Powered By Blogger

Monday, 3 November 2014

HAI, ADIK MANIS (BAB 5)



BAB 5




Nampak sahaja  kepala rapidKL, tergesa-gesa Isma berlari ke hentian bas. Itulah, melenggang mak inang sangat sampai tak sedar diri. Tak pasal-pasal kena angkat kain selisih untuk berlari.
Mahunya dia tak melenggang mak inang? Tiba-tiba ternampak kelompok anak muda sedang berlepak. Dari tergelut-gelut melangkah, terus dia tukar watak. Bila di‘weewit’ dek mamat-mamat itu, lagi sakanlah dia terkepit-kepit berjalan. Tahap ratu sungguh!
Panjat sahaja tangga bas, Isma mengelap peluhnya yang merenik di muka. Selepas menyerahkan tambang ke mesin duit, dia mula mencari tempat kosong. Ramai pulak hari ini ye? Pakai cantik-cantik belaka. Siap dengan sari dan barang kemas segala benda. Akhirnya dapat tempat kosong. Itu pun nyaris-nyaris direbut oleh seorang lelaki India. Isma menarik nafas lega. walaupun teman sebelah adalah seorang jejaka, dia tetap bersyukur sebab dia ada tempat duduk.
Selepas menarik nafas beberapa kali, dia pandang ke sebelah. Eh! Rasa macam kenal. Lelaki yang berkulit agak gelap itu pun pandang jugak ke arahnya. Dia bagi senyum. Isma balas dengan senyum juga. Baru dia ingat, lelaki itulah yang menyelamatkan dia dari kelompok Mamat Bangla yang tak ada adab sopan tempohari. Dia masih ingat lagi dagu bontot epal lelaki itu. Dagu sweet, kata orang. Lelaki inilah. Walaupun dia kelompok Bangla juga, tetapi dia baik, tak macam mereka tu. Pakaian dia pun nampak selesa je biji mata tengok.
“Jumpa lagi kita kan?” tegur lelaki itu.
Eh, eh, dia cakap Bahasa Melayu fasih betul la. Memang sah-sah la dia bukan Bangla. Mungkin dia orang India. Isma teka lagi. Ah, tak kisahlah. Asalkan orang sini dia boleh je terima dengan ramah tamah. Sebab merekakan satu Malaysia. Warna warni kehidupan, gitu.
“Aah. Macam berjodoh je.” Nah kau! Ramah terlebih la pulak Isma kali ni. Bila nampak lelaki di sebelahnya tersenyum lebar, baru dia sedar bahawa dia terlebih cakap. Terus dia diam sebab termalu.
Bas berhenti lagi ambil penumpang. Berwarna warni suasana di dalam perut bas pada kali itu. Nak ke mana la… mereka ramai-ramai sangat ni. Cantik-cantik pulak tu dengan pakaian tradisional. Macam dekat set pengambaran Bollywood pun ada.
“Ramai betul hari ni. Nak ke mana la… ramai-ramai sangat ni.” Isma seperti merungut sorang-sorang. Tetapi Farid terdengar rungutan yang tercetus di hujung bibirnya. Terus dia balas,
“Hari ni kan Thaipusam. Nak pergi Batu Cave la…” jawab Farid bagi pertanyaan sendiri-sendiri Isma tadi.
Oh… patut la cantik sangat sahabat handai kita hari ni. Kali ini Isma jawab dalam hati. Lelaki ini pun nak pergi Batu Cavelah agaknya. Tu pasal dia pakai lawa-lawa ni. Isma curi-curi kerling ke sisi, melihat pakaian lelaki ini yang berkemeja putih lengan panjang yang dilipat di bahagian lengan beserta seluar slack. Kacak je nampak. Macam hero Tamil! Hero Tamil pun hero Tamil la, dia tak memilih… asalkan orang Malaysia.
Dapat kahwin dengan orang bukan Melayu pun bagus jugak. Dia pun dapat pahala. Perkahwinan campur, anak-anak gerenti kacak lawa dan bijak. Dia berkulit putih cerah. Lelaki itu berkulit gelap, anak-anak mereka nanti gerenti ala-ala Hindustani. Hah! Isma sudah mula merapik-rapik. Macam ye ye je.
Panas sungguh suasana di dalam perut bas ini. Berkuap! Isma mengipas-ngipas tubuhnya dengan buku nota yang diambil dari beg tangan. Kurang-kurang pun ada angin sikit. Air-cond dalam bas ini tidak terasa langsung. Dengan bau wangi bercampur baur lagi, sampai buat kepalanya pening!
Apabila bas sampai di kawasan Batu Cave, dia lihat lelaki itu panjangkan leher dan terjengah-jengah keluar. Bas berhenti lama di situ untuk menurunkan penumpang. Mungkin dia pun nak turun jugak kut. Fikir Isma.
“Nak turun Batu Cave ke?” dia baru berura-ura untuk pusing kaki ke sebelah untuk beri laluan. Tup-tup lelaki itu berpaling pantas pandang mukanya dan tunjuk muka pelik. Aku silap cakap ke tadi? Isma terkebil-kebil biji mata.
Sejurus selepasnya lelaki itu kembali duduk dan tidak beralih ke mana-mana lagi dah. Dia sandarkan kepala dan terus pejamkan mata. Lagi-lagilah Isma jadi pelik. Ingat kut nak turun sini. Orang tanya pun marah. Isma mencebik. Dia pebetulkan duduk dan pandang ke hadapan.
Takkan lelaki Melayu kut? Tapi kulit dia gelap. ‘Dey! Ingat orang Melayu tak ada yang kulit gelap ke? Berlambak-lambak tau! Kau tu je yang tak perasan.’ Isma berperang dengan perasaannya sendiri.
Bila lelaki itu pejamkan mata, Isma curi-curi pandang mukanya. Bila ditilik lama-lama, baru dia perasan, lelaki itu agak kacak. Dengan hidung mancungnya, dengan dagu bontot epalnya, dengan bulu matanya yang lebat…
“Kacak sangat ke saya ni sampai awak pandang macam tu sekali?”
Omak! Terkejut Isma dibuatnya apabila lelaki itu bersuara tiba-tiba. Terus dia paling muka laju-laju. Termalu dia sedas! Sangkanya lelaki itu tak sedar. Macam mana pulak pejam mata pun dia boleh nampak? Ada guna kuasa psikik ke dia ni?
Nak tergelak pulak Farid bila tengok muka terkejut cik adik di sebelahnya ini. Tetapi dia tahan, tidak mahu gelak depan-depan. Ada-ada jelah cik adik ni. Ikut suka dia je cakap aku nak turun Batu Cave. Tak nampak ke aura kat muka aku ni? Aura ni aku sorang je yang ada tau? Bukan sembarang orang ada aura ni. Dah la tu, curi-curi pandang pulak. Macam mana orang tak tegur? Itu la… nakal lagi?
Tetapi cik adik di sebelah ni, buatlah muka polos ke… muka terkejut ke… muka hairan ke… tetap nampak manis. Manis pada tahi lalat di dagunya tu. Mungkin sebab itulah pada pertemuan mereka yang pertama kali dulu lancar sahaja mulutnya panggil gadis ini dengan panggilan manis. Nak tanya nama, malulah pulak. Panggil manis jelah. Manis, kelakarlah kau ni.
Sampai sahaja di lokasi untuk dituju, cepat-cepat Isma tekan loceng. Ketika bas masih bergerak, dia terus bangun berjalan untuk turun. Langsung dia tak pandang ke sebelah lagi, malu punya pasal. Hinggalah bas itu brek untuk berhenti,  Isma pegang penyandar bangku kuat-kuat. Nyaris-nyaris dia nak terhumban ke depan kerana tak dapat imbangkan diri. Turun dari tangga bas, dia sudah selamat dari malu besar.
Farid yang berada di atas bas menjengukkan kepala ke bawah. Nampak cik adik tadi membetulkan kain selisihnya yang diselak angin. Itu la… pakai lagi lawa-lawa sangat. Angin pun dah tergoda. Dia tergelak sendiri. Aku pakai sikit punya kacak hari ni, dia cakap aku nak turun Batu Cave? Melampau betul dia.
Ini, kalau tidak kerana keretanya masih perlu diperbaiki dan terpaksa tinggalkan di bengkel lagi dua tiga hari, tak ada pasallah aku nak naik bas awam. Bersesak-sesak macam ni sampai berpeluh hapak! Dek kerana ada urusan rasmi, terpaksalah aku sarungkan ke tubuh pakaian kacak ini. Tetapi disalah erti pulak oleh adik manis itu. Manis… manis… kau ni ada-ada jelah.

HAI, ADIK MANIS (BAB 4)



BAB 4




SUDAH berkali-kali enjin dihidupkan, namun kereta itu masih buat hal. Meragam teruk keretanya hari ini. Merajuk sakan. Apalah pula rosaknya kali ini. Beberapa minggu lepas sudah masuk bengkel dah, akibat tangki minyak hitam bocor.
“Aiii… Farid, tak hidup-hidup lagi buah hati kamu tu?” sekali Abang Saad datang menjengah ketika dia dalam perjalanan hendak pulang.
“Entah merajuk apalah gamaknya kali ni, bang. Tak boleh hidup-hidup.” Peluh yang berminyak seluruh muka direlas dengan bahu.
“Bini kamu tu orang dah tak pakai lagi dah… beli baru jelah Farid.” Sambil menyantau lengan di bingkai pintu kereta, sambil Saad lepas sindir.
“Haish… mana boleh bang. Buah hati pengarang jantung, ni. Mana boleh tukar baru.” Kereta kesayangannya itu dibeli dari seorang uncle berketurunan Cina yang tinggal di Penang. Betapa lama dia mencari, akhirnya dapat jugak Toyota AE 86 ke tangannya. Ini semua gara-gara menggilai gambar wayang ‘Initial D’ yang diadaptasi dari sebuah komik dari Jepun yang telah ditayangkan di pawagam suatu ketika dahulu.
“Kamu tu dah tahap mampu beli kereta baru. Kereta ni dah layak masuk muzium je.” Balas Saad pula. Farid melebarkan sengih. Bukan dia tidak ada kereta baru. Ada… tetapi dia tinggalkan di Penang untuk kegunaan ayah supaya mudah ayah hendak menghantar dan mengambil Dani dan Diba dari sekolah. Bila balik ke Penang, selalunya dia angkut budak-budak tu pergi jalan-jalan dengan menaiki kereta Vios itu.
“Panggil tool carlah Farid. Kita bukan mekanik yang pandai baiki kerosakan kereta ni.” Saran Saad.
“Manjit dah balik dah, Abang Saad?” tanya Farid tentang Junior Technician dari bahagian jabatan bomba.
“Dah… awal-awal lagi dah cabut balik. Nak kejar date katanya.” Farid keluar dari perut kereta. Diikuti oleh Saad. Dia membuka bonet kereta dan memerhati bahagian enjin. Entah di mana sakitnya kereta ni. Dia sendiri pun tidak pakar tentang kerosakannya.
“Nak abang panggilkan tool car?” Saad bermurah hati untuk menolong.
“Abang ada nombornya?” habis berfikir, Farid ambil jalan mudah. Harap jenguk je, tak tahu nak buat apa, kacau jugak. Hari makin gelap.
“Ada… nombor kawan abang ni.” Lalu dikeluarkan telefon bimbit dari poket seluarnya dan mula mencari nama yang tertera. Selepas itu nama itu ditekan untuk dihubungi.
Waktu hampir maghrib baharulah tool car sampai. Farid menaiki keretanya dengan ditunda oleh tool car sampai ke bengkel. Abang Saad ikut dengan keretanya dari belakang. Sampai di bengkel, dia berjumpa dengan mekanik mereka.
“Start tak hidup-hidup, kereta ni dik. Entah apa masalahnya.” Seorang lelaki berambut lurus paras bahu dan comot mukanya dengan palitan minyak hitam datang mendekat sambil memerhati kawasan enjin.
“Kuncinya bang.” Lelaki itu meminta kuncinya.
“Ada dalam kereta.”  Terus lelaki kurus melidi itu masuk ke tempat duduk pemandu. Dia mula menghidupkan enjin kereta. Dua tiga kali dihidupkan, selepas itu dia keluar menuju ke bonet.
“Ni bateri ni bang. Kena tukar baru bateri ni. Dah berapa lama abang pakai bateri ni?” dia berdiri menyenget sambil tangan dicekak ke belakang pinggang.
“Entahlah, sejak beli mana pernah tukar-tukar lagi.”
“Baterilah tu. Tapi kena tunggulah bang. Nak kena order dulu benda ni.” Beritahu lelaki itu.
“Berapa lama tu?”
“Dalam dua tiga hari macam tu.”
“Tak boleh cepat sikit ke?”
“Tak boleh bang. Besok, lusa, kitorang cuti. Hari selepas tu baru kita bukak bengkel. Baru boleh tukar. Abang datang empat hari lagi. Kitorang akan siapkan.”
Lelaki itu berjalan melihat-lihat kereta di hadapan matanya menunjukkan rasa kagum.
“Tak nak tukar enjin turbo ke ni bang? Enjin turbo lagi best pandu ni. Lagi sedap naik.”
“Sedang cari-cari jugak. Tapi abang tak tahulah tentang enjin turbo ni. Dengar kawan-kawan cakap, best jugak tukar enjin turbo.”
“Enjin versi turbo ni bang, enjin standard dia, 4A GE, 4AGEz untuk supercahrger dan 4A GET. Dia boleh jana 140 sampai 160 HP walaupun bersesaran 1.6 . Nak nak pulak kalau ada light weight chassis. Fullamak, bang… memang seronok la pandu.”
Sepatah haram pun dia tak faham apa yang budak muda itu terangkan. Dia tidak pandai sangat tentang benda-benda ini. Setakat naik, servis, dia tahulah.
“Empat hari lagi ye, siap?” Farid bertanya kembali tentang keadaan keretanya. Dia tidak mahu Abang Saad tunggu lama-lama di situ. Dia pun ada anak bini juga di rumah. Ikutkan, dia memang tidak mahu menyusahkan Abang Saad, tetapi beria-ia benar Abang Saad hendak menghantarnya pulang ke rumah.
“Ye, bang.”
“Kalau macam tu, empat hari lagi abang datang ambil.” Katanya. “Janji siap ye?”
“Gerenti, bang. Jangan risau. Perkhidmatan kita on time punya.” Pandai pulak budak ni speaking. Farid kemudiannya mengikut langkah Abang Saad masuk ke keretanya. Proton Saga baru menderu pergi membelah waktu malam menuju ke destinasi.

SAMPAI sahaja di rumah, jam sudah menunjukkan pukul sebelas malam. Mereka sempat singgah solat di masjid tadi sebelum balik. Badan pun sudah letih, dia cuma fikir untuk tidur sahaja. Tetapi badan yang melekit ini minta untuk dibersihkan.
Farid bangun dengan letih menuju ke bilik mandi. Belum pun masuk, telefon bimbit berbunyi. Dia berpatah balik ke ruang tamu. Telefon bimbit di atas meja kopi diambil. Dia memandang ke skrin telefon. Panggilan dari emak.
“Assalammualaikum…”
“Waalaikumsalam, Farid. Dah makan, dah solat?” sebagai ibu, itulah yang ditanya dahulu setiap kali menelefon anak lelakinya.
“Dah, baru je selesai, ma.” Katanya tidak memberitahu perkara yang sebenar. Takut emaknya bising-bising lagi sebab masih gunakan kereta buruk itu. “Ada apa telefon jauh-jauh malam ni, ma?”
“Ni… ma dengan abah ingat nak bawak buda-budak tu turun KL. Nak pergi jenguk kamu sekali. Budak-budak ni, kalut sangat nak pergi sana.” Bainun terus ke pokok persoalannya.
“Biar betul ni, ma? Budak-budak tu cuti ke?”
“Belum cuti sekolah lagi, tapi beria-ia teringatkan kamu. Asyik cakap benda serupa je tiap-tiap hari, lemas telinga ma dengar. Tu yang bawa mereka ke sana tu.”
“Bila nak datangnya?” Farid bawa langkah dan duduk di kusyen semula. Tubuhnya yang terdedah tanpa baju, yang hanya bertuala, bersandar di kusyen.
“Awal-awal pagi besok kita bertolak.  Kamu cuti ke besok?”
“Saya cuti kalau besok, ma. Hari Ahad dah kerja.” Kerja shift macam dia, cuti memang tidak menentu.
“Dah tu nanti siapa nak ambik ma dekat stesen bas?”
“Datang dengan bas ke ma? Kenapa tak datang dengan kereta je?”
“Ayah kamu mana boleh memandu jauh-jauh. Mata mudah letih. Tu yang ma dan ayah nak pergi naik bas.”
“Dah tu, sekejap jelah datang sini? Kan hari Ahad diorang dah sekolah.”
“Pontenglah… Si Diba tu, sampai demam-demam teringatkan kamu. Tu yang baba ajak pergi tu. Malam Ahad ma dah kena bertolak balik tau, Farid. Budak-budak ni tak boleh ponteng lama-lama sangat. Diorang nak periksa.”
“Takpelah mak, besok kalau sampai stesen, bagi tahu ye?” pesan Farid.
“Baiklah, nanti ada apa-apa ma telefon. Kamu tu jaga diri. Jangan kerja kuat-kuat sangat. Tinggal sana sorang-sorang takde siapa jaga. Risau ma nilah! Suruh kawin tak nak.”
“Takde jodoh lagi mak… ada jodoh nanti, kahwin la saya.”
Hmmm… macam tulah kamu. Takpelah, ma nak letak telefon dah ni. Letih sangat pulak hari ni dengan kerenah budak-budak berdua tu. Assalammualaikum.”
“Waalaikumsalamwarahmatullah.”
“Waalaikumsalamwarahmatullah.” Tamat sahaja perbualan, Farid meneruskan niatnya. Selesai mandi, dia terus masuk ke bilik. Kerana begitu letih seharian hari ini, perut pun sudah kenyang selepas berhenti makan di luar tadi, mata pun terus lelap.

HAI, ADIK MANIS (BAB 3)




                                                            BAB 3



Hari-hari kerja macam ini pun bas awam begitu sesak. Ramai warga asing melebihi warga tempatan. Gerun jugak dia duduk sorang-sorang tercangak-cangak perhati sama-sama geng yang naik satu bas. Semuanya duduk dalam keadaan berjarak. Risau jadi apa-apa, dia baca ayar Qursi banyak-banyak sambil hembus kiri kanan.
Baru sahaja punggung sentuh kerusi, sorang mamat datang duduk di sisi. ‘Eh, eh, ikut suka hati dia je nak duduk sini.’ Isma tunjuk muka kurang puas hati. Dia tarik jeling panjang. Memuncung mulutnya macam muncung todak.
Tekak kering perit! Selepas mendapat pesanan tadi, ngam-ngam bas pun sampai. Terus dia lari lintang pukang mengejar bas agar tidak terlepas. Berpeluh masam bawah lengan dek simbahan peluh yang mencurah.
Jijak sahaja tangga bas, dia jadi sesak nafas. Sesak dengan pelbagai bau dari penumpang di dalamnya yang datang dari pebagai bangsa dan negara. Isma menyusup-nyusup antara penumpang. Mujur ada satu tempat duduk lagi. Terus dia menyusup duduk tanpa peduli orang lain. Untung juga tubuhnya agak kecil, bolehlah dia menyusup. Baru je nak selesa duduk, mamat Indon ini datang duduk di sebelah. Geram jugak dia.
Budiman nampak kerusi kosong di sebelah gadis Malaysia itu. Cepat-cepat dia rebut peluang untuk duduk. Dapat duduk tepi cewek cantik lagi. Untungnya nasib badan. Untung-untung juga, mereka boleh berkenalan. Fikir hati kecil Budiman. Apabila dia terus duduk di situ, gadis itu terus tunjuk muka terkejut. Apabila mereka bertemu pandang, dia pantas senyum dengan kadar kelajuan cahaya. Tetapi malangnya, gadis itu terus jeling kepadanya. Terus dibawa wajah lari dari gadis itu. Kecil hatinya.
Geram pulak Isma tengok Mamat Indon ni. Layan sengih sampai tak putus-putus. Dia kalih pandang kut lain. Malas nak pandang muka mamat di sebelahnya. Tekak Isma yang kering perit itu dilayan dengan ais cendol yang masih belum dia cicip. “Krookkk!” hirupan strawnya berbunyi agak kuat. Lelaki itu terus paling pandang kepadanya. Buat muka terkejut tak  pasal-pasal!
“Apa?!” geram sangat tengok lelaki ini, keras juga dia marah. Sampai terbeliak-beliak biji mata!
“Ngak apa-apa, buk. Enak ya minumannya?” sambil sengih-sengih tunjuk gigi, lelaki itu tunjuk baik dengan beramah mesra. Isma malas nak layan. Dia terus paling keluar tengok panorama di luar sana dari pandang muka mamat Indon yang ramah tak bertempat itu.
Sambil memandang di sepanjang perjalanan, sambil Isma menyedut ais cendol. Lega tekaknya dengan lemak manis cendol ais yang dibelinya itu. Eh, bukan beli. Yang dibelanja oleh Mamat Bangla tadi.
Sedut punya sedut, seketul cendol masuk ke lubang tekak, terkeluar terus air cendol ikut lubang hidung. “uhuk! Uhuk! Khiaq!!!” tersedak Isma sampai nak termuntah-muntah.
Terkejut melihat keadaan Isma yang tidak semena-mena, lelaki di sebelah terus tepuk belakang tubuhnya tanpa rasa bersalah. Sedar tentang ketelanjuran tangan lelaki itu, terus Isma kalih pandang dan menghentam tangan jantan yang maha kekar itu dengan beg tangannya.
“Apa-apaan ini pak? Jangan berani-berani sentuh aku ya? Aku report sama bapak polisi.” Kan? Sudah terkeluar dialek Indon dari mulut Isma. Dia kan Melayu yang serba boleh? Macam-macam dialek dia tahu. Dari dialek Bangladesh sampailah ke dialek  Indonesia. Itu semua kerana dia sering ikuti siaran-siaran sinetron di televisyen.
“Ampun buk, ampun. Aku ngak maksud gitu buk. Aku mahu nolong.” Serius, lelaki itu tunjuk muka bersalah kerana telah terlanjur. Tetapi Isma tidak dapat memaafkan. Sebab itu marahnya kian menjadi-jadi.
“Brensek lo!” Nah! Isma paku terus dengan ayat itu. Sakan benar dia. Macam ye ye je dia sudah bertukar jadi orang Indonesia. Melampau betul budak Isma ni!
 “Ampun buk, ampun.” Lelaki itu masih merayu. Namun Isma terus tidak bagi peluang. Dia jegil matannya luas-luas, tunjuk muka yang paling menggerunkan, kemudian,
“huh!!!”  terus dia tarik jeling dan beredar pandangannya dari muka lelaki itu.
Monyok muka lelaki kurang bersalah itu dengan laku gadis di sebelahnya. Benar,  dia bukan bermaksud. Ianya secara sepontan. Dia cuma mahu menolong, bukan hendak mengambil kesempatan. Sedih hatinya diperlakukan begitu oleh warga tempatan di sini.
Isma layan sakit hati sampailah bas lalu di kawasan sekolah tempat dia bekerja. Dia pantas berdiri apabila bas itu hampir-hampir sampai.
Mamat di sebelah terkejut tidak semena-mena apabila Isma bangun lekas-lekas macam itu. Terundur badannya ke belakang dan terangkat kedua-dua tangannya terus menutup muka. Sangkanya gadis itu mahu tempelak sekali lagi atau mahu hentak kepalanya dengan beg besarnya macam dia hentak tangan ini tadi. Rupa-rupanya,
“Ting!” tangan gadis itu tinggi ke atas dan dia tekan loceng.
Mamat Indon itu terus bagi laluan. Menyonyong gadis itu keluar tanpa pandang sepicing pun kepadanya. Marah benar dia. Muka aku pun enggak mahu dipandangnya.
Turun sahaja dari tangga bas, lekas-lekas Isma berjalan untuk pulang ke pejabat. Ini, kalau tahu dek guru besar yang cerewet tu aku balik lewat ke sekolah, siap dia sindir dalam sidang mesyuarat. Masak, aku!
Sampai di depan pintu pejabat, dia disambut dengan senyum panjang Kak Bibah. Apa maksud senyumnya pun aku tak tahulah. Aku pun kurang pasti. Isma sudah tidak sempat senyum. Bungkus cendol yang masih dicakuk di jarinya dibawa masuk  sekali ke pejabat. Sambil mencari tempat duduk, sambil disedut air cendol yang sudah hilang ais itu untuk menghilangkan dahaga akibat berjalan pantas-pantas tadi. Tekaknya mudah kering!
“Amboi… minum cendol tak pelawa akak pun.” Tegur Samihah seraya menyapa teman sepejabatnya.
“Akak nak? Ada sikit je, kak. Dah tak sejuk pun.” Pelawa Isma.
“Eh, takpe… akak gurau je.” Dia tahu sikap lurus Isma yang tidak tahu bahasa usikan itu.
“Takpe kak… Is tak kisah pun. Nah, kalau kak nak rasa.” Air cendol yang sudah dituang ke dalam muk itu terus disua kepada Samihah yang duduk di meja hadapannya. Untuk mengambil hati Isma, Samihah capai juga muk tersebut lalu dicicip seteguk.
“Sedap cendol ni walaupun dah tak sejuk. Lemak manisnya terasa.” Puji Samihah.
“Minumlah kak. Abang Bangla dekat hentian bas yang belanja tadi.” Isma begitu bermurah hati. Lurus je dia cerita bab dibelanja, membuatkan tegukan Samihah yang seterusnya tidak sempat masuk kerongkong. Terus naik ke rongga hidung dan dia terus tersedak dan tersembur separuh lagi air itu keluar ikut mulut. Memercik air cendol dari mulut Samihah terus ke muka Isma. Kalut juga Isma mengelap dengan lengan baju kurungnya takut melekit. Samihah terus bangun cepat-cepat menuju ke arah Isma dan mengelap sisa-sisa kotorannya di laporan atas meja Isma.
“Maafkan kak, Isma. Kak tak sengaja.”
“Takpe kak, air cendol tu pun dah hilang rasa. Dah tak sedap pun. Tadi mula-mula beli, sedap. Tapi dah  cair aisnya kan? Mana nak datang sedapnya.”
“Eh tak… masih sedap lagi ni rasanya. Boleh minum lagi…” Samihah tidak mahu Isma kecil hati. Sebab itu dia cakap begitu.
“Ye ke kak? Kalau kak nak, ambiklah. Is dah kenyang dah minum.”
Hah, pulak! Aku pulak yang kena habiskan. “Eh, takpe, takpe. Simpan je, nanti Is dahaga, boleh minum  lagi ni.” Dia cari akal untuk kelentong.
“Ambillah kak… Is tak ambik hati pun. Betul, Is ikhlas ni kak.”
“Eerrr… ye ke bagi akak ni?” Dengan muka terkerut-kerut, Samihah terpaksa ambil juga. Mahu saja dia menolak, tetapi macam dia kata tadilah, takut Isma kecik hati.
“Iye… ikhlas ni kak.” Isma sudah bersungguh-sungguh. Dia sendiri angkat muk itu dan terus sua dekat dengan tangan Samihah.
Samihah capai lambat-lambat dengan berat hati dan terus balik ke mejanya. Nak minum dia tak sanggup. Entah Bangla mana yang belanja budak ni ais cendol, yang dia jadi baik bukan main lagi hari ni.
“Kak, Is pergi tandas kejap kak.”Isma mengusap-usap perut yang bergelodak ingin membuang bahan kimia dan organisma bakteria yang dikandung dalam perutnya.
“Aah, pergilah.” Pantas Isma berlari ke toilet. Keluar sahaja Isma dari pintu pejabat, Din pun sampai untuk hantar surat menyurat. Din, budak pejabat yang lurus bendul melebihi tahap lurus bendul Isma itu sebenarnya adalah bekas pelajar di sekolah ini. Dia seorang budak bijak ketika bersekolah. Tetapi selepas mengalami kemalangan jalan raya, terus dia jadi begitu. Otaknya sudah bermasalah. Kerana kasihankan dia kerana dia anak orang susah, tidak mampu pula menjawat apa-apa bidang pekerjaan pun kerana masalah fikirannya, lalu guru besar mengambil dia bekerja sebagai budak pejabat dengan pembiayaan dari pihak sekolah sebanyak empat ratus ringgit Malaysia sebulan.
Kerjanya mudah je. Tiap-tiap hari pergi pejabat pos, poskan surat. Kemudian ambil surat dan bawa ke pejabat. Sebab itu sahaja yang Din mampu buat. Memorinya tidak kuat. Dia mudah lupa.
“Din, nak air cendol ni tak?” terus Samihah pelawa Din. Dia tahu Din pasti tidak akan menolak apa-apa saja yang dia bagi. Dari dia buang begitu saja, membazir minuman dan membuatkan kawannya terasa, lagi baik ada orang tolong habiskan.
“Boleh jugak.” Din yang potongan rambutnya sama di bahagian depan, angguk kalut. Terus Mail sambut pemberian Samihah dan sedut habis baki air cendol di dalam muk. Selamat, aku. Samihah sudah tarik nafas lega.
“Terima kasih kak. Ni cawan ni nak kena basuh ke?” dia tunjuk muk depan muka Samihah.
“Takpe, nanti akak basuh.” Kau tolong habiskan pun akak dah cukup berterima kasih. Kata-kata itu Samihah sambung dalam hati.
“Terima kasih kak.” Banyak kali Din berterima kasih. Kemudian dia berjalan keluar dari bilik pejabat. Sesekali dia jengket kakinya sebelah. Lama-lama sikit, dia jengket lagi kakinya. Bukan dia sengaja-sengaja buat begitu, tetapi memang tabiatnya dari asal.
Keluar sahaja Din dari situ, Isma pun  balik. Dia pulang dengan muka yang berseri-seri. Dah lega perutlah tu. Aku pun dah lega jugak sebab sudah habiskan cendol dia.