak bengkel. Baru boleh tukar. Abang datang empat hari lagi. Kitorang akan siapkan.”
Lelaki itu berjalan melihat-lihat kereta di hadapan matanya menunjukkan rasa kagum.
“Tak nak tukar enjin turbo ke ni bang? Enjin turbo lagi best pandu ni. Lagi sedap naik.”
“Sedang cari-cari jugak. Tapi abang tak tahulah tentang enjin turbo ni. Dengar kawan-kawan cakap, best jugak tukar enjin turbo.”
“Enjin versi turbo ni bang, enjin standard dia, 4A GE, 4AGEz untuk supercahrger dan 4A GET. Dia boleh jana 140 sampai 160 HP walaupun bersesaran 1.6 . Nak nak pulak kalau ada light weight chassis. Fullamak, bang… memang seronok la pandu.”
Sepatah haram pun dia tak faham apa yang budak muda itu terangkan. Dia tidak pandai sangat tentang benda-benda ini. Setakat naik, servis, dia tahulah.
“Empat hari lagi ye, siap?” Farid bertanya kembali tentang keadaan keretanya. Dia tidak mahu Abang Saad tunggu lama-lama di situ. Dia pun ada anak bini juga di rumah. Ikutkan, dia memang tidak mahu menyusahkan Abang Saad, tetapi beria-ia benar Abang Saad hendak menghantarnya pulang ke rumah.
“Ye, bang.”
“Kalau macam tu, empat hari lagi abang datang ambil.” Katanya. “Janji siap ye?”
“Gerenti, bang. Jangan risau. Perkhidmatan kita on time punya.” Pandai pulak budak ni speaking. Farid kemudiannya mengikut langkah Abang Saad masuk ke keretanya. Proton Saga baru menderu pergi membelah waktu malam menuju ke destinasi.

SAMPAI sahaja di rumah, jam sudah menunjukkan pukul sebelas malam. Mereka sempat singgah solat di masjid tadi sebelum balik. Badan pun sudah letih, dia cuma fikir untuk tidur sahaja. Tetapi badan yang melekit ini minta untuk dibersihkan.
Farid bangun dengan letih menuju ke bilik mandi. Belum pun masuk, telefon bimbit berbunyi. Dia berpatah balik ke ruang tamu. Telefon bimbit di atas meja kopi diambil. Dia memandang ke skrin telefon. Panggilan dari emak.
“Assalammualaikum…”
“Waalaikumsalam, Farid. Dah makan, dah solat?” sebagai ibu, itulah yang ditanya dahulu setiap kali menelefon anak lelakinya.
“Dah, baru je selesai, ma.” Katanya tidak memberitahu perkara yang sebenar. Takut emaknya bising-bising lagi sebab masih gunakan kereta buruk itu. “Ada apa telefon jauh-jauh malam ni, ma?”
“Ni… ma dengan abah ingat nak bawak buda-budak tu turun KL. Nak pergi jenguk kamu sekali. Budak-budak ni, kalut sangat nak pergi sana.” Bainun terus ke pokok persoalannya.
“Biar betul ni, ma? Budak-budak tu cuti ke?”
“Belum cuti sekolah lagi, tapi beria-ia teringatkan kamu. Asyik cakap benda serupa je tiap-tiap hari, lemas telinga ma dengar. Tu yang bawa mereka ke sana tu.”
“Bila nak datangnya?” Farid bawa langkah dan duduk di kusyen semula. Tubuhnya yang terdedah tanpa baju, yang hanya bertuala, bersandar di kusyen.
“Awal-awal pagi besok kita bertolak.  Kamu cuti ke besok?”
“Saya cuti kalau besok, ma. Hari Ahad dah kerja.” Kerja shift macam dia, cuti memang tidak menentu.
“Dah tu nanti siapa nak ambik ma dekat stesen bas?”
“Datang dengan bas ke ma? Kenapa tak datang dengan kereta je?”
“Ayah kamu mana boleh memandu jauh-jauh. Mata mudah letih. Tu yang ma dan ayah nak pergi naik bas.”
“Dah tu, sekejap jelah datang sini? Kan hari Ahad diorang dah sekolah.”
“Pontenglah… Si Diba tu, sampai demam-demam teringatkan kamu. Tu yang baba ajak pergi tu. Malam Ahad ma dah kena bertolak balik tau, Farid. Budak-budak ni tak boleh ponteng lama-lama sangat. Diorang nak periksa.”
“Takpelah mak, besok kalau sampai stesen, bagi tahu ye?” pesan Farid.
“Baiklah, nanti ada apa-apa ma telefon. Kamu tu jaga diri. Jangan kerja kuat-kuat sangat. Tinggal sana sorang-sorang takde siapa jaga. Risau ma nilah! Suruh kawin tak nak.”
“Takde jodoh lagi mak… ada jodoh nanti, kahwin la saya.”
Hmmm… macam tulah kamu. Takpelah, ma nak letak telefon dah ni. Letih sangat pulak hari ni dengan kerenah budak-budak berdua tu. Assalammualaikum.”
“Waalaikumsalamwarahmatullah.”
“Waalaikumsalamwarahmatullah.” Tamat sahaja perbualan, Farid meneruskan niatnya. Selesai mandi, dia terus masuk ke bilik. Kerana begitu letih seharian hari ini, perut pun sudah kenyang selepas berhenti makan di luar tadi, mata pun terus lelap.

No comments:

Post a Comment