Powered By Blogger

Sunday 9 November 2014

HAI, ADIK MANIS (BAB 9)



BAB 9



Isma menangis teresak-esak. Mendengar perkhabaran tentang emak, dia sudah tidak senang duduk. Dia mahu pulang ke Kedah. Dia mahu tengok keadaan emak. Dia mahu jaga emak. Walau bagaimana rajuk sekali pun, wanita itulah yang melahirkannya.
“Is… kenapa ni? Kenapa? Kenapa menangis sampai macam ni? Cuba cerita kat akak.” Sebaik sahaja masuk ke pejabat, Samihah terkejut melihat Isma sedang menangis teresak-esak sambil menekup muka ke atas meja. Pertama kali dia tengok keadaan Isma begitu. Tentu ada masalah besar.
Samiha ambil kerusi dan duduk di sebelah Isma. Bahu gadis itu disentuh. “Isma… kalau ada apa-apa, cakap dengan kak. Ada masalah pun, bagitahulah. Is menangis macam ni akak pun tak tahu macam mana nak tolong.” Pujuk Samihah.
Isma angkat muka perlahan-lahan. Air matanya sudah basah di muka. Sambil tersendu-sendu menangis, dia beritahu Samihah, “mak di Kedah sakit, kak. Is nak balik tengok mak. Is nak jaga mak.” Menderu-deru air matanya tumpah semula. Terus bahu teman sepejabatnya menjadi tempat dia melabuhkan kesedihan.
““Dah, dah. Sabar ye, Is… sabar.” Samihah mengurut lembut kepala gadis yang menyembamkan muka di bahunya. Isma kemudiannya angkat muka perlahan-lahan. Dia menunduk dan cuba menghapuskan air mata.
“Bila Is nak balik Kedah? Ambil cuti, Is. Cuti Is banyak lagi kan?” pujuk Samihah apabila nampak Isma sudah tenang sedikit.
“Tak tahulah nak ambil cuti ke nak berhenti terus, kak. Is rasa Is akan lama di sana.” Luah Isma dengan tersekat-sekat suaranya.
“Jangan ambil keputusan terburu-buru, Is. Ambil cuti dulu. Sambil-sambil tu isi borang pertukaran tempat kerja. Nanti kalau ada kekosongan Is boleh bertukar bekerja di sana. Kalau berhenti nanti, rugi Is.” Sebagai seorang yang lebih tua, dia cuba memberikan pendapat agar Isma tidak menyesal di kemudian hari. Zaman sekarang ini bukan mudah hendak dapat kerja. Lebih-lebih lagi kerja dengan kerajaan. Ada pencen, ada banyak kemudahan, yang tidak sama dengan kerja-kerja lain.
“Entahlah kak, bila dengar berita pasal mak, fikiran Is jadi buntu dah. Tak tahu nak buat yang mana satu  dulu.”
“Sekarang ni Is pergi isi borang cuti selama satu minggu. Bila emak dah okey sikit nanti, datang kerja balik dan isi borang pertukaran tempat kerja.” Cadang Samihah. Isma mengangguk perlahan. Tangisannya sudah reda, tetapi sendunya masih ada.
Samihah sudah pulang ke meja kerjanya. Tinggal Isma sahaja yang sedang termenung di depan komputer teringatkan entah bagaimana keadaan emaknya di sana. Buruk-buruk pun, itulah emaknya. Kering-kering hati pun, wanita itulah yang melahirkannya. Sayang dia terhadap emak tidak pernah luak walaupun kasih emak lebih kepada Zira, anak angkat emak yang cantik dan manja itu.
Masih Isma ingat lagi kenangan yang membuatkan hati Isma begitu terjerut luka dengan tindakan emak sebelum dia patah hati dan menerima tawaran kerja di Kuala Lumpur,
Hasil jual tanah milik arwah abah yang telah ditukar nama kepada emak sebelum arwah meninggal dunia akhirnya tergadai juga apabila emak tidak mampu lagi untuk menanggung cukai tahunan memandangkan pendapatan mereka setelah peninggalan abah tidaklah seberapa. Lalu kepada pihak pemaju, geran itu bertukar tangan. Keputusan emak benar-benar tidak mendapat persetujuan hati Isma, namun emak berkeras juga untuk melepaskannya.
“Sayang, mak. Itulah satu-satunya peninggalan arwah abah. Kita bukan ada harta benda lain lagi.” Pujuk Isma agar emaknya berfikir dua kali.
“Tanah tu langsung tak mendatangkan hasil, Is. Kian tahun kian bertangguh jugak hutang piutang kita untuk bayar cukai. Mak tak mampu, Is. Sebab tu mak ambil keputusan nak jual je tanah arwah abah tu.”
“Tapi mak… kita kan boleh berusaha. Nanti bila Is dah kerja, Is tolonglah mak selesaikan hutang-hutang tu.” Isma masih tidak putus berharap.
“Bilanya, Is? Bila Is nak kerja? Kalau setakat Is kerja kantin sekolah tu banyak mana sangat yang Is dapat? Tu, untuk belanja dapur tu pun Is yang tanggung. Belanja adik tak apalah, mak boleh gunakan duit pencen abah. Tu tanah tu, tiap-tiap tahun nak kena bayar cukai. Hasilnya tak ada. Semakin lama nanti semakin bertimbun hutang piutang kita, Is…”
Isma mengeluh. Dia tidak bersetuju, tetapi kerana desakan hidup mereka, dia tidak boleh berbuat apa-apa.
“Dah tu, mak betul-betul ke nak jual pada pihak pemaju tu?” Isma angkat muka dan pandang muka emaknya lama-lama.
“Macam tulah Is, cadangnya.”
Maka selepas perbincangan itu, tanah milik arwah abah yang berjumlah empat ekar itu pun berubah tangan. Oleh kerana tanah itu berada di hulu kampung, pihak pemaju memberi alasan bahawa ia payah untuk dimajukan lalu bayarannya pun telah dikurangkan. Dari jumlah sembilan puluh ribu ringgit Malaysia pada mulanya, bertukar kepada tujuh puluh ribu ringgit Malaysia. Emak bersetuju dengan buta-buta sahaja tanpa memberitahu Isma. Apabila sudah terjual, baharulah emak ceritakan kepada Isma tentang perjanjian yang dibuat itu. Betapa pada waktu itu Isma rasa terkilan sangat dengan keputusan emak.
Rata-rata telah Isma ceritakan tentang penjualan tanah itu, ramai yang beritahu bahawa emak mudah-mudah sahaja ditipu oleh pihak pemaju kerana kata mereka, tanah milik arwah abah itu, ada jalan belakang yang akan tembus ke kawasan hi-tech, iaitu kawasan perindustrian berteknologi tinggi. Kalau tanah itu dimajukan, maka kawasan itu berada di tempat yang mana hartanahnya bernilai beratus-ratus ribu menjangkau jutaan ringgit.
Yang paling seronok sekali menerima berita penjualan tanah itu siapa lagi, Ziralah. Selepas duit berada dalam simpanan, macam-macam yang diminta oleh Zira. Zira yang baru lepasan tingkatan lima itu sudah pandai meminta macam-macam. Apabila meminta emak belikan motosikal, emak turutkan sahaja. Katanya mudah, nanti kalau emak sakit atau apa-apa, dia boleh bawa emak pergi hospital. Isma hanya memandang emak memboros apabila duit sudah berada di dalam tangan. Untuk menegah, Isma sudah tidak berdaya. Pernah Isma nasihatkan emak sekali dahulu, tetapi tengkingan sahaja yang dia dapat dari emak bersama sindiran dari pihak Zira sekali.
“Mak… bukit kalau ditarah selalu-selalu, akan licin jugak suatu hari nanti. Jangan membazir, mak. Cuma itu je yang kita ada untuk meneruskan hidup. Kalau tak penting janganlah mak keluarkan duit tu. Tunggu je dividen nanti, mak ambillah. Gunalah, kalau  mak nak guna untuk buat apa-apa pun.”
“Is… sepanjang hidup mak, inilah pertama kali mak pegang duit banyak-banyak. Mak teringin jugak nak beli itu ini, pergi sana sini. Bila lagi Is, sementara mak masih kuat ni. Nanti bila mak dah terlantar sakit tak berdaya nak berjalan, duit-duit semua tu dah tak ada guna dah untuk mak.” Kata emak dengan luruh suaranya mengumpan simpati dari hati Isma.
“Entah, dia ni. Dengki!” Zira cuba mengipas bara bagi situasi itu jadi makin panas. Mukanya terherot-herot dengan penuh menyakitkan hati.
“Is bukan apa mak… itu pun untuk simpanan masa tua mak jugak. Nanti mak nak ke Mekah ke… kut-kut mak sakit ke… boleh jugak gunakan duit tu.” Isma masih tidak putus memujuk.
“Is ni macam tak suka je mak gunakan duit arwah ayah tu. Apa, Is nak cekau sorang-sorang ke duit-duit tu semua? Sukalah ye, kalau emak mati nanti Is boleh bolot semua duit-duit jual tanah arwah ayah tu?” suara emak sudah tinggi, membuatkan hati Isma terus tersentap dan pedih. Dia sebak bila emak kata begitu. Dia tak nak pun duit jual tanah arwah ayat tu. Kalau pun dia nak, mungkin untuk bahagiannya sendiri. Tetapi dia tidak pernah meminta. Biar emak bahagikan sendiri untuknya. Tetapi selama tanah itu dijual, tak ada sekali pun emak memberi apa-apa kepadanya. Mak cuma lebihkan kepada Zira sahaja dalam apa-apa hal. Apa yang Zira mintak semuanya emak beri. Lupakah emak siapakah darah daging sendiri?
“Kak Is ni memanglah mak, kalau dah dasar dengki tu, memang dengkilah tak habis-habis. Lantak dialah mak kalau dia tak nak gunakan duit tu pun. Mak guna je. Bila lagi mak nak berjalan sana sini, beli itu ini kalau tak waktu mak tengah kuat ni. Kalau dah nak berjalan pun dah tak larat, merangkak-rangkak, nak pakai rantai emas apa ke nama lagi dah? Buat menyusah diri?” Zira cucuk jarum lagi. Isma tidak terkata apa-apa. Dia bangun dari kerusi di meja dapur dan beransur masuk ke dalam bilik sambil mengesat air matanya.
Seminggu selepas itu, Isma nampak emak beli rantai emas pula. Untuk Zira pun ada. Untuknya pun ada sekali.
“Nah Is, mak belikan rantai emas untuk Is. Is suka tak?” emak datang ke biliknya dan suakan rantai emas yang entah berapa ribu harganya. Dia nak kalungkan ke leher pun takut. Takut kena ragut.
“Tak apalah mak. Mak simpan je. Is tak biasa pakai rantai-rantai semua ni.” Bukan Isma menolak, tetapi dia tidak berani untuk pakai barang kemas memandangkan dia cuma berbasikal ke sekolah untuk tolong meniaga di kantin. Nanti takut di pertengahan jalan kena ragut, putus pula lehernya.
“Is ni memang kan? Kalau mak tak belikan untuk Is, mulut asyik nak berbunyi tak sudah-sudah. Bila orang dah beli, tak nak pulak! Dah tak nak, sudahlah! Mak bagi pada Zira je.” Entah dengan tidak semena-mena emak terus mengamuk. Terus emak keluar dari bilik dalam keadaan marah. Tidak tahulah silapnya di mana. Rasa Isma, dia cakap elok-elok dengan emak. Tapi emak sahaja yang terlebih sensitif.
Kecil hati Isma bila emak cakap begitu.  Dia cuma suruh emak tolong simpankan untuknya. Bukan dia tolak pemberian emak. Kenapalah mak tak pernah faham hatinya? Ketika pertarungan perasaan itu berlaku, pada waktu itulah Isma mendapat tawaran kerja di Kuala Lumpur. Isma beritahu emak tentang tawaran itu. Tapi lain pula penerimaan emak,
“Is nak tinggalkan maklah ye? Pergilah Is. Mak ni Quran buruk. Ada pun orang tak peduli. Tak ada pun orang tak kisah.” Bila emak tarik nasib begitu, Isma jadi berbelah bahagi,
“Bukan macam tu mak… inilah saja satu-satunya peluang baik untuk Is menambah pendapatan keluarga kita. Untuk masa depan Is sendiri. Takkan selama-lamanya Is nak kerja di kantin sekolah tu mak. Kerja yang Is dapat ni walaupun cuma kerani, tapi ada pencen.” Isma cuba memujuk.
“Pergilah. Pergi, kalau Is nak pergi sangat. Tinggal je mak sorang-sorang dekat sini. Cakap mak bukan orang nak dengar lagi dah. Dah besar, dah pandai, semua dah pakat ada otak.” Keras juga mak balas kepada Isma, membuatkan Isma betul-betul patah hati. Terus dia ambil keputusan tidak jadi pergi. Lagi seminggu dia patut lapor diri, tetapi kalau begitu keadaannya, dia rasa dia patut lupakan sahaja keinginannya.
Dua hari selepas emak merajuk sakan dengannya, Isma nampak kereta Proton terpakir elok  di hadapan rumah ketika dia balik kerja. Emak pula pada waktu itu keluar dari pintu rumah dalam keadaan senyum yang tidak sudah-sudah. Seperti terhapus habis rajuk emak selama dua hari itu.
“Cantik tak Is kereta baru kita?” betapa Isma rasa terkejut apabila emak cakap itu kereta baru mereka. Siapa nak bawak kereta itu? Dia bukan ada lesen. Emak pun tak ada lesen? Nak tunggu tengok saja ke kereta itu depan rumah? Itu yang bermain-main dalam kepalanya pada waktu itu.
“Nak buat apa kereta ni mak? Is bukannya ada lesen nak bawak kereta ni.” Katanya lagak lurus bendul.
“Alah… jangan bimbang. Zira ada lesen. Mak dah suruh dia ambil lesen hari tu, sekali dengan lesen motor.” Apabila emak kata begitu, berdesup! Terasa seperti panah tertusuk ke jantungnya. Kali itu bukan setakat kecil hati lagi, Isma rasai. Tetapi lebih dari itu.
Terus luruh wajah Isma di hadapan emak. Mungkin emak faham, sebab itu emak menghampiri dan mengusap bahunya lalu berkata,
“Is ada emak… Zira tu, dia tak ada sesiapa. Dia tak pernah kenal emak dan ayah dia sendiri. Kurang kurang pun Is ni, ada emak dan pernah ada abah. Mak dan abah sayangkan Is tak sama dengan sayangkan Zira. Biarlah dia, Is. Dah itu yang dia mahu. Bagi jelah pada dia asalkan dia tak rasa terasing dari kita.” Itu pujukan emak kepadanya. Tetapi sudah terlambat, hati Is sudah benar-benar terasa dengan tindakan emak. Is tak nak lagi tanggung rasa terkilan hati ini sampai bila-bila. Is tak nak lagi terus-terusan menyalahkan emak. Tak logik langsung alasan yang emak bagi pada Is tu. Is tak dapat terima! Tidak mak! Sampai bila-bila pun!
Dia terus melangkah masuk ke dalam bilik. Kali itu dia menangis semahu-mahunya. Mak tak pernah pun nak pelawa dia ambil lesen kereta ke apa. Tapi kalau Zira, macam-macam mak beri. Is nak mintak itu ini pun Is segan. Walaupun mak, adalah emak Is sendiri. Tapi Zira…
Malam itu Isma ambil keputusan nekad, dia mesti pergi dari sini. Dia tak nak lagi beritahu apa-apa pada emak. Dia tidak mahu lagi dengar emak marah-marah dan sindir dia seperti selalu.
Pada malam itu ketika emak dan Zira sedang nyenyak lena, ketika itulah Isma keluar secara senyap-senyap dan terus angkut kain baju untuk ke stesen bas. Dia menunggu di sana sehingga kaunter tiket dibuka, dan terus ke Kuala Lumpur untuk menyahut cabaran di tempat asing. Sejak dari itulah Isma tidak pernah lagi pulang ke rumah. Raya pun, dia hanya raya di sana. Raya cara orang terasing, di rumah sewa sorang-sorang diri di rumah.
Isma mengelap pelupuk matanya yang kembali basah. Kenangan lalu mengimbau ingatannya lagi. Sudah setahun lebih dia tinggalkan rumah. Rupanya dalam sekejap waktu macam-macam telah terjadi dalam keluarga mereka. Zira entah ke mana, tinggalkan emak sorang-sorang diri menanggung sakit pening.
‘Is akan balik, mak. Is akan balik jaga mak.’ Bisik Isma dalam hati.




1 comment:

  1. Assalammualaikum. Salam perkenalan. Harap awak sudi lawati blog saya. http://balqisluv99.blogspot.my/?m=1 . Arigatou. :)

    ReplyDelete