Powered By Blogger

Monday, 3 November 2014

HAI, ADIK MANIS (BAB 7)







                                                           BAB 7



“BAAAA!!!” Diba dan Dani terus menerpa sebaik sahaja Farid keluar dari pintu kereta. Sudah sebulan mereka menunggu kepulangan Farid. Bulan lepas, ketika mereka berkunjung ke Kuala Lumpur, Farid bagi tahu bahawa dia mendapat pertukaran ke Kedah. Seronok bukan main lagi Diba dan Dani  bila dengar tentang pertukarannya.
Farid terus duduk dan mendepangkan tangan kepada kedua-dua kembar berusia enam tahun itu. Sampai sahaja kepadanya, terus dia peluk kejap-kejap dan mencium di kedua-dua belah pipi mereka bagi melepas rindu.
“Dani dan Diba nakal tak ni?” tanya Farid penuh kasih.
Takde la ba. Mana nakal pun. Ni cuma abang ni je nakal sikit. Suka usik Diba.” Adu Diba hingga termuncung-muncung mulutnya.
“Mana ada… budak Diba ni manja sangat, ba. Macam budak kecik! Sikit-sikit nak nangis. Sikit-sikit nak nangis. Sakit telinga ni dengar tau, ba.” Adu Dani pula. Farid tergelak. Macam-macam kerenah budak-budak ini semasa membesar. Kalau jumpa dia, ada sahaja yang nak diacum.
“Sayang-sayang ba ni periksa dapat nombor berapa kali ni?”
“Mana dapat lagi, ba… baru je periksa.” Jawab Dani.
“La… ye ke? Boleh jawab tak periksa tadi?” Farid beralih pada Dani.
“Em… boleh.” Kata Dani selepas berfikir sebentar.
“Eleh,  senang je tu. Semua Diba boleh jawab. Betul semua tau, ba.” Pintas Diba pula tidak mahu kalah. Farid beralih pada Diba pula.
“Ehehehehe perasan, budak ni. Cikgu tak periksa lagi, mana tahu betul semua ke tidak? Huhuhuhu perasan la perasan!” Dani sudah mula mengusik. Dia jelir-jelir lidah dan kibas-kibas jari yang diletak di kedua-dua belah pipinya.
“Tengok Dani ni, ba! Jahat sangat, suka usik Diba!” Diba sudah menengking. Air matanya sudah bergenang dan bibir pula sudah tercebik-cebik hendak menangis.
“Sudah-sudah, sayang ba dua-dua orang, pandai. Dua-dua orang boleh dapat baik dalam periksa. Selepas dapat keputusan nanti, ba bawak jalan-jalan makan angin, nak?” Farid mula memujuk
Yeyyyy!!! Kedua-duanya sudah bersorak gembira. Hilang terus air mata yang menakung tadi. Usik mengusik pun sudah hilang.
“Farid… masuk dulu. Jangan dok layan sangat budak-budak berdua tu. Jom kita makan, ma dah sediakan makan petang tu. Baba pun dah tunggu kat dapur.” Bainun memanggil anaknya masuk.
“Jom, kita masuk. Apalah yang tokma masak kat dapur tu.”
“Bubur asyura, ba. Semalam tokma pulun kacau sorang-sorang.” Beritahu Diba.
“Ye, ba. Sampai menitik peluh dalam talam.” Sambung Dani pula. Kemudian kedua-duanya mengekek ketawa. Farid pun ikut ketawa bila kanak-kanak itu ketawa dengan bersungguh-sungguh.
Yalah, semalam mereka berdua tidak dapat lena kerana begitu seronok hendak menunggu Farid pulang keesokan harinya. Mereka jengah ke dapur, nampak tokma sedang kacau sesuatu di dapur. Bersungguh-sungguh tok ma buat kerja. Semasa hendak tuang bubur itu ke dalam talam, Dani nampak peluh penuh di muka tok ma. Tahu-tahu, setitis menitik ke dalam talam. Terus dia jerit,
“Tokma! Peluh dah jatuh tu!” terkejut tokmanya dan terus terlepas periuk yang dia pegang ke dalam talam tempat dia tuangkan bubur asyura. Habis berlekuk bubur itu di tengah-tengahnya. Mujur belum keras lagi.
“Mana dia! Tak adanya peluh tok ma dalam talam tu.” Tokma pun tengking jugak bila dia cakap terkejut-terkejut sambil tunding telunjuk hingga terbeliak biji mata.
“Ada… tadi tu dah jatuh dalam talam!” punyalah kuat suara Dani, sampai terjaga tokbanya dari tidur. Manakala Diba pula sudah terkising-kising sampai berkerenyot muka sebab geli geleman.
“Apalah… yang bising-bising ni? Nak tidur pun tak senang. Tak tidur lagi, kamu budak-budak?” jengah sahaja ke dapur, tokba tegur mereka pula.
“Jom la tidur. Eeiii geli la tok ma ni. Sampai jatuh peluh dalam talam.” Sambil berlalu pergi dari situ, sambil Dani merungut-rungut geli.
“Kamu jangan nak ngada-ngada ye? Tak adanya peluh tok ma jatuh dalam talam ni.” Marah betul tokma selepas itu. Terus mereka cabut lari dan masuk ke bilik takut tokma mengamuk pulak.
“Kamu jangan nak layan sangat cakap budak-budak tu, Farid. Karang, lagi sakan diorang merapu.” Jengul Bainun ketika Dani dan Diba sedang bermanja dengan ba mereka.
Diba peluk leher ba kejap-kejap. Dani pun serupa. Langsung mereka tidak hiraukan tokmanya yang tercegat sedang memandang mereka. Jegil tokma boleh tahan juga bila marah. Tetapi Dani dan Diba tak hairan langsung bila sudah ada ba bersama mereka. Kedua-dua minta didukung untuk dibawa ke dapur. Mujurlah ba sasa orangnya. Setakat budak-budak berdua macam mereka, sekali dia cempung saja.
“Barang-barang rumah kamu bila nak bawak balik sini, Farid?” tanya Bainun setelah mereka mengambil tempat masing-masing di meja makan.
“Tak banyak sangat pun barang saya, ma. Dua tiga benda je. Saya dah jual pada kawan-kawan. Barang-barang lain tu memang milik tuan rumah.” Beritahu Farid. Memang dia pulang dengan hanya membawa pakaian dan barang-barang peribadinya sahaja. Malas hendak mengangkut perabut yang tidak sebanyak mana dari Selangor sana ke Kedah sini. Sewa lori, upah itu ini, habis tak berbaloi. Lagi baik dia jual sahaja barang-barang perabotnya yang tidak sebanyak mana itu kepada kawan-kawan dengan harga murah.
“Tinggal dengan ma jelah ye? Dekat dengan budak-budak.” Pujuk Bainun.
Farid memulakan suapan tanpa memberikan jawapan kepada emaknya. Memang itu pun yang dirancang. Dia ingin pulang ke sini untuk dekat dengan Dani dan Diba. Itu jugalah yang diberitahu kepada emaknya sudah beberapa kali. Tetapi biasalah emak… walau banyak kali pun dia bagi tahu, tetapi emak masih ingatkan berkali-kali.
“Kamu mula kerja bila, Farid?” tanya Kadir yang hanya menjadi pendengar sahaja sejak tadi.
“Tiga hari, baba. Hari Ahad dah mula kerja.”
“Tiga harilah ye kamu cuti. Hmmm… boleh la rehat-rehat kat rumah sebelum mula kerja balik.” Kata Kadir.
“Tulah baba, kalau budak-budak ni tak periksa, boleh bawak jalan-jalan.”
“Alah ba… baru tadika je. Boleh ponteng apa. Bukan penting sangat pun.” Dani budak yang banyak cakap itu muka bagi idea cari pasal.
“Hah, kamu jangan nak buat pasal, Dani. Ada ke pulak main ponteng-ponteng sekolah? Tak kira la tadika ke apa, periksa tu penting tau? Ikut suka hati kamu je nak ponteng kelas, nanti tak pasal-pasal cikgu marah pulak.”  Kali itu Bainun sudah angkat suara. Diba kerling-kerling abangnya dan jelir-jelir lidah. Dani angkat penumbuk, mengacah-acah untuk tumbuk adiknya. Diba terus peluk tubuh Farid kejap-kejap. Macam itulah kerenah mereka berdua. Kadang-kadang kalau baik, baik… sangat macam tak boleh berpisah. Kalau datang waktu bergaduh, sampai payah nak lerai. Kalau datang nakal mereka tu, punya sakan mereka kenakan tokma dan tokba. Naik semput orang tua itu dengan kerenah dua beradik ini.
Farid tergelak melihat kerenah kedua-duanya. Sesekali dia balik ke sini, begitulah perangai mereka. Manja bukan main. “Jom kita makan. Apalah yang tokma masak ni, terliur ba tengok.” Farid lalu mencapai sepotong kuih asyura. Mahu masuk ke mulutnya, tetapi tiba-tiba Dani jerkah,
“Jangan makan ba! Ada racun!” dia tahan dengan tangan layak ultraman baru nak bertukar.
“Racun apanya!” marah betul Bainun dengan budak Dani ni. Geram je dia tengok bila ada dengan ba mereka.
“Ada la. Peluh tokma yang masuk dalam kuih tu  semalam racun la.” Dani keras membalas.
“Mana adanya? Kamu jangan nak ada-adakan cerit, Dani… karang tokma piat telinga kamu karang…” Bainun sudah mengacah dengan tangannya mahu piat telinga Dani. Manakala Diba pula sudah buat gedik-gedik kepala dan terhinggut-hinggut bahu sambil tutup mulut, geli membayangkan kalau-kalau ba masukkan kuih itu ke dalam mulut.
“Tak ada apa bendanya? Semalam punya banyak peluh tokma kat muka. Tahu-tahu dah menitik dalam talam. Lepas tu buat-buat tak perasan pulak.” Dani balas balik. Budak ini memanglah. Mulut tak ada insuran langsung!
“Jaga ye kamu Dani, jaga kamu.” Bainun berura-ura untuk bangun dan datang kepada Dani. Bukan bangun betul-betul pun, saja hendak menakut-nakutkan budak itu. Tetapi Dani lebih cepat peluk tubuh Farid kejap-kejap,
“baaa!!! Tokma dah jadi rasaksa! Tolong Dani!!!” gelak Farid tidak mahu putus melihat pertengkaran mulut kedua-duanya. Ma memang macam tu, dengan Dani dan Diba, bertekak macam nak berperang. Tapi pada hakikatnya, dia Sayang sangat-sangat pada kedua-duanya. Saja riuh-riuh mulut.
“Takpelah Dani… ba memang suka kalau kuih yang ada perasa peluh ni. Lagi rasa lemak masinnya.” Farid terus masukkan kuih sepotong di tangannya itu ke dalam mulut. Budak-budak berdua itu tercengang-cengang tengok. Kemudian kedua-duanya,
“Ueeeekkk!!! Gelinya!!!” Geli tekak mereka tengok ba makan kuih air peluh tokma.
Tergeleng-geleng Farid tengok kerenah kedua-duanya yang suka cari fasal dengan tokma mereka. Nakal sungguh!

HAI, ADIK MANIS (BAB 6)




                                                           BAB 6



Isma ketuk-ketuk pen ke atas meja sambil berfikir-fikir. Fikir tentang emak, fikir tentang hidupnya di sini hidup tentang zaman mudanya yang sudah beralih waktu. Fikir tentang, adakah mana-mana jejaka yang sudi mengambilnya sebagai isteri. Macam-macam datang melilau dalam kotak fikirannya.


Entah kenapa hari ini fikirannya menjurus ke situ pula. Mungkin sebab dia kesunyian setelah Kiki berpindah rumah selepas berkahwin. Sekarang tinggallah dia sorang-sorang diri di rumah flat itu. Seram juga bila Sarah kerja shif malam dan tinggal dia sorang-sorang diri di rumah. Semasa Kiki ada, meriahlah sikit rumah itu. Sebab Kikik ni kaki merapu dan kaki buat lawak.
‘Sampai bila la… aku nak hidup macam ni? Pergi balik kerja, melangut dalam rumah, masak, makan, tidur. Tak ada social life langsung.’
“Menung apa ni Isma, sampai berkerenyot sakan dahi tu kak nampak.” Tegur Samihah sebaik sahaja balik dari kantin sekolah.
Isma yang tadinya sedang menongkat dagu di hadapan komputer, terus duduk tegak-tegak. Dia tidak keluar makan. Cuma bawa bekal dari rumah. Kena jimat belanja ketika tinggal di bandar besar macam ini.
“Tak ada apalah kak… fikir tentang masa depan.” Jawabnya dengan nada begitu lemah.
“Kahwin jelah Isma… senang, ada orang jaga.” Cadang Samihah dengan tidak  berapa bijak.
“Nak kahwin dengan siapa saya ni kak? Calon pun takde.” Isma merendah diri.
“Eh, segak-segak, kulit putih kuning macam ni pun tak ada calon? Memilih sangatlah tu gamaknya…” Samihah yang sudah menarik kerusi dari meja kerjanya dan dibawa datang duduk di sisi Isma.
“Macam Is ni kak, manalah nak memilih sangat pun. Kalau datang yang baik-baik, yang boleh jaga Is, Alhamdulillah… Is rasa bersyukur sangat-sangat. Tapi kalau datang yang Is kena sara hidup dia, ha… itu yang tak sior nak dengar tu.” Dia pun berfikir panjang jugak. Tak naklah kerana kalut nak bersuami sampai tidak pilih mana yang sesuai dan mana yang tidak sesuai untuk memimpin rumahtangga mereka nanti.
“Nak kak tolong carikan?” senyum Samihah sudah makin lebar. Dia sudah ada calon yang sesuai untuk Isma. Budak baik, lurus dan tak banyak cekadak ini memang manjadi intaian para jejaka untuk dijadikan ibu rumahtangga. Cuma dia je yang tak pandai cari peluang.
“Eh, tak payahlah kak… mungkin Is tak ada jodoh lagi. Kalau dah ada jodoh nanti kahwinlah Is.” Dia teringat balik lelaki yang sudah beberapa kali dia terserempak di Kuala Lumpur ini. Pertama di hentian bas. Kedua dalam perut bas. Muka ala-ala DJ Dave yang dia sangka kaum kerabat Bangla itu. Kacak jugak orangnya tapi gelap sikit. Selepas mereka terserempak buat kali kedua, tidak pernah dia jumpa lagi lelaki itu.
Hish! Teringat lelaki yang dia tak kenal tu buat apa? Tak pasal-pasal! Yelah… dia tinggal di sini, mana pernah bergaul dengan kaum lelaki. Kalau ada pun cuma Din, budak pejabat tu je. Bila kenal dengan lelaki lain yang agak menarik penampilannya, dia teringat sikit punya lama. Payah nak lupa raut muka macam tu. Banyak kali juga dia keluar ke Bandar, kut-kut terserempak dalam bas lagi. Tapi, kecewa je dapat. Lama-lama dia sudah malas hendak beria-ia lagi dah. Hiduplah dia macam biasa, macam sebelumnya iaitu sebelum dia kenal dengan lelaki itu.
“Ada surat kak.” Din datang hantar surat walaupun belum masuk waktu kerja. Rajinnya Din ni. Tak pernah berkira waktu.
Surat untuk Pengetua diletak asing, untuk kakitangan pula diasingkan. Sekeping surat untuk Samihah. Itu yang Samihah teruja sangat tu. Entahkan dari laki dia yang dihantar berkursus ke luar negara tu. Pelik je Samihah ni. Teknologi terkini punyalah berlambak. Siap boleh Skype lagi. Kau boleh tengok muka aku, aku boleh tengok muka kau. Boleh dia berhantar-hantar surat? Tulis dengan tulisan tangan pulak tu, bukan ditaip. Buat lenguh jari.
Ketika Samihah sedang membelek-belek surat dan mengagihkan surat yang Din bawa, tiba-tiba hujan turun dengan lebat di luar sana. Tiba-tiba je hujan. Tak bagi warning dulu. Mahu Isma tak terjengah-jengah? Tapi yelah… sekarang inikan sudah masuk musim kemarau? Dah mula nak berhujanlah tu. Tapi waktu-waktu ini hujan yang bersimbah ke bumi cuma seminggu sekali sahaja. Tidaklah kerap sangat.
“Nak tahu tak kenapa hari ni hujan?” dalam tak semena-mena Din tanya soalan pelik. Isma yang terkujat-kujat tengok hujan terus kalih tengok Din.
“Pasal apa?” tanya dia.
“Pasal hari ni hari Isnin. Kan tiap-tiap kali hari Isnin hujan?” jawab Din sambil tunjuk muka serius.
La… itu je jawapannya? Buang karan je aku tanya. Isma mahu bangun untuk ke bilik air sebelum loceng waktu rehat tamat. Tetapi hidungnya terbau-bau sesuatu. Dia kalih ke sekeliling kalau-kalau ada sisa makanan berkulat yang mereka terlupa buang.
Samihah pun sudah terkerut-kerut hidung memutar mencari dari mana datangnya bau itu. Dihantar angin dari luar sanakah hingga pekat sangat baunya. Bukan tak tahu, tandas sekolah pun belum tentu bersih sangat apabila sudah beratus-ratus pelajar menggunakannya.
“Bau apa busuk sangat ni? Sampai ketat pekat lubang hidung aku bau.” Samihah masih terhidu-hidu bau itu datang dari arah mana. Sehinggalah diberitahu oleh Din,
“Saya terkentut tadi. Senak sangat, angin. Semalam makan biji nangka.”
Ya ALLAH… betapa punya tidak berperikemanusiaan pengakuan Din itu membuatkan Isma rasa macam nak debik je muka dia sebiji. Nasib baik dia lurus bendul dan ada masalah. Kalau tidak… memang nahaslah dia kerjakan budak ini.
Manakala Samihah pula sudah tidak berfikir panjang lagi. Terus dia ambil buku log dan hentam bahu Din kuat-kuat. Din yang lurus bendul dan bertubuh kurus kering itu beria-ia menahan dengan tangan.
“Kau nak bagi akak mati ke Din, kasi gas beracun sampai macam tu sekali punya busuk? Entah ke sampai ke ulu perut akak dah hidu gas beracun kau.” Geram sangat Samihah, meletup mulutnya marahkan Din.
“Tak sengaja, dah terkentut. Dok tahan-tahan jugak tadi, tapi terkentut jugak.” Tengok tu, cara dia jawab. Tunjuk muka tak bersalah pulak lagi. Mahu orang tak sakit hati? Isma malas nak tengok muka Din dah. Dia terus kalih muka. Cuma Samihah sahaja yang membebel sorang-sorang marahkan Din.
Sedar tentang kesalahannya, Din terus berlalu dari situ. Reaksi dia macam tak bersalah. Ya, Din mana pernah tunjuk reaksi muka yang lain selain reaksi polosnya itu walau dalam apa keadaan sekali pun. Nak tunjuk muka garang pun tak reti. Nak tunjuk muka marah pun tak reti.
Isma kasihan bila dengar cerita tentang apa yang pernah berlaku kepada Din suatu ketika dahulu. Sebab itu dia tidak pernah marah Din lebih-lebih. Asalnya dia bukannya budak yang begitu. Tetapi kerana kemalangan jalanraya, dia mengalami kecederaan di bahagian otak. Dengar katanya, kecederaan itu mengakibatkan kerosakan kekal.
Din… Din… satu hari kau tak buat hal, bukan Dinlah nama kau kan?
“Akak baru je nak rekomenkan kau dengan Din. Dia buat hal pulak. Kalau macam tu punya gaya, mahu kau mati dalam wap beracun dia.” Samihah yang masih belum puas melunaskan sakit hati, merapu meraban pula hingga ke tahap tidak seronok telinga Isma nak dengar.
“Ish, kak ni. Tak nak la Is. Belum sampai masa lagi Is nak kawin. Bila dah sampai masa nanti, tak payah orang tolong carikan. Jodoh tu akan datang sendiri. Isma memberi jawapan tahap yakin. Samihah tidak boleh kata apa-apa. Sebab jodoh ini urusan Tuhan. Dia tak nak tergesa-gesa dalam membuat pilihan. Lagi pun dia baru masuk umur dua puluh lima tahun. Masih muda lagi untuk menjadi seorang isteri.
Isma teringat kembali lelaki yang sudah dua kali buat jantungnya bagai direnjat elektrik. Bukan jodoh mereka agaknya. Selepas pertemuan kali kedua, mereka langsung tidak tersempak di mana-mana lagi dah. Hailah… abang hitam manis. Ke manalah kau pergi sampai tak pernah lagi nampak batang hidung. Entah kenapa hari ini aku jadi rindu pulak pada abang hitam manis itu. Macam angau sorang-sorang je lakunya.

HAI, ADIK MANIS (BAB 5)



BAB 5




Nampak sahaja  kepala rapidKL, tergesa-gesa Isma berlari ke hentian bas. Itulah, melenggang mak inang sangat sampai tak sedar diri. Tak pasal-pasal kena angkat kain selisih untuk berlari.
Mahunya dia tak melenggang mak inang? Tiba-tiba ternampak kelompok anak muda sedang berlepak. Dari tergelut-gelut melangkah, terus dia tukar watak. Bila di‘weewit’ dek mamat-mamat itu, lagi sakanlah dia terkepit-kepit berjalan. Tahap ratu sungguh!
Panjat sahaja tangga bas, Isma mengelap peluhnya yang merenik di muka. Selepas menyerahkan tambang ke mesin duit, dia mula mencari tempat kosong. Ramai pulak hari ini ye? Pakai cantik-cantik belaka. Siap dengan sari dan barang kemas segala benda. Akhirnya dapat tempat kosong. Itu pun nyaris-nyaris direbut oleh seorang lelaki India. Isma menarik nafas lega. walaupun teman sebelah adalah seorang jejaka, dia tetap bersyukur sebab dia ada tempat duduk.
Selepas menarik nafas beberapa kali, dia pandang ke sebelah. Eh! Rasa macam kenal. Lelaki yang berkulit agak gelap itu pun pandang jugak ke arahnya. Dia bagi senyum. Isma balas dengan senyum juga. Baru dia ingat, lelaki itulah yang menyelamatkan dia dari kelompok Mamat Bangla yang tak ada adab sopan tempohari. Dia masih ingat lagi dagu bontot epal lelaki itu. Dagu sweet, kata orang. Lelaki inilah. Walaupun dia kelompok Bangla juga, tetapi dia baik, tak macam mereka tu. Pakaian dia pun nampak selesa je biji mata tengok.
“Jumpa lagi kita kan?” tegur lelaki itu.
Eh, eh, dia cakap Bahasa Melayu fasih betul la. Memang sah-sah la dia bukan Bangla. Mungkin dia orang India. Isma teka lagi. Ah, tak kisahlah. Asalkan orang sini dia boleh je terima dengan ramah tamah. Sebab merekakan satu Malaysia. Warna warni kehidupan, gitu.
“Aah. Macam berjodoh je.” Nah kau! Ramah terlebih la pulak Isma kali ni. Bila nampak lelaki di sebelahnya tersenyum lebar, baru dia sedar bahawa dia terlebih cakap. Terus dia diam sebab termalu.
Bas berhenti lagi ambil penumpang. Berwarna warni suasana di dalam perut bas pada kali itu. Nak ke mana la… mereka ramai-ramai sangat ni. Cantik-cantik pulak tu dengan pakaian tradisional. Macam dekat set pengambaran Bollywood pun ada.
“Ramai betul hari ni. Nak ke mana la… ramai-ramai sangat ni.” Isma seperti merungut sorang-sorang. Tetapi Farid terdengar rungutan yang tercetus di hujung bibirnya. Terus dia balas,
“Hari ni kan Thaipusam. Nak pergi Batu Cave la…” jawab Farid bagi pertanyaan sendiri-sendiri Isma tadi.
Oh… patut la cantik sangat sahabat handai kita hari ni. Kali ini Isma jawab dalam hati. Lelaki ini pun nak pergi Batu Cavelah agaknya. Tu pasal dia pakai lawa-lawa ni. Isma curi-curi kerling ke sisi, melihat pakaian lelaki ini yang berkemeja putih lengan panjang yang dilipat di bahagian lengan beserta seluar slack. Kacak je nampak. Macam hero Tamil! Hero Tamil pun hero Tamil la, dia tak memilih… asalkan orang Malaysia.
Dapat kahwin dengan orang bukan Melayu pun bagus jugak. Dia pun dapat pahala. Perkahwinan campur, anak-anak gerenti kacak lawa dan bijak. Dia berkulit putih cerah. Lelaki itu berkulit gelap, anak-anak mereka nanti gerenti ala-ala Hindustani. Hah! Isma sudah mula merapik-rapik. Macam ye ye je.
Panas sungguh suasana di dalam perut bas ini. Berkuap! Isma mengipas-ngipas tubuhnya dengan buku nota yang diambil dari beg tangan. Kurang-kurang pun ada angin sikit. Air-cond dalam bas ini tidak terasa langsung. Dengan bau wangi bercampur baur lagi, sampai buat kepalanya pening!
Apabila bas sampai di kawasan Batu Cave, dia lihat lelaki itu panjangkan leher dan terjengah-jengah keluar. Bas berhenti lama di situ untuk menurunkan penumpang. Mungkin dia pun nak turun jugak kut. Fikir Isma.
“Nak turun Batu Cave ke?” dia baru berura-ura untuk pusing kaki ke sebelah untuk beri laluan. Tup-tup lelaki itu berpaling pantas pandang mukanya dan tunjuk muka pelik. Aku silap cakap ke tadi? Isma terkebil-kebil biji mata.
Sejurus selepasnya lelaki itu kembali duduk dan tidak beralih ke mana-mana lagi dah. Dia sandarkan kepala dan terus pejamkan mata. Lagi-lagilah Isma jadi pelik. Ingat kut nak turun sini. Orang tanya pun marah. Isma mencebik. Dia pebetulkan duduk dan pandang ke hadapan.
Takkan lelaki Melayu kut? Tapi kulit dia gelap. ‘Dey! Ingat orang Melayu tak ada yang kulit gelap ke? Berlambak-lambak tau! Kau tu je yang tak perasan.’ Isma berperang dengan perasaannya sendiri.
Bila lelaki itu pejamkan mata, Isma curi-curi pandang mukanya. Bila ditilik lama-lama, baru dia perasan, lelaki itu agak kacak. Dengan hidung mancungnya, dengan dagu bontot epalnya, dengan bulu matanya yang lebat…
“Kacak sangat ke saya ni sampai awak pandang macam tu sekali?”
Omak! Terkejut Isma dibuatnya apabila lelaki itu bersuara tiba-tiba. Terus dia paling muka laju-laju. Termalu dia sedas! Sangkanya lelaki itu tak sedar. Macam mana pulak pejam mata pun dia boleh nampak? Ada guna kuasa psikik ke dia ni?
Nak tergelak pulak Farid bila tengok muka terkejut cik adik di sebelahnya ini. Tetapi dia tahan, tidak mahu gelak depan-depan. Ada-ada jelah cik adik ni. Ikut suka dia je cakap aku nak turun Batu Cave. Tak nampak ke aura kat muka aku ni? Aura ni aku sorang je yang ada tau? Bukan sembarang orang ada aura ni. Dah la tu, curi-curi pandang pulak. Macam mana orang tak tegur? Itu la… nakal lagi?
Tetapi cik adik di sebelah ni, buatlah muka polos ke… muka terkejut ke… muka hairan ke… tetap nampak manis. Manis pada tahi lalat di dagunya tu. Mungkin sebab itulah pada pertemuan mereka yang pertama kali dulu lancar sahaja mulutnya panggil gadis ini dengan panggilan manis. Nak tanya nama, malulah pulak. Panggil manis jelah. Manis, kelakarlah kau ni.
Sampai sahaja di lokasi untuk dituju, cepat-cepat Isma tekan loceng. Ketika bas masih bergerak, dia terus bangun berjalan untuk turun. Langsung dia tak pandang ke sebelah lagi, malu punya pasal. Hinggalah bas itu brek untuk berhenti,  Isma pegang penyandar bangku kuat-kuat. Nyaris-nyaris dia nak terhumban ke depan kerana tak dapat imbangkan diri. Turun dari tangga bas, dia sudah selamat dari malu besar.
Farid yang berada di atas bas menjengukkan kepala ke bawah. Nampak cik adik tadi membetulkan kain selisihnya yang diselak angin. Itu la… pakai lagi lawa-lawa sangat. Angin pun dah tergoda. Dia tergelak sendiri. Aku pakai sikit punya kacak hari ni, dia cakap aku nak turun Batu Cave? Melampau betul dia.
Ini, kalau tidak kerana keretanya masih perlu diperbaiki dan terpaksa tinggalkan di bengkel lagi dua tiga hari, tak ada pasallah aku nak naik bas awam. Bersesak-sesak macam ni sampai berpeluh hapak! Dek kerana ada urusan rasmi, terpaksalah aku sarungkan ke tubuh pakaian kacak ini. Tetapi disalah erti pulak oleh adik manis itu. Manis… manis… kau ni ada-ada jelah.